Saturday, November 7, 2009

Kepimpinan PAS Berpecah Tiga ?? Nizar vs Zambry


Kononnya terdapat tiga golongan dalam kepimpinan PAS sekarang. Pertama, yang sangat kuat mempertahankan Pakatan Rakyat. Keutamaannya ialah menumbangkan Umno di Pusat. Siapa pemimpin Pakatan tidak penting, asal dapat diterima semua pihak dan kalangan rakyat jelata dari pelbagai kaum. Jadi tidaklah semestinya pemimpin dari parti sendiri yang memimpin Pakatan.

Kedua, golongan yang tidak dapat bertolak ansur dengan parti Pakatan yang lain, terutama dalam persoalan dasar parti. Dasar parti adalah Islam, masakan isu mencegah kemungkaran boleh dikendurkan demi toleransi dengan parti sepakatan.

Jika gabungan dalam Pakatan menyebabkan Islam dikesampingkan, apa salahnya bertoleransi dengan parti Melayu bukan Pakatan yang lebih dekat dengan Islam, berbanding parti sekular dalam Pakatan yang menolak dasar parti.

Ketiga, golongan yang bersetuju memperkasakan Pakatan tetapi prinsip perjuangan wajib dipertahankan dan PAS mesti dominan dalam Pakatan. Biar kalah tapi PAS tak gadai prinsip.

Ketiga-tiga golongan itu diwujudkan dalam ceritera politik tanahair, dipersembahkan berulang-ulang dalam pelbagai episod dan pentas sandiwara, sehingga akhirnya dipercayai dan diterima 'kebenarannya'.

Sekarang ia bukan setakat diterima oleh pemerhati politik di luar parti, tetapi semacam dipercayai juga oleh sebilangan pendokong parti.

Realiti politik di negara ini, kemunculan DAP dan KeADILan bukan satu gugatan buat Umno. DAP tidak bertanding di kawasan tradisi Umno, begitu juga sebaliknya. KeADILan pula adalah parti yang tiada akar umbi. Ahli-ahli KeADILan untuk satu Cabang (kawasan) kadangkala tidak melebihi satu cawangan PAS pun.

Jadi parti yang menjadi ancaman Umno ialah PAS. Maka menghancurkan PAS adalah agenda yang lebih aula bagi Umno dari menyatupadukan MCA yang berkelahi atau MIC yang bergaduh.

Kerja Umno sekarang ialah cuba sedaya upaya menghindarkan sokongan orang Melayu terhadap PAS atau menghancurkan PAS dari dalam. Ia boleh dilakukan dengan menghulurkan salam persahabatan dengan PAS.

Jika PAS menolak maka Umno boleh beritahu orang Melayu bahawa PAS menolak perpaduan, maka sebahagian Melayu akan membenci PAS. Jika sebahagian pemimpin bersikap lunak dengan 'pelawaan munafik' itu maka berpecahbelahlah kepimpinan dalam PAS.

"Petugas PAS juga katanya perlu sedar, Umno sudah menukar strategi mereka setelah melihat sokongan rakyat kepada Pakatan Rakyat semakin meningkat sejak PRU ke-12 dan tujuh pilihan raya kecil berikutnya," itu kata Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man dalam blognya.

Umno kini, katanya, menggunakan strategi menimbulkan pergolakan dalaman parti parti dalam Pakatan Rakyat sehingga timbul pelbagai pandangan dalaman yang berbeza yang mampu menggawatkan parti masing masing.

"Strategi itu dilihat berjaya apabila disokong sepenuhnya media arus perdana dan media baru yang mengalihkan perhatian masyarakat dengan menumpukan kepada krisis dalaman Pakatan," ujarnya.

Katanya, kaedah mengalih perhatian diguna sepenuhnya oleh media perdana dan media baru sehingga kini dilihat berjaya.

"Pengalihan pandangan dan pemerhatian ini menyebabkan seluruh pemerhatian tertumpu kepada soal krisis yang diciptakan menyebabkan terlalu banyak masa, tenaga dan fikiran tertumpu kepada perkara yang tidak sepatutnya dihabiskan," tulis Naib Presiden PAS itu.

Bekas pemimpin Al-Arqam, Ustaz Ashaari Muhammad pernah menulis buku, "Jangan Salahkan Musuh". Perangai kita di mana-mana memang begitu. Setiap kelemahan dalaman dipersalahkan kepada musuh, kononnya yang mencipta dan mencetuskannya.

Mukadimah tulisan ini, saya menyorot ulasan pemerhati politik tanahair perihal kewujudan tiga golongan dalam PAS. Golongan pertama yang mengkagumi pemimpin di luar PAS memang wujud. Tetapi ia tidak dikonspirasikan oleh Umno.

Pernah sewaktu Almarhum Ustaz Fadzil Noor mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan PAS Kedah, hampir separuh wakil kawasan tidak hadir. Setelah disiasat rupanya mereka hadir di program yang dihadiri oleh Presiden Parti Melayu Semangat 46, Tengku Razaleigh Hamzah.

Sewaktu permuafakat pembangkang berlaku antara PAS-Semangat 46 dan Semangat 46-DAP, Tengku Razaleigh dianggap sebagai pemimpin utama. Siapa yang memberinya pengiktirafan? Jika sekarang, berlaku hal yang hampir sama, cuma tokohnya berbeza, maka ia cuma ulangan opera politik dua dekad lalu.

Tanpa membicarakan golongan kedua, saya lebih tertarik untuk menjadikan golongan ketiga dalam PAS sebagai golongan yang dominan. Pilihan raya adalah kaedah mendapatkan kuasa. Tapi kuasa bukan penyudah perjuangan. Ia cuma alat bukan matlamat. Apa ertinya kuasa di tangan jika prinsip tidak dapat dipertahankan.

Misalnya, separuh abad di bawah BN habis tanah orang Melayu/Islam berpindah milik. Hingga tanah rizab Melayu pun tidak dapat dipertahankan lagi. Jika kerajaan negeri Kedah pimpinan Dato' Seri Azizan Razak menterjemahkan sikap mempertahankan hak dengan menetapkan kuota perumahan 50-50, seluruh kepimpinan parti wajar mempertahankannya dengan hujah yang dapat merasionalkan semua pihak, terutama bukan Melayu.

Tetapi ia tidak berlaku. PAS Kedah dibiar terkonteng-konteng, berhempas pulas sendiri mempertahankan tindakan. Itu sekadar satu contoh.

Sebab itu ada pihak yang mempertahankan tindakan Dato' Dr. Hassan Ali membelasah rakan sepakatan berhubung isu arak kerana mempertahankan prinsip. Cuma salah beliau ialah berbicara secara terbuka, tiada etika dalam permuafakatan politik.

Maka timbul pula hujah dari golongan pertama, "Aulawiyat kita menumbangkan BN. Realiti politik tanahair undi bukan Melayu jadi penentu. Mana lebih baik, 'pertahankan prinsip' tapi gergasi jahat BN terus berkuasa di Pusat atau korbankan sedikit kepentingan (prinsip?) buat sementara tapi BN dan Umno boleh ditumbangkan untuk pertama kali?"

Pertimbangan politik selalunya berada di cabang dilema. Lakukanlah analisis dan cerapan politik demi mencari yang terbaik.

--detikdaily

MyKampungku

0 comments:

nuff

Visited Since 090322

Followers

Komen Terkini

Categories

My Page Rank

Labels

Blog Widget by LinkWithin
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Bluehost