Wednesday, March 10, 2010

Janji & Dongeng Politik Sarawak


Pilihanraya umum Dun Sarawak perlu diadakan selewat-lewatnya tahun 2011. Secara tradisinya tidak ada perlu dibimbangi oleh BN kerana Sarawak adalah seperti Selangor, Perak dan kebanyakan negeri di Semenanjung di mana andai kata batang pisang sekalipun dijadikan calon parti berkenaan kebarangkalian untuk menang tetap besar.

Tapi itu cerita dahulu kala. Kata orang, ‘lain hulu lain parang’. Dulu kebanyakan rakyat Malaysia sanggup bersabar dan menelan cerita-cerita dongeng politik hasil nukilan mereka yang berkuasa dengan harapan bakal menikmati setiap janji yang dilafazkan.

Hari ini mereka mungkin masih lagi boleh bersabar. Tetapi dalam waktu sama mereka sudah menjadi semakin celik. Selepas 12 pilihanraya umum, rakyat akhirnya akur betapa ciri paling menonjol BN ialah menabur pelbagai janji pada waktu kempen pilihanraya dan selepas itu hanya segelintir sahaja janji itu ditunaikan. Itupun ibarat melepaskan batuk ditangga.

Janji menjelang kempen pilihanraya ini sebenarnya adalah janji tak ikhlas. Kerja parti yang menguasai kerajaan bukannya untuk buat janji. Patutnya buat sahaja kerja, kurangkan ucapan-ucapan politik, kurangkan berlagak macam Mr. Know All dan buat sahaja apa yang perlu dilakukan untuk rakyat.

Sekiranya BN melakukan segala-galanya menurut kehendak rakyat dan bukan semata-mata menurut kehendak dan whims and fancies pemimpin dan para pak menteri, tentulah tak ada peluang langsung bagi mana-mana pembangkang, jangan kata untuk jadi Ahli Parlimen atau Adun, nak cari isu pun susah.

Tapi sebagaimana diketahui, realitinya tak semacam itu. Dana kerajaan sejak dari dulu lagi lebih banyak digunakan bagi perbelanjaan pembangunan walaupun, lebih lazim dari tidak, projek pembangunan sesuatu infrastruktur itu lebih memberi manfaat kepada sesetengah golongan kecil dan langsung tidak dapat dinikmati oleh majoriti golongan besar.

Misalnya projek mercu tanda tertentu boleh ditangguhkan sahaja pada masa lain yang lebih sesuai sekiranya mereka tahu maksud skala keutamaan dalam ekonomi dan sekiranya mereka insaf bahawa dana awam adalah untuk digunakan bagi memberikan sebanyak mana manfaat kepada sebanyak mana rakyat dan bukan untuk para kroni, para sang malaon dan kontraktor tertentu yang mendapat projek menerusi runding-terus.

Jika “rakyat didahulukan”, maka mana lebih penting menggunakan berbilion dana awam untuk membangunkan Putrajaya, membeli kapal selam serta hardware ketenteraan yang belum tentu lagi akan digunakan, membina PKFZ dan macam-mana lagi berbanding menyediakan pelbagai infrastruktur asas, mewujudkan peluang ekonomi, menyediakan program pemodenan dan sebagainya bagi, misalnya rakyat Sarawak yang masih jauh tertinggal walaupun sudah berada dalam Malaysia selama hampir 4 dasawarga.

Nak dikatakan Sarawak ini sebuah negeri miskin, tentulah tak masuk akal sama sekali kerana Bumi Kenyalang ini memiliki minyak dan kerajaan negeri pula tidak putus-putus menerima royalti minyak sejak perjanjian bersama Petronas termeterai pada tahun 1970-an. Tak tahulah besok sekiranya BN tidaklah berkuasa tetapi masih menguasai kerajaan Persekutuan. Mungkin royalti minyak Sarawak akan digantikan dengan wang ihsan dengan disertai pelbagai tahi minyak (alasan dan penjelasan) dari mereka yang bertanggungjawab. Dan dalam episod seterusnya, tidak mustahil mereka akan berjanji akan mengembalikan royalti ini sekiranya BN kembali berkuasa.

Apapun, cara main-main janji ini adalah cara UMNO-BN. Sebab itu tatkala berada di Sarawak minggu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menyindir PAKATAN dengan berkata, “janji orang belum dapat kuasa”.

Dalam menyindir-nyindir ini Najib nampaknya terlupa bagaimana pula ‘janji orang yang akan kehilangan kuasa’.

Janji orang yang belum dapat kuasa dengan janji orang yang kehilangan kuasa tak sama. Janji orang yang belum berkuasa lebih ikhlas, lebih boleh dipercayai dan lebih menjanjikan pengotaan kepada apa yang dijanjikan. Sebaliknya janji mereka yang sedang menyaksikan pelbagai petanda dan prospek akan hilangnya kuasa adalah janji orang terdesak – apa sahaja boleh dijanjikan dan apa sahaja boleh diberikan.

Maka itulah sebabnya apabila Najib mengumumkan peruntukan besar-besaran kepada Sarawak dalam kiraan berbilion-bilion ketika melawat negeri itu minggu lalu, ada anak Sarawak yang memberikan reaksi dalam portal berita dalam talian yang antara lain berbunyi: “Para pelawak dalam SUPP, PBB, PRS dan SPDP lagi. Apa jadi dengan PBDS (Parti Bangsa Dayak Sarawak dan SNAP (Sarawak National Party). Sudah hilang? Adalah sesuatu yang ironic betapa kekurangan pembangunan dipamerkan oleh pelancaran projek membekalkan tenaga elektrik bernilai RM5.8 juta (harga kira-kira 20 buah kereta Mercedes) yang tidak sepertinya oleh Najib setelah 50 tahun terlambat (QED)… Tanyalah mana-mana pengundi kawasan bandar di Sarawak dan mereka akan mengatakan kali ini mereka akan mengundi pembangkang, bukan semestinya mereka percaya calonnya tetapi ini akan memberikan mereka peluang mengubah politik di sini. Lagi pun, sekiranya pembangkang gagal, kita boleh mengundi orang lain dalam masa 5 tahun lagi. Apalah 5 tahun apabila kita telah terpedaya selama 50 tahun. (dipetik dan diterjemahkan dari Malaysian Insider) Namun begitu, Najib berjaya menyembunyikan rasa cemasnya terhadap prospek kehilangan kuasa di Sarawak dengan mengatakan betapa BN Sarawak adalah entiti yang tak mungkin dapat dicabar oleh sesiapa.

Tentu sekali cakap-cakap takbur seperti ini pernah didengari umum di zaman Tun Abdullah menjelang Pilihanraya Umum ke-12.

Najib mungkin terlupa hal tersebut sebagaimana beliau terlupa betapa politik adalah seni serba mungkin. Jika tidak masakan beliau hampir tewas kerusi Parlimen Pekan yang disandangnya sejak tahun 1977 dalam Pilihanraya Umum tahun 1999.

Dalam iklim dan realiti politik hari ini, apakah sikap terlalu-yakin seperti itu merupakan sesuatu yang berasas atau sebenarnya fantasi? - DetikDaily

MyKampungku

1 comments:

Anonymous said...

Sebenarnya bukan Najib yang kata Umno tak perlu masuk Bumi Kenyalang tetapi, Taib yang tak mau mana-mana parti BN masuk Sarawak.

Media sememangnya pandai tukar cerita elak BN kehilangan kuasa.

nuff

Visited Since 090322

Followers

Komen Terkini

Categories

My Page Rank

Labels

Blog Widget by LinkWithin
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Bluehost