Wednesday, August 12, 2009

Sah Nordin Masih Hidup Dan Terus Jadi Buruan :- Nizar vs Najib Altantuya

Polis Malaysia dilaporkan ingin terus bekerjasama dan membantu polis Indonesia menjejaki serta menahan Noordin Mat Top selepas lelaki yang ditembak mati Sabtu lalu disahkan bukan suspek pengganas itu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata polis atau keluarga Noordin di Malaysia memang tidak mempunyai maklumat berhubung kedudukan rakan utama Dr Azhari Hussein, pakar bom yang terkorban hujung 2005.

"Namun kita tetap akan membantu dari segi menyalur dan berkongsi maklumat risikan sehingga tertangkapnya Noordin," Musa dipetik berkata selepas majlis penyerahan kutipan derma bagi Tabung Kemanusiaan Untuk Kanak-Kanak Gaza di Bukit Aman hari ini.

Menurut laporan Bernama pula, polis Indonesia mengesahkan bahawa mayat lelaki yang ditembak mati di Temanggung (foto atas) itu seorang pengganas yang dikenali sebagai Ibrohim.


Beliau didakwa terlibat merancang dan mengatur pengoboman di Hotel JW Marriott dan Ritz Carlton di Jakarta pada 17 Julai lepas.

Dalang pengeboman

Pengesahan identiti Ibrohim, 37, dibuat hasil ujian DNA yang dijalankan ke atas mayat lelaki itu, kata ketua Pusat Pengecaman Identiti Mangsa Bencana Polis Indonesia, Brig Jen Eddy Saparwoko pada sidang media hari ini.

Mayat tersebut sebelum ini pernah dilaporkan kemungkinan sebagai Noordin, suspek pengganas yang paling dikehendaki di republik itu yang dikatakan dalang di sebalik beberapa pengeboman.

Eddy dipetik berkata ujian DNA dengan sampel daripada keluarga Noordin didapati tidak padan tetapi sebaliknya padan dengan sampel daripada keluarga Ibrohim yang tinggal di Kuningan.

Dengan itu mayat berkenaan disahkan sebagai Ibrohim.

Menurut polis, Ibrohim yang bekerja sebagai penata bunga di hotel JW Marriott dan menghilang sejak 17 Julai menjadi buruan kerana disyaki membawa bom dalam tiga kotak masuk ke hotel itu dengan menggunakan van pengangkut bunganya.

Bom dalam tiga kotak itulah yang diletupkan oleh dua orang pengebom berani mati pada pagi Jumaat itu, yang meragut sembilan nyawa (termasuk dua pengebom) dan mencederakan lebih 50 orang yang lain.

Mati dihujani peluru

Ketua perhubungan awam Markas Besar Polis Indonesia, Nanan Soekarna pula berkata polis tidak pernah memberi keterangan sebelum ini bahawa lelaki itu adalah Noordin, pengganas yang menjadi buruan di Indonesia sejak sembilan tahun lepas.

Ujian DNA ke atas mayat lelaki yang mati setelah dihujani peluru ketika bersembunyi di sebuah rumah di Desa Kedu, Temanggung, diuji dengan sampel DNA keluarga Noordin dari Johor Bahru dan sampel keluarganya yang lain di Cilacap dan Klaten, Indonesia.

"Namun hasilnya tidak cocok (padan) semuanya," kata Eddy dan menambah, namun ujian menggunakan sampel daripada seorang anak lelaki dan perempuan Ibrohim, kemudiannya didapati seratus peratus padan.

Pada sidang media itu juga polis mengumumkan hasil ujian DNA ke atas Dani Permana, yang berasal dari Bogor, yang disahkan sebagai pengebom di Hotel JW Marriott.

Hasil ujian DNA ke atas lelaki yang dipercayai juga pengebom di Ritz
Carlton pula, Nana Ichwan Maulana, dari Banten, masih belum selesai dilakukan.

Noordin motivasi suspek

Dua ujian DNA yang sudah selesai dijalankan juga mengesahkan bahawa pengganas yang ditembak mati dalam satu lagi operasi di Bekasi pada 8 Ogos lalu di mana polis turut menjumpai 500 kilogram bahan peledak, ialah Aher Setiawan, 28, dan Eko Joko Santoso, 27.

Menurut Nanan, Aher juga terlibat dalam pengeboman di kedutaan Australia pada 2003 sementara Eko merupakan pembuat bom yang digunakan dalam letupan di kedua-dua hotel mewah tersebut.

"Dalam kejadian ini, Noordin merupakan perancang utama yang hadir dalam beberapa pertemuan kelompok pengganas termasuk di Mampang di sini dan Jati Asih di Bekasi.

"Walaupun dia tidak terlibat secara langsung di lapangan tetapi dialah yang merancang dan memotivasi suspek lain untuk beraksi," katanya dan menambah masih terdapat antara tiga hingga lima orang dalam kumpulan itu yang sedang diburu.

Beliau berkata tiga lagi lelaki yang disyaki terbabit dalam kejadian pengebomam di kedua-dua buah hotel di kawasan Mega Kuningan itu telah juga ditangkap.

Mereka ialah Amir Abdillah yang menjadi penjaga rumah persembunyian pengganas di Bekasi, Aris serta Hendra, penduduk Temanggung yang menyembunyikan Ibrohim dan Noordin.

Bom dalam kotak bunga

Nanan bagaimanapun enggan mengulas mengenai rancangan untuk memburu Noordin dan anggota kumpulan pengganasnya, tetapi berkata beliau percaya Noordin masih berada di Indonesia.

"Sekarang fokus polis bukan terhadap Noordin sahaja kerana dia merupakan mastermind (dalang) tetapi juga merangkumi orang lain yang direkrut olehnya," kata beliau.

Beliau berkata dari siasatan ke atas mereka yang ditangkap, polis mendapati rancangan untuk mengebom kedua-dua buah hotel itu sudah dibuat oleh kumpulan pengganas tersebut sejak April lalu.

Pada sidang media itu juga, polis turut menayangkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kedua-dua hotel itu, yang menunjukkan pergerakan Ibrohim pada 8 Julai sedang melakukan tinjauan lokasi dengan Nana Maulana dan pada 16 Julai, Ibrohim memasukkan bom dalam kotak bunga melalui pintu masuk barang di JW Marriott.

Visual pada 17 Julai pula menunjukkan Ibrohim membawa masuk Nana Maulana ke hotel Ritz Carlton melalui pintu masuk pekerja pada pukul 6.15 pagi, kira-kira 90 minit sebelum letupan berlaku.

Sementara itu di Hospital Pusat Polis Dr Sukamto di Keramat Jati di Jakarta, beberapa keluarga sudah menuntut mayat pengganas yang terbunuh itu.-/malaysiakini

MyKampungku

0 comments:

nuff

Visited Since 090322

Followers

Komen Terkini

Categories

My Page Rank

Labels

Blog Widget by LinkWithin
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Bluehost