Sunday, November 8, 2009

Isu Dr Asri Dan Jais: Tangkap Tapi Tidak Didakwa :- Nizar vs Zambry - Najib Altantuya

Oleh TOK PERAK

* SEDIKIT pun saya tidak terkejut sekiranya Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menahan Dr Mohd Asri Zainul Abidin awal pagi Isnin lalu atas alasan beliau menyampaikan kuliah agama tanpa tauliah.

Sebab memang menjadi peraturan di Selangor siapa sahaja yang hendak berceramah atau memberi kuliah agama perlu mempunyai tauliah. Ketika berceramah di sebuah rumah di Taman Sri Ukay malam itu memang bekas al-Fadil Mufti Perlis itu tidak mempunyai tauliah.

Tidak perlu dipersoalkan kenapa tangkap Dr pakar ilmu hadis itu, sedangkan ada sekian banyak individu – sesetengahnya tidak ada latar belakang agama dan hanya bermodalkan serban dan kopiah lembik – tidak bertauliah tetapi berceramah bebas di mana sahaja.

Peraturan tetap peraturan. Sepatah kata Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, kalau beliau hendak berceramah di Selangor beliau pun perlu mendapatkan tauliah itu. Jika tidak ada tauliah, beliau tetapi dikira salah, walaupun bertaraf mufti.

Soal banyak orang tidakmempunyai tauliah tetapi terus bebas berceramah, itu hak Jais untuk bertindak. Siapa yang Jais hendak saman, siapa hendak ditangkap, siapa boleh berceramah cara haram, semua itu budi bicara Jais. Tidak perlu dipersoal lagi.

Cuma satu yang mengejutkan saya ialah apabila pagi Isnin itu Dr Asri pergi ke Mahkamah Syariah Gombak, seperti yang diarahkan, tidak pula beliau didakwa. Tiga jam menunggu pegawai dari Jais tidak muncul, dan akhirnya Dr Asri dibenarkan pulang tanpa sebarang pendakwaan.

Sebelah malam berpuluh-puluh pegawai Jais dan polis mengepung rumah di mana Dr Asri berceramah. Tidak boleh langsung bertolak ansur, sepatah kata beliau sendiri “seperti hendak menangkap Nordin Mat Top” akhirnya tidak ada pendakwaan. Tidakkan itu pelik dan mengejutkan?


* APABILA usaha menangkap dilakukan begitu gah, tetapi tidak ada sebarang pendakwaan, tentu orang bertanya: apa sebenarnya muslihat Jais? Apakah tidak ada bukti untuk pendakwaan? Kalau tidak ada bukti kenapa ditangkap?

Kemudian ada kenyataan bahawa bekas Mufti Perlis yang bertugas sebagai pensyarah di Universiti Sains Malaysia bersalah sebab menyebarkan fahaman Wahabi. Kalau itulah kesalahannya kenapa tidak didakwa pada pagi itu?

Atau, apakah Jais tidak tahu apa sebenarnya kesalahan Dr Asri? Kalau tidak tahu mengapa dikepong begitu ketat dan ditangkap? Soalan-soalan ini akhirnya menjurus kepada satu andaian, bahawa Jais mungkin melakukan tangkapan tengah malam itu atas arahan pihak tertentu. Siapa pihak tertentu itu?

Akhirnya Pengarah Jais, Datuk Mohamed Khusrin Munawi memberitahu pihaknya akan mendakwa Dr Asri atas kesalahan berceramah tanpa tauliah. Tidaklah diketahui bila itu akan dilakukan, tetapi sekurang-kurangnya Jais menyatakan pendirian dan orang ramai tidak terkeliru dengan tindakan Jais.

Persoalannya sekarang ialah apa akan terjadi pada sekian banyak ‘ustaz’ dan ‘tuan guru’ tidak bertauliah yang terus bebas berceramah tanpa tauliah. Adakah mereka akan diburu seperti Dr Asri.

Ada tuduhan bekas Mufti Perlis itu kononnya menyebarkan fahaman Wahabi. Sekiranya benar, Jais pun boleh mendakwa Dr Asri atas kesalahan tersebut. Sekurang-kurangnya ada ruang untuk Dr Asri memberi penjelasan dan membela diri.

Jais mengambil masa yang lama untuk menangkap dan mendakwa individu yang mendakwa sebagai ‘Rasul Melayu’ yang menyebarkan ajaran sesat. Dalam waktu yang sama ada perkampungan jemaah ajaran sesat yang telah sekian lama wujud, tetapi tidak pula diambil tindakan. Selangor memang terkenal dengan sekian banyak ajaran sesat.

Sementara tangkapan dan pendakwaan terhadap Dr Asri adalah dialu-alukan sekiranya beliau betul-betul bersalah, Jais patut melebarkan tindakannya kepada individu-individu lain yang juga mengajar tanpa tauliah, dan mungkin menyebarkan fahaman salah.

Jangan hukum Dr Asri sahaja, pihak lain yang menyelewengkan agama juga patut diambil tindakan. Jika tidak nanti Jais akan dituduh sebagai mengamalkan ‘pendakwaan terpilih’.


* SEJAK dulu kita memang banyak ajaran sesat. Di Selangor sahaja ada berpuluh ajaran sesat yang sehingga kini masih tidak dapat dibendung. Paling hebat ialah ada individu yang mendakwa diri sebagai ‘Rasul Melayu’. Kini telah didakwa dan dihukum.

Selangor jugalah dulu menjadi pusat perkumpulan ‘al-Arqam’ yang pemimpinnya membuat berbagai-bagai dakwaan hebat, termasuk bercakap dengan Nabi Muhammad. Ada orang percaya wajah Ashaari Muhammad muncul di bulan.

Bagi orang yang waras, tentu tidak dapat menerima bagaimana pemimpin Arqam boleh berbicara dengan Rasulullah, dalam bahasa Melayu pula! Tetapi, pengikut-pengikut kumpulan tersebut - mungkin kerana taksub kepada Ashaari - mempercayai bulat-bulat apa yang didakwa sebagai dialog dengan Rasulullah itu. Ada yang setiap malam bulan penuh akan mendongak ke langit kerana perasan pemimpin mereka ada di wajah bulan.

Di tempat-tempat lain muncul sekian banyak ajaran sesat, termasuk yang tidak mewajibkan pengikutnya menunaikan haji di Mekah, memadai melakukan haji di Pulau Pinang. Ada juga ajaran sesat yang tidak mewajibkan pengikutnya bersembahyang lima waktu. Ramai pengikut ajaran-ajaran sesat seperti ini lebih percaya kepada ketua dan tidak mempedulikan orang lain.

Tidak lama dulu kita dikejutkan dengan seorang individu yang mendakwa menubuhkan ‘Kerajaan Langit’. Ayah Pin mempengaruhi ramai pengikut termasuk dari luar negara. Dikatakan pegawai kerajaan dan kakitangan akademik universiti pun percaya pada Ayah Pin.

Kerajaan langit di Terengganu berjaya dimusnahkan, tetapi sampai sekarang Ayah Pin tidak diketahui di mana. Hairan bin ajaib, pihak berkuasa kita yang terkenal cekap dan dilengkapi peralatan canggih gagal mengesan pemimpin Kerajaan Langit.

Apakah Jais melihat kesalahan Dr Asri sama dengan Ayah Pin, ‘Rasul Melayu’ dan lain-lain penyebar ajaran sesat? Kita tunggulah sekiranya satu hari nanti bekas Mufti kelulusan ilmu hadis itu didakwa atas kesalahan menyampaikan ajaran salah. Namun, setakat ini seperti yang dibayangkan oleh Jais, pendakwaan hanya tertumpu kepada tauliah, bukan penyebar fahaman salah.


* AKHIR kalam, sementara isu Dr Asri masih hangat, timbul pula isu mengenai sejadah berdiri. Bermula dengan kejadian yang dianggap aneh di negeri Kedah, kejadian sejadah berdiri merebak ke negeri-negeri lain.

Walaupun ramai yang menganggap itu sebagai cerita kartun, tetapi ramai juga yang percaya bagai nak rak. Al-maklumlah macam-macam cerita 'kelakar' dikaitkan dengan kejadian itu. Konon ada berpuluh sejadah berdiri di sebuah surau di Kelantan, dan ada satu sejadah berdiri di hadapan menjadi imam.

Di satu surau lain pula ada cerita saksi kononnya ada sejadah yang turun dari lipatan di atas rak, lalu berdiri di barisan sejadah-sejadah lain untuk solah berjemaah. Cerita kartun seperti itu pun ada orang percaya.

Jangan terkejut sekiranya sehari dua ini ada orang mendakwa dia melihat dua tiga helai sejadah berdiri dan membongkok di tempat mengambil wuduk dan kemudian berdiri berbaris untuk solat berjemaah. Entah-entah tidak lama lagi ada yang nampak sejadah sedang mandi junub!

Sejak dulu sampai sekarang orang kita tidak habis-habis dengan cerita seperti ini. Keranda terbang, keris terbang, semua terjadi di sini. Orang percaya bulat-bulat, tanpa sedikit pun berfikir secara logik.

Pada hal sejadah berdiri bukanlah satu yang pelik. Siapa pun boleh membuat sejadah berdiri, sama seperti tikar berdiri, bantal berdiri, guni beras berdiri. Dalam zaman serba canggih ini orang boleh buat tongkat berdiri. Kalau hendak meja berdiri pun boleh. Janganlah rendahkan fikiran kita dengan mempercayai dan taasub kepada benda-benda karut itu. Kesian orang kita!

--Sinar Harian

MyKampungku

0 comments:

nuff

Visited Since 090322

Followers

Komen Terkini

Categories

My Page Rank

Labels

Blog Widget by LinkWithin
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Bluehost