Monday, November 16, 2009

Serangan Terancang Cemar Imej Pemimpin Pakatan Rakyat :- Nizar vs Zambry - Najib Altantuya

OLEH Hasmi Hashim

Lepas satu: satu.

Tidak ada yang lebih biadap, bagi muslim manapun, kecuali mengganggu urusan ibadat muslim yang lain. Begitu juga asas adab bagi penganut agama apapun!

Anak kecil di surau selalu ditegur pak lebai, hanya kerana bising waktu sholat; apatah lagi sehingga percubaan menghalang seseorang itu menunaikan ibadah haji. Ia adalah perbuatan keterlaluan.

Tak siapa tergamak menuduh Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah melakukan curang terhadap amanahnya sebagai menteri besar. Berbelas tahun sudah beliau mentadbir Kelantan, dengan sikap tawadu’ serta gaya hidup paling sederhana, tak ada tanda beliau pecah amanah, korup apatah lagi rasuah. Tapi, kerana dia tidak sealiran dengan Umno, habis dibongkar termasuk niat mengerjakan haji tahun ini.

Serangan yang dilancarkan kepada Tok Guru ini adalah sebahagian daripada komplot terancang elit Umno terhadap satu persatu pemimpin dalam Pas, Keadilan dan DAP yang mahukan ikatan rasmi Pakatan Rakyat menjadi kenyataan.

Jelek memang jelek apabila ia bukan sahaja tak mengenal asas tatasusila beragama, sehingga begitu dibenci kalangan rakyat dan ahli-ahli Umno akar umbi sendiri. Fiil pemimpin mereka yang tak pernah bercermin muka, memalukan seluruhnya parti itu! Orang yang menuduh Tok Guru adalah di kalangan orang yang jelas-jelas cuba meragut maruah Musyidul-Am Pas itu; adalah di kalangan pemimpin pemerintah yang kaya-raya bertumpuk harta dan banglo tersergam, yang hidupnya berlipat kali ganda mewah berbanding Tok Guru.

Mereka menyerang Tok Guru, kerana pendirian Tok Guru yang pro-Pakatan Rakyat; yang menolak pinangan bekerjasama dengan Umno. Lantas sebelum borang permohonan pendaftaran Pakatan Rakyat sampai ke meja pengarah Pendaftaran Pertubuhan, apa juga usaha mematahkan usaha ini di tengah jalan akan dilakukan. Politik pecah-belah, adu domba dan tohmah jadi darah daging elit Umno itu sekian lama.

Belum pun reda tuduhan kononnya Datuk Seri Anwar Ibrahim menyorokkan wang RM3 bilion di luar negeri, dibangkitkan tohmahan baru. Imej cemar cuba dicalit dengan menyatakan Keadilan parti “3A”… pun begitu, sayanglah apabila suara anak muda dalam parti tidak cukup lantang mempertahankan pemimpin, wadah dan perjuangan. Kita tidak boleh lekas asyik dengan sedikit kejayaan 8 Mac. Lihat sahaja bagaimana komplot elit Umno-BN kini mulai menyerang kubu Pakatan; daripada peristiwa merampas Perak, menyerang Kedah, Pulau Pinang dan kini Selangor.

Mampukah kita melihat, tohmahan “Anwar ada RM3 bilion” berlalu begitu sahaja, sedangkan orang yang merencana dan melemparkan tohmahan lepas seperti angin? Demikian, setiap yang melakukan angkara murka, wajib ke lubang cacing mereka perlu dihambat.

Apakah kita hanya diam tatkala tohmahan lama segera dibangkitkan dengan dakwaan Naib Presiden Keadilan, YB Azmin Ali mempunyai saham RM9 juta? Apakah kita juga tergamak melihat, Presiden Keadilan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail diperlekehkan maruah hanya kerana sikap keibuannya yang sering berlembut ~ sepertimana tergamakkah kita apabila ibu kita sendiri dipersenda orang?

Ya, apakah kita (terutamanya di kalangan muslim) tak punya budi perketi lagi apabila melihat Tok Guru ‘disekat’ daripada mengerjakan haji di Tanah Suci?

Kalau lepas satu: satu, apakah namanya kalau bukan serangan yang dirancang memang begitu rupa.

Cukup. Sudah cukup! Politik elit Umno-BN sebegini bukan lagi “politik” namanya. Ia adalah kedurjanaan moral paling menyedihkan sepanjang sejarah bangsa kita. Tahap kejahatan dan angkara sebegini, andai dibiarkan, maka seluruhnya maruah bangsa kita bisa tercemar.

Pemimpin Pakatan Rakyat yang diserang begini dina, tak lain kerana elit Umno merasakan tak ada jalan lain untuk menyelamatkan tengkok masing-masing. Gaya permainan “menang jadi arang, kalah jadi abu” benar-benar tak dapat diterima. Dalam kata lain, andai mereka tak dapat atau hilang kuasa, mereka nanti akan sanggup menghancurkan terus seluruh bangsa. Tandanya sudah jelas sepertimana setiap adegan sepanjang sedekad ini… bahkan, di era Dr Mahathir yang paling kuku besi sifatnya pun, tidak sampai begini bobroknya gelanggang politik.

Perjuangan, bahkan perbezaan kita dengan Umno adalah soal dasar. Pakatan Rakyat, meski pun baru, namun kita gigih untuk memahami dan menyadap semangat para pejuang terdahulu. Kita juga, dengan rasa rendah hati, tidak mahu mengulangi apa-apa juga kesilapan dan ketelanjuran silam. Yang pertama, Pakatan Rakyat sebagai gabungan besar wajar menghindari politik yang berasaskan assabiyah dan perkauman sempit.

Umno, bahkan BN seluruhnya, yang mendakwa mereka gabungan semua kaum, tetapi di dalamnya tetap dengan pemisahan mengikut kaum, mengikut wilayah-wilayah. Lebih 50 tahun masyarakat Malaysia hidup penuh kemunafikan dan berpura-pura antara berbilang kaum dan agama. Ia adalah mimpi ngeri selepas pasca-merdeka, dan sudah cukup memadai.

Hari ini, Pakatan Rakyat-lah yang lebih lantang mempertahan hak dan nasib Melayu dan Bumiputra tatkala kita jugalah yang diyakini membela nasib semua lapisan rakyat. Bukan dengan retorika dan kata-kata, tetapi dengan dasar parti yang jelas-nyata.

BN, tidak lagi! Pemisahan kuasa pengikut kaum menjadikan Malaysia sekian lama seolah-olah dengan “tiga perdana menteri”, walaupun di permukaannya nampak tidak. Kita ada “PM Melayu” dari Umno; “PM Cina” dari MCA, dan “PM India” dari MIC. Ketiga-ketiga PM ini, kemudiannya membahagi-bahagikan harta kekayaan negara seolah-olah negara ini ketiga ‘PM’ itu tadi.

Dengan persaingan gagasan ini, maka Umno semakin tertolak ke hujung tebing. Kekalahan mereka yang pertama, adalah ketewasan untuk mengepal idea dan gagasan baru, yang releven dengan zaman selain bermanfaat untuk rakyat. Bukannya elit Umno tidak sedar, namun di “pusingan terakhir ini” dan segenting ini, segala strategi kotor pasti digunakan. Nampaknya kemewahan dan air muka mereka lebih utama dari nyawa rakyat.

Demikian, anak-anak muda tidak harus keliru, gementar dan berdiam diri. Kita sesungguhnya lebih rela mempunyai 3A-4A-5-6-7-8A, bahkan 1000A sekalipun, asalkan kehidupan rakyat tidak dibahagikan di bawah konsep “3PM” tadi. Ingat kata Anwar dahulu, “seorang Anwar ditangkap, seribu lagi ‘Anwar’ akan bangkit!”

Dan “1000A” itu tentunya di kalangan anak-anak muda generasi hari ini yang pasti jauh lebih baik daripada “1N” yang sedang bertakhta. Kita akan segera tamatkan, sebuah mimpi ngeri.

--PerakExpress

MyKampungku

0 comments:

nuff

Visited Since 090322

Followers

Komen Terkini

Categories

My Page Rank

Labels

Blog Widget by LinkWithin
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Bluehost