Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) memberi tempoh kepada Menteri Pelajaran Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein sehingga 15 Mac depan untuk memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
“Saya ugut menteri Hishammuddin agar dia meletakkan jawatan. Apa-apa yang kementerian lakukan sekarang ini berhubung PPSMI ini memang salah.
“Kita akan hantar notis dan beri tempoh sehingga 15 Mac sahaja menjelang Perhimpunan Agung Umno. Kalau tidak, kami akan buat laporan polis. Kami sedang menyusun beberapa perancangan berhubung hal itu,” kata Ketua Dua Gapena Profesor Datuk Dr Abdul Latiff Abu Bakar.
Beliau berkata demikian dalam Forum Ke Arah Memantapkan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu yang membariskan antara lainnya Encik Rusli Abdul Ghani daripada DBP dan Prof Madya Dato’ Zainal Abidin Borhan daripada Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.
“Dahulu, zaman Tun Dr Mahathir jadi Perdana Menteri, semua orang takut bercakap. Menteri-menteri takut nak buka mulut. Sekarang, zaman Abdullah Ahmad Badawi, jadi ada sedikit kebebasan bercakap. Jadi, kita bercakaplah,” kata beliau.
Tambah beliau, sikap orang Melayu sekarang yang lebih suka menjadi ‘pak turut’ menyebabkan dasar PPSMI ini masih berkekalan dan belum berganjak kepada dasar yang asal.
“Politik Malaysia pun dah jadi politik keluarga. Bila Mahathir cakap sesuatu isu, Mukhriz akan sokong. Apabila Abdullah sentuh isu lain, menantunya Khairy pula yang akan sokong,” tambah Dr Abdul Latiff.
Forum anjuran Pusat Dialog Peradaban bersama Akademi Sains Islam Malaysia (Asasi) itu berlangsung di Rumah Universiti, Universiti Malaya dan dipengerusikan oleh Profesor Dato’ Dr Abu Bakar Abdul Hamid.–Harakahdaily
0 comments:
Post a Comment