Friday, August 28, 2009

ANTI NAJIB ALTANTUYA:- Realiti Orang Melayu (1)

Oleh: Rahim Zain

Mendesak, merayu dan menyindir untuk menyedarkan pemimpin yang tidak sedar diri bukan lagi menjadi cara perjuangan Melayu yang bijak. Perjuangan Melayu memerlukan kepada tindakan affirmatif yang boleh dilakukan di bawah dasar yang ada. Bahkan di bawah National Economic Policy yang menggantikan NEP, seperti yang lama dulu diumum oleh kerajaan, ruang untuk memajukan orang Melayu adalah luas. Yang menyempitkan keadaan adalah orang Melayu sendiri terutama kepimpinan Melayu termasuk NGO Melayu yang tidak faham politik Melayu sehingga pintu hilang hurmat oleh kaum bukan-Melayu terhadap Melayu terbuka luas.

Yang jelas dan juga penting disedari oleh pemimpin-pemimpin Melayu yang baru bangun dari tidur menjerit ketuanan Melayu dan agenda Melayu ialah hakikat bahawa semenjak surutnya air sungai perjuangan Melayu akibat tsunami PRU12 Bangsa Melayu akan berhadapan dengan realiti terpendam dalam masa lebih awal. Memang tidak ramai orang Melayu yang didodoi dengan program kebudayaan Melayu dan lagu-lagu patriotic di radio, tv dan media cetak yang kenal atau mudah kenal realiti terpendam itu. Ramai yang dikhayalkan oleh pemimpin-pemimpin Melayu masih beranggapan bahawa apa yang orang Melayu tidak rela melepas tidak boleh diceburi atau diperolehi oleh kaum lain! Masanya sudah tiba bagi orang Melayu yang berkhayal itu sedar dan hadapi realiti yang selama ini terpendam dan dipendamkan. Lebih lama orang Melayu berkhayal lebih lemah kedudukan kaum Melayu akan terjadi.

Realiti pertama yang perlu dihadapi oleh orang Melayu ialah hakikat bahawa Institusi Raja Melayu sudah renggang dengan rakyat Melayu sehingga Raja nampak tidak cepat merasai jeritan batin orang Melayu. Orang Melayu tidak pernah derhaka kepada Raja. Walaupun ketika orang politik riuh melemahkan kekebalan Raja orang Melayu tetap menyanjungi Raja. Orang Melayu mahu terus percaya kepada kebijaksanaan bapa-bapa keMerdekaan yang meletakkan Raja Melayu sebagai ketua Negara dengan fungsi sebagai ketua kepada Negara berbilangkaum dan payung kepada kepentingan bangsa Melayu. Itulah yang mahu orang Melayu percaya dan orang Melayu memang percaya dan mengharap. Orang Melayu terus mahu percaya bahawa Raja Melayu tahu bahawa orang Melayu mengharap kepada Raja Melayu sebagai pelindung kepentingan Melayu. Tetapi pemimpin-pemimpin Melayu tidak nampak pandai memupuk suasana dan saluran komunikasi yang mesra di antara rakyat dengan Raja.

Bertahun-tahun pemimpin-pemimpin Melayu berbalah dan berkrisis tanpa mendapat sentuhan nasihat atau teguran atau marah dari Raja yang boleh membuat pihak yang berbalah itu sedar dan bertaut. Orang Melayu mengharap kepada Raja untuk sekali sekala bertanya khabar dan mengambil berat tentang kesejahteraan orang Melayu supaya orang Melayu tidak jadi seperti ayam kehilangan ibu? Orang Melayu mahu Raja Melayu menjadi raja orang Melayu sambil menjadi Raja berPerlembagaan. Orang Melayu mengharap Raja Melayu menyuruh pemimpin Melayu hentikan perbalahan.
yang sudah lama wujud sehingga melemahkan kedudukan orang Melayu, pemimpin Melayu, dan Bangsa Melayu. Orang Melayu mengharap supaya Raja Melayu mendorong pemimpin-pemimpin Melayu berprestasi cemerlang dan bermoral tinggi demi maruah dan kedudukan Bangsa Melayu sebagai peneraju Negara. Rakyat sangat berharap kepada Raja Melayu untuk memberi perlindungan dalam keadaan yang memerlukan.

Realiti kedua ialah wujudnya di kalangan pemimpin-pemimpin besar Melayu sikap tidak mahu memperjuangkan kepentingan Melayu Islam dalam perkara-perkara yang menyentuh kehidupan rakyat Melayu. Kekaburan dalam interpretasi peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan yang menyentuh apa yang orang Melayu pegang tidak mahu diperjelaskan dalam Parlimen dalam bentuk Akta yang bersesuaian. Pemimpin-pemimpin Melayu sendiri sudah lama melepas tangan dan rela membiar supaya perkara-perkara kepentingan Melayu yang dipertikaikan diserahkan kepada mahkamah.

Nampaknya sudah tidak ada ruang atau kesediaan atau keberanian atau usaha untuk pemimpin-pemimpin Melayu angkatan baru berjuang dengan berhemah dan roh perjuangan Melayu bagi melindungi dan menangani isu kepentingan Melayu dalam masyarakat berbilang kaum walaupun semua tahu bahawa Bangsa Melayu didedahkan kepada risiko hilang maruah jika keputusan mahkamah merobohkan kepentingan Melayu. Dalam keadaan sekarang setiap kali perkara kepentingan Melayu ditolak oleh mahkamah begitu aibnya Bangsa Melayu dibuat.

Pemimpin-pemimpin Melayu di Parlimen tidak boleh lari dari tanggungjawab untuk berhujah kelas pertama bagi meyakin dan mendapat sokongan dari kawan dan lawan supaya kepentingan Bangsa Melayu tidak dijadikan sesuatu yang ditentukan oleh mahkamah. Apabila maruah Melayu hilang, kemuliaan Melayu pun turut hilang. Sikap hurmat orang Melayu dan orang bukan-Melayu kepada kepimpinan Melayu juga tidak dapat tidak akan terjejas. Orang Melayu akan jadi ejekan sebagai yang mahu menegak perkara yang bukan-bukan.

Jika pemimpin-pemimpin Melayu dalam Parlimen tidak dapat berdiri berhujah mempengaruhi dan menyakinkan anggota Parlimen supaya menerima apa yang orang Melayu perjuangkan sebagai sah dan relevan apakah perlunya orang Melayu diajak berjuang melalui politik. Seluruh ahli Parlimen Melayu perlu bersedia setiap masa untuk mengambil bahagian berucap di Parlimen dengan berhemah dan bersedia penuh dari segi daya berfikir, daya berhujah, ilmu pengtahuan serta sifat goodwill terhadap semua dalam Parlimen bagi memberi fahaman, mendapat persefahaman, sokongan, persetujuan, dan kelulusan Parlimen dari kawan dan lawan demi ketenteraman jiwa orang Melayu tanpa memberi masalah kepada kaum lain. Orang Melayu yang berkerajaan yang diterajui oleh orang Melayu tidak lagi harus berjuang di luar pagar.

Mungkin politik sudah tidak relevan kepada orang Melayu selain dari hanya sebagai proses rakyat memberi kuasa kepada wakil rakyat untuk mentadbir negara. Jika kuasa politik tidak diguna dengan baik secara yang tidak menekan mana-mana pihak bagi melindugi kepentingan Melayu maka politik sudah tidak relevan kepada kepentingan Melayu. Politik dalam keadaan demikian hanyalah penting dan relevan bagi pengurusan dan pentadbiran negara.

Wakil rakyat yang berapi-api tidak rela berkompromi lagi tentang kepentingan Melayu selepas ini sebenarnya berangan-angan. Perkara yang boleh menyelamatkan orang Melayu dari kehinaan dalam tanah air sendiri adalah Akta yang sepatutnya digubal untuk menjadi benteng kepada apa yang dianggap sebagai kepentingan Melayu. Kepentingan Melayu tidak boleh lagi samar-samar atau yang bukan-bukan mengikut selera orang Melayu yang baru bangun dari tidur. Kepentingan Melayu adalah apa yang konsisten dengan Perlembagaan dan perlu dinyatakan dengan jelas. Itulah salah satu faedah berpolitik. Memelihara kepentingan Melayu yang sah tidak semestinya menekan atau menafikan hak kaum lain.

Oleh kerana adanya sikap tidak mahu memperjuangkan kepentingan Melayu dan sikap melepas tangan oleh pemimpin-pemimpin besar Melayu hari ini maka orang Melayu perlu segera terima Realiti ketiga ia itu peranan undang-undang sebagai penentu dalam apa-apa yang orang Melayu mahu tetapi dipertikaikan oleh kaum lain. Sentimen yang ditiup sekarang tentang ketuanan Melayu dan orang Melayu tidak rela diitukan dan diinikan oleh kaum lain akan menjadi beban dalam perjalanan hidup orang Melayu di tanah air sendiri apabila pihak berkuasa melepas tangan dan menyerahkan perjuangan Melayu yang sah supaya ditentukan oleh Mahkamah.

Di bawah realiti ketiga ini orang Melayu mesti mulai berdiri dengan kesedaran bahawa yang akan menentukan apa yang orang Melayu mahu kekalkan adalah undang-undang dan mahkamah. Ilmu undang-undang menjadi penting. Batu Putih jatuh ketangan orang kerana mungkin orang Malaysia tidak pintar dalam bidang undang-undang. Orang Melayu akan kehilangan apa yang mereka anggap mereka punya jika tidak pintar dibidang undang-undang.

Realiti ke empat ialah hakikat bahawa orang Melayu perlu bersaing merebut peluang. Siapa cepat dia dapat akan menentukan kedudukan Bangsa Melayu secara relatif dengan kaum-kaum lain. Penentuan kedudukan orang Melayu di masa depan memerlukan ilmu, kemahiran, daya fikir dan kecekapan serta kepantasan bertindak. Ilmu sahaja atau sifat tidak rasuah seperti yang dikhutbahkan tidak akan menjamin kedudukan Bangsa Melayu jika tidak didokong oleh kebolehan dan kemahiran serta kepantasan bertindak. Hari ini contoh peluang yang terlepas adalah cukup banyak.

Dalam masa orang Melayu lesu menunggu RMK9, atau menunggu cabinet disusun semula atau menunggu pilihan raya diadakan kaum bukan Melayu tidak hirau itu semua. Perkara sedemikian tidak mengganggu perhatian mereka sehingga melesukan. Mereka sudah jauh kedepan dengan pencapaian dalam banyak bidang.Peluang dibidang ICT, baik dibidang penggunaan dan dibidang perniagaan serta perkhidmatan sudah teguh dipegang oleh kaum bukan Melayu dan sekarang mereka memegang bendera sebagai pihak di hadapan. Dengan tidak nampaknya orang Melayu berperanan dengan profile tinggi dalam bidang perdagangan, perindustrian, perkhidmatan dan lain-lain sektor dalam Negara itu adalah tanda awal bahawa Melayu mulai hilang di dunia; ada tapi tidak nampak ada. Lama mana proses akan berlaku Allah saja yang maha mengtahui.

Realiti ke lima ialah bahawa segala dasar akan ditentukan oleh undi dan suara ramai atau kehendak ramai. Pihak yang mempunyai suara terbanyak akan menentukan kedudukan walaupun yang ditentukan itu tidak bersandar kepada logic. Realiti ini juga akan memeranjatkan orang Melayu yang baru bangun dari tidur dan yang beranggapan bahawa sebagai anak watan orang Melayu masih berhak dalam banyak perkara walaupun perkara-perkara itu mungkin sudah lama dikompromi. Sifat negara berbilang kaum akan mencorakkan dasar dan program negara. Dalam keadaan demikian orang Melayu tidak lagi boleh bersikap seperti Ahli Parlimen dari Johor yang tidak rela berkompromi lagi dalam perkara-perkara yang menyentuh kehidupan orang Melayu. Jika perkara yang hendak dipertahankan sebagai bidang orang Melayu itu adalah perkara biasa dalam kehidupan masyarakat berbilang kaum maka ahli Parlimen dari Johor yang beria-ia tidak mahu berkompromi itu boleh dianggap sebagai bermimpi di siang hari. Rela atau tidak oleh beliau dunia sekeliling beliau akan berubah.

Realiti ke enam ialah kesihatan tubuh badan dan otak akan menentukan siapa dapat bertahan dalam situasi yang bergantung kepada daya tahan, daya tahan lasak, dan semua perkara yang bergantung kepada kesihatan. Kaum yang tidak berada dalam keadaan sihat atau berpenyakit, atau kurang pemakanan akan tidak cergas dalam kehidupan negara. Mereka tidak akan dapat berpartisipasi dalam kegiatan sosio ekonomi dengan berkesan dan mungkin akan menjadi beban kepada negara. Orang Melayu yang mahu menjaga maruah perlu berpartisipasi sepenuhnya dalam kehidupan negara dalam serba bidang secara cergas dan berkesan. Orang Melayu yang bervisi cerah perlu beri perhatian kepada kesihatan dan mencegah kegiatan yang merosakkan kesihatan. Penagihan dadah sudah tentu melemahkan. Sebagai contoh kecil tentang kesihatan otak, ramai pemimpin-pemimpin Melayu yang menaungi bermacam persatuan pencak silat tidak pernah mengarahkan supaya perbuatan memecah batu-bata dengan kepala yang boleh mencacat otak dihentikan. Amalan memecah batu-bata dengan kepala untuk menunjuk kekuatan mungkin mendedah otak kepada risiko cedera. Demikianlah mutu pemimpin politik Melayu. Otak Melayu perlu dijaga baik-baik terutama di kalangan muda mudi yang menjadi harapan bangsa.

Bersambung…..

MyKampungku

0 comments:

nuff

Visited Since 090322

Followers

Komen Terkini

Categories

My Page Rank

Labels

Blog Widget by LinkWithin
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Bluehost