Sunday, November 22, 2009

Kota Siputeh: Menanti Saingan Sengit PAS vs UMNO

Pengaruh BN makin meningkat berbanding 8 Mac 2008. Itu hasil kajiselidik yang dibuat oleh beberapa kumpulan profesional. Lantas kesimpulan dibuat bahawa jika pilihan raya umum diadakan sekarang maka, BN dapat mengekalkan majoriti dua pertiga di Parlimen dan dapat merampas semula Kelantan dan Kedah, manakala kerajaan katak BN di Perak akan dikekalkan dengan mandat mutlak dari rakyat.

Manakala BN terus menerus menggunakan serangan berangkai media-media talibarut mereka untuk melancarkan serangan ganas terhadap Pakatan Rakyat.

Ia dibantu dengan kehadiran 'budak-budak nakal' (meminjam istilah Mohd Rashidi Hassan) dan pemimpin-pemimpin 'gila bercakap' dalam Pakatan sehingga tidak sedar apa yang mereka ungkapkan itu lebih memudaratkan parti. Isu budak nakal boleh ditangani dengan rotan tetapi jika guru pula yang nakal, ini yang memeningkan kepala ahli-ahli bawahan.

Rashidi menulis: "Penulis sendiri menerima banyak respons dari kalangan penyokong Pakatan Rakyat, semuanya menyatakan betapa tensionnya mereka dengan sikap segelintir pemimpin yang suka bercakaran sesama sendiri."

Rupanya saya tidak keseorang menghadapi situasi yang sama, didesak bertalu-talu oleh ahli-ahli bawahan supaya menggunakan mata pena untuk menegur pemimpin-pemimpin seperti ini.

"Jangan kira, walaupun kedudukan mereka paling tinggi dalam parti ...," ujar seorang ahli yang semacam hilang sabar.

Saya menjelaskan, "Jika kita menggunakan serangan terbuka untuk mengatasi ketidakcerdikan mereka menggunakan media terbuka (kononnya) untuk mengatasi masalah, maka kita pun 'tak cerdik' macam mereka juga, akibatnya parti yang rugi."

Isu-isu percakaran dan komplikasi percakapan akibat 'gila bercakap' memberi impak yang buruk terhadap persepsi pengundi Melayu. Persepsi mereka terhadap Pakatan menjadi negatif.

Bagaimanapun agak melegakan kerana di saat peningkatan sokongan terhadap BN, sokongan pengundi Cina tidak banyak berubah berbanding 8 Mac 2008. Pengarah Merdeka Centre, Ibrahim Suffian sependapat dengan penemuan tersebut. "Sokongan pengundi Cina tidak berubah berbanding tahun lalu," katanya.

Separuh abad PAS sangat bermasalah dengan sokongan orang Cina. Jika selepas 19 bulan orang Cina masih setia bersama BN, ia memberi gambaran bahawa mereka menyokong Pakatan bukan setakat kerana bencikan BN.

Lebih dari itu keyakinan terhadap Pakatan makin mantap. Sebabnya mudah saja, Pakatan dilihat lebih bertoleransi terhadap semua kaum. Manakala BN yang didominasi Umno makin menyerlahkan sikap perkauman Melayu sempitnya.

Di tengah-tengah itu muncul pula pilihanraya kecil Kota Siputeh. Mahkamah Tinggi mengesahkan bahawa Dato' Abu Hasan Sarif hilang kelayakan sebagai ADUN kawasan tersebut setelah dua kali berturut-turut tidak menghadiri sidang Dun.

Sebelum ini Speaker Dun Dato' Dr. Abd Isa Ismail telah mengisytiharkan kekosongan kerusi tersebut, tetapi setelah notis kekosongan dihantar kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), badan pengendali pilihan raya itu menolaknya.

Semua maklum bahawa SPR adalah 'kaldai tunggangan' BN, masakan mereka berani membuat keputusan yang bercanggah dengan nafsu serakah pemimpin BN.

Mahu tidak mahu BN terpaksa menghadapi pilihan raya kecil. Meskipun semua petunjuk menampakkan BN sudah kembali kuat sekarang namun ramai percaya Dato' Seri Najib dan pemimpin Umno Pusat tidak gembira dengan pilihan raya tersebut.

Ia adalah pilihan raya untuk mempertahankan kerusi di kawasan di mana Umno menghadapi masalah dalaman.

Abu Hassan adalah Ketua Umno Bahagian Jerlun yang memenangi jawatan tersebut melalui pertarungan dan pergolakan dalaman. Beliau mengalahkan Dato' Abdul Rahman Ariffin hasil paduan tenaga dengan Timbalannya, Dato' Othman Aziz. Ertinya modal permusuhan antara dua kem besar sudah wujud di Jerlun. Mereka tidak semantap Umno Bagan Pinang yang jika diletak katak puru sebagai calon pun, semua ahli-ahli menyokong dengan membuta tuli.

Abu Hassan sudah empat penggal menjadi wakil rakyat. Hubungannya dengan rakyat sangat rapat. Jika tidak kerana ketokohannya ramai berpendapat bahawa BN sudah tersungkur dalam pilihan raya lalu di tangan calon PAS. Beliau mengalahkan calon PAS Ismail Wan Teh yang tidak begitu terkenal dengan majoriti tipis 495 undi.

Dalam pilihan raya umum 2004 sewaktu BN dipuncak kecemerlangan, kegemilangan dan keterbilangan, BN cuma menang dengan majoriti 1,573 undi. Manakala pada pilihan raya umum 1999, BN melalui calon yang sama cuma menang 241 undi.

Maknanya, secara tradisi Kota Siputeh bukanlah kubu kuat BN. Setakat mana sangatlah pemulihan sokongan terhadap BN boleh memenangkan parti rasuah itu. Ini yang memeningkan kepala Najib.

Kekurangan bagi Pakatan pula ialah kawasan ini tidak ramai pengundi bukan Melayu, iaitu kira-kira lapan peratus sahaja. Ia tidak boleh jadi faktor undi penentu.

Jika pilihan raya diadakan, maka tentulah musim haji ini merupakan pilihan terbaik SPR untuk mengadakannya. Sebabnya orang yang menjadi tetamu Allah di Tanah Suci biasanya adalah golongan yang cintakan Islam. Orang yang cintakan Islam selalunya mengundi PAS.

Barangkali tidak ramai pengundi Kota Siputeh yang ke Tanah Suci, tapi berdasarkan catatan lalu, majoriti di Dun tersebut juga mungkin tipis juga. Jadi musim haji juga boleh jadi faktor yang boleh membantu BN.

BN masih bernafsu besar untuk menang cemerlang macam di Bagan Pinang . Bagus kalau PAS masuk gelanggang bagai orang yang kalah kerana semangat dan daya juang untuk menang akan dilipatgandakan.

Jika pilihan raya diadakan waktu cuti panjang persekolahan ini, pasti saya tidak dapat turut serta berperanan macam tumpuan yang diberikan pada pilihan raya kecil Bukit Selambau lalu. Hanya mampu berdoa di depan Baitullah memohon Allah memenangkan PAS.

Ini nota terakhir sebelum menjadi tetamu Allah. Semoga pulang dari Tanah Suci nanti dapat pula meraikan kejayaan PAS menawan Kota Siputeh. Insya-Allah.

--DetikDaily

MyKampungku

0 comments:

nuff

Visited Since 090322

Followers

Komen Terkini

Categories

My Page Rank

Labels

Blog Widget by LinkWithin
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Bluehost