Walaupun tersohor dan disebut-sebut sebagai calon Sasterawan Negara ke-10, Datuk Dr Anwar Ridhwan mungkin mengalami laluan sukar mencapainya.
Beliau semakin lantang mempertikaikan dasar kontroversi Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) - hari ini di depan 200 penulis muda dunia sastera Melayu.
"Adalah suatu ironi dan tragedi apabila bangsa yang sedang berkuasa di sesebuah negara, tidak menggariskan wawasan yang besar dan realistik tentang masa depan bahasanya, sebaliknya meminggirkan bahasanya ke sudut pentas kehidupan utama bangsa dan negara," katanya dalam ucap utama di perhimpunan terbesar sasterawan muda Malaysia.
"Jika sesuatu dasar, seperti dasar PPSMI ini hanya memberi faedah kepada segelintir pelajar, tetapi dalam masa yang sama mengecewakan begitu banyak pelajar luar bandar, ceruk dan pedalaman, maka dasar itu boleh dianggap gagal.
"Para pelajar di luar bandar, ceruk dan pedalaman bukan sahaja tidak dapat mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris mereka melalui pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik, malah lebih malang lagi tidak dapat menguasai ilmu sains dan matematik yang disampaikan bukan melalui bahasa ibunda mereka.
"Jika kegagalan itu berterusan, dan dianggap remeh pula oleh kementerian yang berkenaan, maka satu generasi pelajar luar bandar, ceruk dan pedalaman (kebanyakannya Melayu) menjadi mangsa kepada dasar yang tidak adil ini.
"Akibat kegagalan itu, mereka akan terlepas peluang pekerjaan yang lebih baik."
Bekas pengarah penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu yang terkenal dengan novel Naratif Ogonshoto – satira politik yang mengecam kerakusan orang berkuasa – menyampaikan ucapannya berjudul 'Arah dan Cabaran Penulis Muda' di Melaka pagi ini.
Dalam ucapannya kira-kira sejam, beliau menegur ahli politik Melayu dalam kerajaan yang menjadi pencetus utama timbulnya rasa tidak yakin terhadap bahasa mereka sendiri.
"Sejak sedekad yang lalu, masyarakat Melayu pada umumnya meragui adanya rasa bangga (terhadap) bahasa Melayu di kalangan ahli politik Melayu yang berkuasa," katanya.
Anwar berkata, sikap pemimpin tersebut digambarkan melalui penggunanan bahasa Inggeris dalam majlis rasmi dan tidak bersungguh-sungguh membina jati diri kolektif pelajar menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar yang tunggal.
"Mereka mempunyai pertimbangan lain, termasuk politik, yang dilihat lebih besar dan wahid (pertama) berbanding bahasa bangsanya," katanya.
Teks ucapannya juga boleh diperolehi di blognya.
Kritikan Anwar hari ini yang pertama dilontar di depan khalayak sebesar itu, selain wawancara di sebuah tabloid politik dan dialog-dialog kumpulan kecil masyarakat sastera.
Walaupun pelbagai pihak dan tokoh budaya sebelum ini lantang menuntut pemansuhan dasar kontroversi itu – sehingga membawa kepada demonstrasi besar 7 Mac lalu – Anwar dilihat tidak lantang sebelum ini.
Pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia pada tahun 2000 melalui novelnya itu turut terkenal dengan novel Hari-hari Terakhir Seorang Seniman dan Arus.
Selain Anwar, tokoh-tokoh lain yang disebut layak untuk Sasterawan Negara penyair Datuk Baharuddin Zainal dan novelis Zaharah Nawawi.
Malaysiakini difahamkan Perhimpunan Penulis Muda Nasional 2009 selama tiga hari sejak pagi tadi akan merumuskan satu resolusi membantah dasar PPSMI.
Awal bulan ini, kesemua lima sasterawan negara yang masih hidup termasuk Muhammad Salleh, Datuk Noordin Hassan dan Datuk Abdullah Hussain menolak dasar kontroversi itu - pertama kali gabungan tokoh besar budayawan Melayu secara terbuka dan berani menentang dasar kerajaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Pelajaran dijangka akan mencapai keputusan berhubung PPSMI dalam tempoh enam bulan lagi, lapor laman web The Star petang ini.
Timbalan menterinya Dr Puad Zarkashi berkata keputusan itu diambil bagi memastikan para pelajar tidak mengalami keadaan rugi semuanya, apabila gagal menguasai Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.
0 comments:
Post a Comment