Sunday, February 27, 2011

Taib Mahmud Lebih Kaya Dari Sultan Brunei ???



Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Mohd Taib Mahmud adalah antara orang terkaya di dunia, melebihi Sultan Brunei, kata Clare Rewcastle Brown, adik ipar bekas Perdana Menteri United Kingdom, Gordon Brown.

Clare, pengendali laman web Sarawak Report dan stesen radio bebas – Radio Free Sarawak, berkata demikian dalam artikel yang diterbitkan London Evening Standard pada 22 Februari lalu.

“Siasatan saya mendapati sebahagian harta kekayaan Taib terdapat di London melibatkan perusahaan hotel di tengah-tengah bandar ini,” katanya dalam artikel akhbar tabloid itu.

Mengikut artikel itu, beliau turut membongkar harta kekayaan Taib melibatkan Kanada, Amerika Syarikat dan United Kingdom yang diperoleh hasil penjualan kawasan hutan di Sarawak melalui British Virgin Islands.

Dipetik artikel sama, Clare dilapor berkata, Sarawak yang dikelilingi 95 peratus hutan hujan dengan aktiviti pembalakan dan dipenuhi ladang kelapa sawit, sebenarnya mengkayakan Taib selama 30 tahun berkuasa di negeri itu.

“Kira-kira 2.5 juta penduduk Sarawak selama ini ditindas Taib. Rakyat inginkan perubahan dalam pilihan raya akan datang, tetapi akibat amalan rasuah menjadikan beliau semakin kaya,” katanya dipetik.

Mengikut artikel itu, Clare dan rakannya, Peter John Jaban, seorang Dayak Sarawak mengendalikan siaran Radio Free Sarawak walaupun bimbang akan keselamatan mereka selepas Sarawak Report menerima ancaman bunuh.

Apatah lagi, artikel berkenaan turut menyatakan, seorang bekas pekerja Taib yang didakwa mendedahkan maklumat, dijumpai mati Oktober lalu dan kes itu masih dalam siasatan polis.

Berusia 51 tahun, Clare adalah seorang wartawan penyiasat yang memulakan kerjaya dengan BBC World Service pada 1983, berkahwin dengan adik Brown – Andrew – juga bekas wartawan dan kini seorang ahli strategi media.

Artikel itu menyatakan, Clare sebenarnya dilahirkan di Sarawak sebelum bekas tanah jajahan Inggeris itu diserahkan kepada Malaysia dan mendiami Bumi Kenyayang sehingga berusia lapan tahun.-KeadilanDaily

Monday, February 21, 2011

BMF Senarai 49 Firma Berkaitan Taib Mahmud Diseluruh Dunia


NGO yang berpangkalan di Switzerland - Tabung Bruno Manser (BMF) hari ini mengeluarkan senarai 49 firma di empat benua di seluruh negara yang didakwanya berkaitan dengan ketua menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan keluarganya.

Senarai itu termasuk 13 syarikat di Malaysia, 10 di Australia, sembilan di Kanada, tujuh di Hong Kong, empat di Amerika Syarikat, tiga di British Virgin Islands, satu di pulau Jersey dan dua lagi di United Kingdom.

"Tujuan senarai ini adalah untuk membantu pihak berkuasa pencegahan rasuah dan pengubahan wang haram di negara-negara berkenaan mengenal-pasti dan membekukan aset Taib,” kata pertubuhan itu dalam satu kenyataan.

Senarai itu disiarkan di laman sesawang anti rasuah barunya dan dikemas-kini dari semasa ke semasa.

BMF juga melancarkan petisyen di sesawangnya mendesak pihak berkuasa di negara-negara berkenaan bagi menyiasat kedudukan kewangan Taib dan keluarganya serta membekukan aset mereka.

Petisyen itu juga akan dihantar ke pihak berkuasa di Australia, the British Virgin Islands, Kanada, Hong Kong, Jersey, Malaysia, United Kingdom dan Amerika Syarikat serta Kumpulan Pengubahan Wang Haram Asia Pasifik yang mempunyai keahlian 139 negara.

Antara syarikat Malaysia yang disenaraikan itu termasuk Borsarmulu Resort Sdn Bhd, Cahya Mata Sarawak Sdn Bhd, K&N Kenanga, Kumpulan Parabena Sdn Bhd, Mesti Bersatu Sdn Bhd, Sarawak Energy Bhd, Naim Holdings dan Kumpulan Ta Ann.

Sesetengah syarikat berkenaan dimiliki sebahagiannya oleh kerajaan negeri dan terbabit dengan projek yang disokong oleh kerajaan negeri seperti Royal Mulu Resort dan empangan Murum.

Sebahagian besar firma yang disenaraikan itu membabitkan syarikat yang terbabit dalam hartanah, termasuk Sakti International Corporation Incorporated, yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

Negara-negara UNCAC

Dokumen yang disiarkan oleh laman sesawang Sarawak Report menunjukkan syarikat itu bernilai lebih kurang RM250 juta.

Juga disenaraikan adalah kumpulan syarikat-syarikat di Kanada, Sakto yang didakwa Sarawak Report mempunyai hartanah bernilai lebih RM300 juta.

Gesaan yang sama dibuat oleh BMF ke pelbagai pertubuhan di Kesatuan Eropah untuk membekukan aset milik bekas presiden Mesir, Hosni Mubarak yang telah melarikan diri ke luar negara.

Semua negara, termasuk Malaysia - di mana syarikat-syarikat yang disenaraikan oleh BMF itu terletak telah menandatangani dan mengesahkan perjanjian Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai pencegahan rasuah (UNCAC).

Semua negara-negara UNCAC diwajibkan untuk menyelaras dengan satu sama lain dan membekalkan bantuan perundangan di mana kes dana-dana tertentu dikaitkan dengan jenayah, termasuk mendapatkan perintah ekstradisi ke atas orang yang dituduh.-Malaysiakini

Tuesday, February 15, 2011

DUN Sarawak Mungkin DiBubar Minggu Ini?


KUALA LUMPUR 14 FEB : Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud dijangka mengadakan pertemuan dengan Yang Dipertua Negeri Jumaat ini untuk mendapatkan perkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri, kata sumber-sumber.

Sumber Astana Sarawak memberitah bahawa pejabat ketua menteri telah pun menghubungi minggu lalu untuk mendapatkan tarikh pertemuan dengan Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng bagi pembubaran, yang akan membuka laluan kepada pilihan raya negeri lapor The Malaysian Insider.

Pilihan raya negeri terakhir diadakan pada 2006.

Satu lagi sumber kerajaan negeri berkata pegawai-pegawai daerah juga telah diminta agar membekukan cuti kakitangan mereka mulai 19 Februari ini iaitu kemungkinan tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri.

Jika Dewan Undangan Negeri dibubarkan bulan ini, kemungkinan pilihan raya akan diadakan akhir Mac atau awal April.

Mandat semasa kerajaan negeri sepatutnya berakhir Julai ini dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mengadakan pilihan raya dalam tempoh 60 hari jika pembubaran diputuskan.

The Malaysian Insider semalam membawa laporan bahawa BN dilihat tidak cenderung untuk mengadakan kedua-dua pilihan raya umum nasional dan negeri Sarawak secara serentak meskipun beberapa pemimpin negeri itu membawa idea tersebut pada mesyuarat perikatan itu Jumaat lalu.

Sehubungan itu, difahamkan pilihan raya negeri Sarawak akan didahulukan dan dijangka berlangsung awal April ini atau kemungkinan akhir Mac.

Mesyuarat Dewan Tertinggi BN Jumaat lalu turut membincangkan beberapa persediaan sebelum parti itu mengadakan Konvensyen BN Sarawak di Kuching pada 5 Mac ini.

Konvensyen itu nanti akan membincangkan beberapa perkara berkaitan dengan pilihan raya negeri Sarawak.

Najib juga memberitahu wartawan Taib sudah mendapat "inspirasi" untuk memanggil pilihan raya negeri.

Mengambil kira perkembangan terbaru ini tarikh pilihan raya negeri sudah semakin dekat.

Taib pula akan menyambut ulang tahun ke-30 mengetuai kerajaan negeri pada 26 Mac ini dan kemenangan kali ini akan menjadikan beliau ketua menteri paling lama berkhidmat.

Ada pihak yang beranggapan bahawa beliau mahu melengkapkan tiga dekad itu dengan kemenangan dan mandat baru.

Taib yang juga Pengerusi BN Sarawak dan Presiden komponen terbesar periktan itu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) terus meletakkan pemerhati-pemerhati politik dalam situasi terus meneka dan membuat spekulasi mengenai tarikh pilihan raya negeri.

Selepas kembali dari menunaikan haji akhir tahun lalu, pemimpin berusia 74 tahun membayangkan bahawa beliau sudah menerima inspirasi bila perlu memanggil pilihan raya.

"Saya sudah ada inspirasi tetapi saya tidak akan memberitahu (tarikhnya)," kata beliau kepada pemberita November lalu.

Taib dikatakan berhadapan dengan tekanan daripada rakan-rakan dalam BN agar berundur ekoran kemerosotan popularitinya di sebalik dakwaan salah guna kuasa.

Kemenangan DAP dalam pilihan raya kecil kerusi Parlimen Sibu Mei lalu - dilihat sebagai referendum ke atas kepimpinan Taib - telah menyebabkan BN mula bimbang mengenai tapak pengaruhnya di Sarawak, negeri yang selama ini dilihat sebagai deposit hayat perikatan itu.

BN Sarawak mempunyai 63 wakil di Dewan Undangan Negeri yang mempunyai 71 kerusi dengan 35 dimenangi PBB, 12 dipegang Parti Rakyat Bersatu Sarawak dan lapan masing-masing oleh Parti Rakyat Sarawak dan Parti Demokratk Progresif Sarawak.

Daripada baki lama kerusi, DAP mempunyai enam, PKR satu dan Bebas satu.

SPR mengumumkan kesediaan negeri itu mengadakan pilihan raya negeri Sarawak bila-bila masa dengan berkata pihaknya sudah lama membuat persediaan.

BN dijangka mengekalkan negeri itu dengan majoriti selesa meskipun ada yang mengatakan DAP kemungkinan boleh memperoleh lebih banyak kerusi di kawasan-kawasan bandar.

Seorang pemimpin DAP memberitahu bahawa mereka juga mendengar kemungkinan pembubaran Dewan Undangan Negeri hujung minggu ini dan telah membuat persiapan untuk menghadapi pilihan raya negeri.

"Kami sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya negeri," kata seorang pemimpin DAP negeri.-tvs

Tuesday, February 8, 2011

Jumpa Najib: Sesetengah ADUN BN Sarawak Menipu

Beberapa ADUN BN dilaporkan berbohong tentang diri mereka sendiri ketika pertemuan hati ke hati mereka dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak Najib di Miri, minggu lalu.

ADUN BN, Dr Jerip Susil dan Daud Abdul Rahman mengesahkan sesetengah rakan mereka berbohong.

Dr Jerip, seorang pengamal perubatan berkata perdana menteri kelihatan marah apabila mendapati sesetengan ADUN tidak memberikan cerita yang sebenar mengenai kawasan mereka.

"Beliau memiliki semua maklumat yang tercatat dalam buku nota bagi setiap ADUN yang diperolehi dari BN.

"Maklumat ini dikumpul oleh Cawangan Khas, Jabatan Penerangan dan agensi-agensi yang berkaitan berhubung setiap ADUN.

"Walaupun kami bertemu satu dengan satu dengan perdana menteri, tetapi mereka yang menunggu di luar boleh mendengar perbualan yang berlangsung.

"Saya terdengar ada yang cuba untuk mengatakan sesuatu, tetapi Najib yang menyelak halaman buku notanya dan bertanya 'awak pasti?'dengan suara yang jelas," kata Dr Jerip, yang juga ADUN Bengoh.

Beliau memberikan contoh, apabila perdana menteri bertanyakan tentang demografi penduduk, beberapa ADUN jelas tidak dapat memberikan jawapan dan cuba menukar tajuk.

"Perdana Menteri tidak senang dengan jawapan seperti itu," katanya.

Menurutnya, perdana menteri dilaporkan berkata pengetahuan mengenai demografi penduduk adalah penting bagi menentukan pola pengundian sesuatu kawasan dan masyarakat.

Dr Jerip berkata dia tidak menghadapi masalah pada sesinya dengan Najib.

Daud, yang juga naib presiden Parti Pesaka Bumiputra Bersatu (PBB) dan penolong menteri di pejabat ketua menteri berkata sesetengah ADUN menaanggap diri mereka sebagai luar biasa kemampuan mereka.

Menurut Daud, tidak ada gunanya berbohong atau terlalu memuji diri mereka sendiri di hadapan perdana menteri kerana Najib tahu perkara yang sebenarnya.

"Apabila mereka terlalu memuji diri sendiri, perdana menteri terus menegur mereka. Najib tidak menyembunyikan rasa tidak senangnya pada ADUN seperti itu, "katanya yang juga ADUN Tupong.-Malaysiakini

Saturday, February 5, 2011

Taib Mahmud Jangan Jadi Seperti Hosni Mubarak :- Anwar


Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan ketua menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud seperti presiden Mesir Hosni Mubarak yang mahu terus berkuasa walau diminta berundur.

Bercakap di majlis sambutan Tahun Baru Cina anjuran cabang PKR Stampin hari ini, Anwar berkata penduduk Sarawak perlu menuntut supaya Abdul Taib segera berundur melalui proses demokratik.

Abdul Taib dan Mubarak kedua-duanya telah berkuasa sejak 30 tahun lalu.

Berjuta-juta rakyat Mesir kini melancarkan protes di seluruh negara bagi menuntut Mubarak supaya segera berundur.

Anwar berkata, perubahan boleh dilakukan sekiranya Pakatan Rakyat menubuhkan kerajaan di negeri itu dan Abdul Taib tidak lagi menjadi ketua menteri.

Katanya, Pakatan akan menurunkan harga minyak dan harga barangan keperluan sekiranya ia dapat membentuk kerajaan di Sarawak.- Malaysiakini

nuff

Visited Since 090322

Followers

Komen Terkini

Categories

My Page Rank

Labels

Blog Widget by LinkWithin
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Bluehost