Sunday, October 18, 2009

UMNO Mansuhkan Kuota, Mansuhkan Juga RASUAH !! :- Nizar vs Najib Altantuya


* SETELAH sekian lama dijadikan perisai – juga menjadi sindiran, dan cemuhan rakyat – untuk menjaga kedudukan pemimpin tertinggi parti, UMNO akhirnya menghapuskan sistem kuota pertengahan minggu lalu.

Dengan terhapusnya sistem tersebut menerusi satu pindaan perlembagaan yang diluluskan sebulan suara dan semangat berkobar-kobar perwakilan pada Perhimpunan Agung parti, pemilihan jawatan dalam parti tersohor itu akan menjadi lebih demokratik.

Di bawah sistem tersebut sesiapa yang berhasrat untuk bertanding mana-mana jawatan penting parti, perlu mendapatkan sejumlah pencalonan. Sekiranya tidak cukup kuota pencalonan, mereka tidak layak bertanding.

Sekarang kuota sudah tidak ada, sesiapa sahaja boleh mencalonkan diri untuk bertanding, termasuk bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden yang sejak sistem kuota diperkenalkan selalu tidak ada pertandingan sebab tidak cukup pencalonan.

Sekiranya hendak kedudukan selamat tentu sekali sistem kuota yang kerap memberi kemenangan percuma kepada kerusi No.1 dan No. 2 tidak dimansuhkan. Bahawa perisai itu dibuang, adalah bukti kesungguhan UMNO hendak berubah.

Sepatah kata Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak: “Kalau saya seorang Presiden yang bekerja dengan baik, yang dapat berkhidmat kepada parti, yang dapat membela nasib rakyat, menjadi juara rakyat dan membangunkan negara, maka saya serahkan nasib saya kepada ahli-ahli UMNO menentukannya.”

Ertinya sekiranya seseorang pemimpin itu baik, dia tidak perlu takut untuk ditentang. Walaupun ada yang mencabar dalam pertandingan, pemimpin yang baik akan tetapi dikehendaki oleh parti. Syabas di atas keberanian parti itu meminda perlembagaan. Mudah-mudahan ini dapat mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti terbesar orang Melayu itu.


* PINDAAN perlembagaan satu hal, perubahan sikap adalah satu hal lagi. Kalau ikut semangat 2,541 perwakilan yang hadir semua mengalu-alukan pindaan perlembagaan yang dibuat. Semua berkobar-kobar bagai hendak runtuh dewan.

Tetapi, jangan bersemangat hanya seketika. Buanglah pepatah ‘hangat-hangat tahi ayam’ itu. Sekali berikrar dan bersumpah, biarlah kekal buat selamanya. Tidak guna menjerit, berazam hingga menangis ketika di dalam dewan, tetapi bila keluar dewan semua macam biasa. Sepatah kata orang Tanjung: ‘habuk pun tarakk!”

Sebab itu kata Najib, selepas pindaan dibuat, ahli UMNO kena berubah: “Kita hendak menjadi juara rakyat bukan kalut sesama kita, bukan berbalah sesama kita dan bukan hendak dapat kontrak.” Tidak guna pinda perlembagaan jika sesama ahli masih berdengki, masih tikam belakang.

Kalau hendak jadi juara rakyat, kenalah betul-betul bekerja untuk rakyat. Mana-mana yang menjadi wakil rakyat, kenalah selalu jenguk rakyat, jangan hanya jumpa rakyat bila tiba pilihan raya. Itu bukan juara rakyat, itu juara kampung.

Bekerjalah dengan ikhlas untuk rakyat. Kerja dengan ikhlas ertinya berkhidmat tanpa mengharapkan apa-apa ganjaran. Kalau tidak dapat kontrak juta-juta pun kena juga berkhidmat untuk rakyat. Kalau dapat kontrak baru hendak berbakti pada rakyat itu bukan juara rakyat. Itu juara kontrak.

Kata Najib lagi: “Kita serius, jangan... minta maaf... kalau kita rosakkan alamatnya kita sama-sama akan tanggung akibatnya.” Mudah-mudahan seluruh ahli UMNO, dari ahli biasa, pemimpin kecil hingga pemimpin besar, ingat pesan Datuk Seri Presiden. Itu pesanan ikhlas untuk kesinambungan UMNO.

Kalau tidak mahu berubah, masih dengan sifat lama yang cakap besar, ketawa besar, poket besar, rumah besar, kereta besar dan serba-serbi besar, parti terbesar Melayu itu akan hilang. Hang Tuah pernah kata: “Takkan Melayu hilang di dunia”. Jangan salah dengar, dia tidak kata: “Takkan UMNO hilang di dunia.”


* PRESIDEN juga kata, ahli-ahli UMNO mesti bersih. Pada hemat Tok, inilah cabaran besar pada parti. Salah satu tanda-tanda kebersihan itu ialah tidak wujud rasuah – sebarang bentuk rasuah – dalam kalangan ahli. Jangan main duit.

Apabila orang banyak duit, susah hendak buang tabiat main duit. Pemimpin silih berganti, macam-macam slogan dicipta untuk menyedarkan ahli supaya menjauhi politik wang. Tetapi rasuah politik tidak dapat dihapuskan.

Kalau masih ingat Tun Mahathir pernah menangis di pentas UMNO, merayu dihentikan politik wang. Sampai beliau pencen pun politik wang masih wujud. Buktinya, pada pemilihan parti yang lalu pun ada yang didapati bersalah kerana main duit.

Ada calon yang disabitkan kesalahan kerana politik wang, dan tidak dibenarkan bertanding. Tetapi, ada yang main duit, boleh pula bertanding. Benda-benda tidak jelas seperti ini yang membuat orang tidak senang dengan parti.

Mereka yang disahkan terlibat dalam politik wang pun tidak diambil tindakan selepas pemilihan parti. Semua macam tidak ada apa-apa. Sekarang semua sudah lupa, tidak ada lagi ungkit-mengungkit. Betullah kata Tun Mahathir, Melayu mudah lupa. Lebih-lebih lagi Melayu dalam UMNO.

Semua orang nampak kesungguhan Najib untuk membersihkan UMNO. Mudah-mudahan setelah berjaya menghapuskan sistem kuota, Najib dan rakan-rakannya berjaya menghapuskan politik wang. Jangan takut untuk buang mana-mana ahli dan pemimpin yang terus main duit.


* SEMENTARA pindaan perlembagaan UMNO dilihat sebagai usaha memulihkan keyakinan rakyat terhadap parti itu, parti-parti lain – baik dalam BN mahu pun dalam PR – nampaknya tidak stabil dengan masalah-masalah tersendiri.

MCA, komponen terbesar juga tertua dalam BN, masih berkrisis. Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) 10 Oktober lalu yang diharapkan boleh menamatkan sengketa dalaman, ternyata membangkitkan lebih banyak kemelut.

Mungkin masalah kepimpinan parti terbesar Cina itu boleh diselesaikan sekiranya perwakilan teguh di belakang Presiden, Datuk Seri Ong Tee Keat, dan membuang terus Timbalan Presiden, Datuk Seri Chua Soi Lek dari parti.

Tetapi lain pula yang terjadi. Kedua-dua Ong dan Chua tidak disukai oleh perwakilan, apabila undian meluluskan usul undi tidak percaya terhadap Presiden, menolak usul mengekalkan Chua sebagai Timbalan Presiden.

Tidak kira berapa yang mengundi, EGM itu menjelaskan dua perkara. Pertama, mereka hilang keyakinan terhadap Ong. Kedua, mereka tidak mahu Chua jadi Timbalan Presiden, walaupun tidak mahu bekas Menteri Kesihatan itu dibuang terus dari parti. Chua yang dikaitkan dengan video seks, hanya jadi ahli biasa. Itulah keputusan perwakilan.

Dengan lain-lain perkataan Ong dan Chua tidak layak untuk memimpin parti. Itulah mesej 2,307 perwakilan ke EGM tersebut. Jelas dan nyata. Tetapi dalam politik yang jelas dan nyata pun ada ketikanya menjadi tidak jelas, atau buat pura-pura tidak jelas.

Sekiranya Ong dapat membaca kehendak perwakilan dengan jelas, beliau sepatutnya tanpa banyak cakap melepaskan jawatan secara terhormat. Orang sudah tidak suka apa yang hendak tunggu-tunggu lagi.

Walaupun perlembagaan parti menetapkan dua pertiga perwakilan untuk membolehkan Ong melepaskan jawatan tersebut, dari segi moralnya Menteri Pengangkutan itu sudah kalah. Kalau sudah mengaku kalah, cara lebih baik ialah mengundurkan diri. Kecualilah kalau dia tidak mahu mengaku kalah.


DALAM MIC pun keadaan tidaklah lebih baik. Walaupun Presiden Datuk Seri Samy Vellu menegaskan dengan penuh yakin bahawa beliau masih amat diperlukan untuk membela nasib kaum India, suara-suara yang menentang beliau sudah lebih lantang.

Ramai pemimpin dalam parti meminta Samy berundur setelah berpuluh tahun menerajui parti. Tentu ada orang lain yang boleh diberikan tanggungjawab untuk tugas membela kaum India. Samy sudah terlalu lama berjasa, berilah peluang orang lain pula untuk berjasa.

Tetapi, bukan mudah orang berkuasa hendak melepaskan kuasa. Selagi Samy di situ, MIC, sama seperti MCA, akan merugikan BN. Kalau pengundi India dan Cina tidak memangkah dua parti ini, pasti prestasi BN dalam pilihan raya akan terjejas.

Dalam waktu yang sama, komponen PR pun goyah juga. Baik Pas, PKR, DAP ada masalah-masalah tersendiri yang boleh mencederakan pakatan mereka. Kesimpulannya: BN tidak boleh kata PR kacau bilau, PR pun tidak boleh kata BN celaru. Kedua-duanya sama tempang!

--Sinar Harian

MyKampungku

0 comments:

nuff

Visited Since 090322

Followers

Komen Terkini

Categories

My Page Rank

Labels

Blog Widget by LinkWithin
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Bluehost