Monday, November 9, 2009

Nizar vs Najib Altantuya: Kecelaruan Politik MCA


HAMPIR sebulan berlalu sejak mesyuarat agung luar biasa (EGM) MCA diadakan pada 10 Oktober lalu tetapi gelora politik MCA belum reda. Malahan semakin rumit. Dalam tempoh sebulan yang lalu, pemecatan, pelantikan dan peletakan jawatan mewarnai politik MCA. Apakah kesudahannya bagi parti komponen Barisan Nasional (BN) ini? Mampukah MCA menjadi sandaran masyarakat Cina untuk meneruskan kesinambungan politik mereka dalam BN.

Bukanlah kali pertama MCA menghadapi krisis kepimpinannya sehingga pernah satu ketika BN mengutuskan Setiausaha Agungnya, Ghafar Baba untuk campur tangan bagi menyelesaikan kemelut parti itu. Tetapi kecelaruan yang berlaku pada hari ini menampakkan tanda-tanda MCA boleh terbelah dua jika tidak ada tindakan sewajarnya diambil.

Masalah yang melanda parti secara keseluruhannya memperlihatkan bagaimana peranan lima pihak. Mereka ialah Jawatankuasa Disiplin, Majlis Presiden, Jawatankuasa Pusat (CC), perwakilan EGM dan Pendaftar Pertubuhan (ROS). Pandangan pihak mana yang harus diiikuti dan didengari? Ini persoalan yang harus dijawab oleh ahli-ahli dan pemimpin MCA bagi mengelakkan kekalutan yang berterusan. Ini kerana tsunami politik Mac 2008 masih dirasai oleh MCA.

Pemilihan barisan kepimpinan baru pada 18 Oktober 2008 yang diharap dapat memulihkan kembali keyakinan rakyat khususnya masyarakat Cina kepada MCA belum menampakkan hasil. Sebaliknya setahun selepas pemilihan, kepimpinan MCA terus bergelora. Di manakah silapnya sehingga tercetus keadaan yang tidak harmoni dalam parti itu? Ada yang menuding jari kepada Presiden MCA, Ong Tee Keat yang gagal menangani isu berkaitan Soi Lek dengan cara berhemah.

Melihat kembali rentetan kemelut dalaman MCA ini, tidak dinafikan ia sedikit sebanyak berkait rapat dengan isu Soi Lek.

Sebenarnya bekas Menteri Kesihatan itu dianggap hilang daripada arus politik MCA apabila beliau melepaskan semua jawatan dalam parti dan kerajaan pada 2 Januari 2008 berikutan penyebaran video skandal seks membabitkannya pada penghujung 2007. Tidak ada hukuman yang dikenakan terhadapnya semasa parti dipimpin Ong Ka Ting. Walaupun diselubungi skandal, beliau kekal sebagai ahli MCA. Tidak ada sebarang tindakan disiplin.

Ini bermakna, sebagai ahli, beliau layak bertanding sebarang jawatan dalam parti.

Dan secara kebetulan, tsunami politik yang melanda menyebabkan Ka Ting dan Chan Kong Choy tidak menawarkan diri untuk mengekalkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden MCA. Peluang ini menarik minat Chua Jui Meng untuk mencuba sekali lagi bagi jawatan Presiden dan Soi Lek yang meletak jawatan Naib Presiden sebelum itu mahu bertanding bagi jawatan No. 2. Tiada siapa membantah hasrat Soi Lek sebaliknya ia mendapat sokongan. Akhirnya walaupun diselubungi skandal, Soi Lek berjaya membuat kejutan apabila memenangi jawatan Timbalan Presiden mengalahkan Setiausaha Agung, Ong Ka Chuan yang ketika itu juga memegang jawatan Kabinet. Di sinilah bermulanya kebangkitan semula Soi Lek.

Tetapi pada masa yang sama, membenarkan Soi Lek yang diselubungi skandal bertanding juga mungkin satu kesilapan kerana membuka ruang untuk beliau terus berada dalam arus perdana politik MCA. Adakah kini nasi sudah menjadi bubur?

Walaupun pemilihan pemimpin tertinggi dikatakan tidak membentuk pasukan tetapi ramai yang melihat dua pasukan berentap iaitu 'dua Chua' mewakili Jui Meng dan Soi Lek sementara 'dua Ong' diwakili Tee Keat dan Ka Chuan.

Malangnya kemenangan hanya berpihak kepada '1 Ong 1 Chua' (Tee Keat dan Soi Lek) yang jelas menampakkan tanda-tanda akan berlaku kekalutan dalam parti.

berkhidmat

Ini terbukti apabila Soi Lek tidak diberi peranan atau ruang secukupnya untuk berkhidmat kepada parti. Beliau seolah-olah 'disingkirkan' secara senyap. Soi Lek yang sepatutnya diberikan peranan lebih besar sesuai dengan kedudukannya sebagai orang No. 2, hanya dilantik menduduki biro pemantauan dasar kerajaan. Maka bermulalah 'api yang membakar di dalam sekam'.

Jelaslah tindakan 'menghukum' Soi Lek menunjukkan Tee Keat tidak serasi dengan orang No.2 . Keadaan semakin parah apabila Soi Lek dipecat pada 27 Ogos lalu iaitu kira-kira 10 bulan selepas beliau diberi kepercayaan oleh 1,115 perwakilan. Pemecatan pula dibuat kerana skandal video itu dikatakan menjejaskan imej MCA.

Siapakah yang bertanggungjawab terhadap pemecatan itu? Adakah Jawatankuasa Disiplin atau Majlis Presiden?

Dalam hal ini, Majlis Presiden menerima cadangan Jawatankuasa Disiplin yang mencadangkan supaya Soi Lek dipecat berikutan penyebaran video skandal seks.

Keputusan itu memang sukar diterima oleh Soi Lek setelah memenangi jawatan No.2. Lebih pelik, pemecatan berlaku sesudah 21 bulan beliau menghukum dirinya sendiri dengan meletakkan semua jawatan atas 'kesalahan' yang sama.

''Pada 2 Januari 2008, sewaktu meletakkan semua jawatan dalam parti, saya masih seorang ahi MCA. Namun hari ini (27 Ogos) saya tidak lagi mempunyai parti. Jadi kedudukan saya hari ni lebih teruk berbanding sewaktu saya meletak jawatan,'' kata Soi Lek dalam laman blognya selepas dipecat daripada parti.

Kenapa pemecatan hanya berlaku selepas 21 bulan Soi Lek 'berundur' secara sukarela?

Apakah ada agenda peribadi di kalangan pemimpin sehingga mencetuskan pergolakan baru pada 27 Ogos lalu?

Bagaimanapun CC menolak cadangan Majlis Presiden memecat Soi Lek sebaliknya mencadangkan keahlian beliau digantung empat tahun.

Akhirnya tercetus idea mengadakan EGM dengan pada mulanya lima resolusi dicadangkan iaitu:

Usul tidak percaya terhadap Presiden parti; Membatalkan keputusan Majlis Presiden dan CC untuk menggantung Soi Lek; Menuntut Soi Lek dikembalikan jawatan Timbalan Presiden;

Menolak pelantikan sebarang jawatan oleh CC termasuk jawatan Timbalan Presiden sebelum EGM dan; Menolak aduan serta tindakan terhadap mereka yang memanggil EGM diadakan.

Kesediaan Tee Keat mengadakan EGM ketika itu tentunya berdasarkan beberapa isu yang dianggap boleh memihak kepadanya. Ini termasuk moral Soi Lek, isu Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) dan ketuanan Melayu (UMNO).

Beliau percaya 2,380 perwakilan MCA (yang hadir 2,304) akan menyebelahinya. Namun dalam dunia politik tidak semudah itu. Dalam politik ada 'tangan ghaib', ada musuh dalam selimut, ada udang di sebalik batu, ada musang berbulu ayam dan macam-macam lagi.

Harus diingat juga, dalam MCA, puak atau team tidak pernah selesai. Mungkin Tee Keat lupa bahawa dulu pernah wujud team Ling Liong Sik, Lim Ah Lek dan juga Lee Kim Sai. Apakah selepas itu tidak wujud puak Kong Choy, Ka Ting dan Ka Chuan? Begitu juga kumpulan Soi Lek. Akhirnya Tee Keat 'kalah' 14 undi bagi usul pertama. EGM meluluskan usul undi tidak percaya terhadap Tee Keat; Membatalkan keputusan Majlis Presiden untuk memecat Soi Lek dan; Tidak setuju mengembalikan jawatan Timbalan Presiden kepada Soi Lek.

Keputusan EGM secara tidak langsung jelas menunjukkan bahawa Tee Keat dan Soi Lek ditolak. Bermakna tidak ada pemimpin utama dalam MCA. Tee Keat pastinya lebih kecewa dan mahu melepaskan jawatannya. Beliau terpaksa bercuti beberapa hari.

dipersetujui

Bagaimanapun pada 15 Oktober, sekembalinya daripada bercuti, Tee Keat mengumumkan beliau kekal sebagai Presiden dengan alasan masih mempunyai banyak urusan yang belum selesai. Liow Tiong Lai pula dilantik sebagai Timbalan Presiden yang baru. Beliau juga mahu EGM kedua diadakan. Hasrat itu tidak dipersetujui. Tee Keat kemudian mendakwa ada orang kepercayaannya cuba mengkhianati beliau yang menikamnya dari belakang.

Tanpa menyebut nama-nama itu, ramai melihat pemimpin kanan seperti Tiong Lai, Ketua Pemuda, Wee Ka Siong dan Ketua Wanita Chew Mei Fun mempunyai peranan masing-masing. Keadaan ini memaksa Tee Keat untuk kembali berbaik-baik dengan Soi Lek. Akhirnya pada 22 Oktober, wujud pelan damai antara Tee Keat dan Soi Lek. Mereka mahu bekerjasama sebagai satu pasukan bagi menyatu serta memperkukuhkan MCA. Namun gelora berterusan apabila ada pihak enggan menerima pelan damai tersebut.

Pada masa yang sama Tee Keat berusaha unduk mencari jalan penyelesaian terhadap barisan kepimpinan itu dengan mengekalkan Tiong Lai sebagai Timbalan Presiden dan memberi jawatan baru yang juga penting kepada Soi Lek. Namun usaha itu lebih rumit apabila pada 3 November, ROS mengisytiharkan Soi Lek kekal sebagai orang No.2 dalam parti.

Tee Keat menerima keputusan ROS dan sekali lagi beliau dilihat berdamai dengan timbalannya. Bagi membuktikan keikhlasannya untuk berdamai dengan semua puak dalam parti, Tee Keat menggugurkan empat ahli CC dan digantikan dengan tiga orang iaitu bekas Naib Presiden, Donald Lim Siang Chai; Chua Tee Yong (ahli Parlimen Labis yang juga anak Soi Lek) dan Ketua MCA Ipoh Barat, Tan Chin Meng yang juga bekas Ketua Pemuda MCA Perak. Turut digugurkan ialah Lee Wei Kiat sebagai Ketua Biro Penerangan dan Komunikasi yang digantikan dengan Heng Seai Kie dan Datuk Leong Tang Chong diganti oleh bekas Naib Ketua Pemuda MCA, Lim Hong Sang sebagai ketua biro undang-undang.

Tidak cukup setakat itu. Masalah MCA terus parah apabila lima anggota Jawatankuasa Disiplin diketuai veterannya, Ng Cheng Kiat yang mencadangkan pemecatan Soi Lek pula meletak jawatan.

Tindakan itu jelas memperlihatkan kekecewaan jawatankuasa itu terhadap EGM yang mengenepikan pemecatan. Apakah Jawatankuasa disiplin tidak mempunyai wibawa dalam mendisiplinkan ahli-ahlinya?

Melihat rentetan kemelut MCA ini, amat jelas bahawa banyak pihak perlu berkorban dan berkompromi bagi memastikan MCA terus stabil.

Masalah ini boleh selesai jika mereka yang bertelagah sedar bahawa tugas pemimpin adalah untuk kepentingan rakyat bukannya agenda peribadi.

Mungkin dalam hal ini, Tee Keat dan Soi Lek perlu berundur sama seperti yang pernah dilakukan oleh Liong Sik dan Ah Lek. Jika tidak Tee Keat dan Soi Lek akan menjadi liabiliti kepada parti. Pada masa yang sama CC yang dipilih tahun lalu juga boleh dibubarkan menjelang Perhimpunan Agung MCA 5 Disember ini bagi membolehkan pemilihan baru yang lebih telus.

Sebagai langkah sokongan, BN selaku badan induk juga perlu campur tangan. Tempoh bertenang sudah berlalu. Masa semakin suntuk bagi melakukan persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 yang dijangka dua tahun lagi. Pemimpin BN khususnya Najib Tun Razak perlu campur tangan. Damaikan semua puak dengan 'habuan' masing-masing. Jika semuanya 'mendapat habuan', maka MCA pasti kembali mantap. Jika tidak tunggulah akibatnya.

--DetikDaily

MyKampungku

1 comments:

Anonymous said...

Rakyat kelantan jemu dengan PAS. Umno bakal merampas Kelantan. More... http://margeemar.blogspot.com

nuff

Visited Since 090322

Followers

Komen Terkini

Categories

My Page Rank

Labels

Blog Widget by LinkWithin
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Bluehost