Sunday, February 15, 2009

PPSMI: Gapena buat laporan polis



Badan penaung kepada persatuan penulis seluruh Malaysia, Gabungan Penulis Nasional (Gapena) hari ini membuat laporan polis berhubung pelaksanaan dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

Diiringi kira-kira 20 tokoh bahasa, Ketua 1 Gapena, Tan Sri Ismail Hussin membuat laporan tersebut tengahari ini di Balai Polis Brickfields, Kuala Lumpur.

Mereka pada mulanya merancang membuat laporan tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang (IPD) Wangi tetapi rancangan itu ditukar di saat akhir.

Dalam laporan polis itu, Ismail mendakwa pelaksanaan PPSMI "tidak sah disudut undang-undang dan bertentangan dengan Seksyen 17(1), Akta Pendidikan 1996 dan bercanggah dengan kehendak dan tujuan Perkara 152(1) dan 152(6) Perlembagaan Persekutuan".

Menurut laporan berkenaan, Perkara 152(1) meperuntukkan bahawa bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan diperuntukkan melalui undang-undang, bahawa tiada sesiapa boleh dilarang dan dihalang menggunakan (selain bagi "maksud rasmi") atau daripada mengajarkan atau belajar, apa-apa bahasa lain.

"Perkara 152(6) pula memperuntukkan bahasa perkara-perkara pendidikan negara, mata pelajaran utama dalam kurikulum kebangsaan yang diuruskan oleh Kementerian Pelajaran tergolong dalam kategori "maksud rasmi".

"Berasaskan kepada kehendak perkara 152(1) & 6 Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 17(1) Akta 550 (Akta Pendidikan 1996), adalah wajib bagi semua mata pelajaran yang diajar di semua sekolah menggunakan bahasa Melayu," laporan polis itu dipetik.

Proses pertama Gapena

Ismail juga mendakwa pelaksanaan dasar itu akan "membunuh bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dalam jangka masa yang panjang".

Beliau ditemani setiausaha 1 Gapena Dr Zainal Abidin Borhan, Ketua 1 Persatuan Penulis Nasional (Pena) Datuk Baharuddin Zainal dan penulis Rejab Ismail, ketika membuat laporan tersebut.

Bercakap dalam sidang media ringkas selepas membuat laporan tersebut, Ismail berkata laporan tersebut merupakan proses pertama Gapena menggunakan saluran itu.

Ismail juga berkata, badan-badan gabungannya di seluruh Malaysia, akan membuat laporan yang sama berhubung pelaksanaan dasar itu di tempat masing-masing.

Beliau turut ditanya mengenai rancangan Gapena untuk mengadakan perarakan keranda - dinamakan Keranda 152 - pada hari ini (15 Februari) yang tidak menjadi kenyataan.

"Waktu kita bincang, macam-macam rancanganlah timbul. Hendak buat macam itu perlu minta izin," jelasnya.

Hari ini, Gapena mengadakan program khas bagi menyatakan bantahan mereka terhadap PPSMI melalui bacaan sajak dan pidato tokoh dan aktivis bahasa - dinamakan "Ratap Ratib Bahasa".

'Hak bahasa dan orang Melayu'

Bekas pengerusi Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman dan beberapa pemimpin Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) - sebuah lagi badan yang memperjuangkan pemansuhan PPSMI - turut kelihatan, termasuk pengerusinya Datuk Dr Hassan Ahmad.

Abdul Aziz sebelum itu dalam ucapannya di pejabat Gapena di ibunegara berkata, hak-hak berhubung bahasa dan kedudukan orang Melayu telah pun wujud sejak zaman penjajahan British lagi.

Perkara itu, kata beliau lagi, kemudiannya dimasukkan kembali ke dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menyentuh soal peluang Gapena membawa isu PPSMI ke mahkamah, Abdul Aziz berkata, dari aspek undang-undang, Gapena mempunya hujah yang kukuh untuk menuntut semakan kehakiman.

"Bagaimanapun, saya bimbang kuasa menteri boleh menukar mata pelajaran Sains dan Matematik supaya tidak lagi menjadi matapelajaran teras. Menteri ada kuasa itu. (Kalau) itu (berlaku) maknanya, orang politiklah yang kena beritahu (menteri)," katanya menjawab soalan Baharuddin dalam majlis itu.

Abdul Aziz yang juga pengamal undang-undang menjelaskan, sesiapa sahaja sebagai warganegara Malaysia boleh membawa perkara itu ke mahkamah.

"Gapena sebagai persatuan tidak (boleh). Gapena hanya sebagai penaja, nama sahaja. Sebagai entiti yang sah, ahli-ahlinya boleh bertindak," katanya.

Kira-kira 100 aktivis bahasa dan sastera hadir dalam majlis tersebut yang bermula sejak jam 9 pagi tadi.


MyKampungku

0 comments:

nuff

Visited Since 090322

Followers

Komen Terkini

Categories

My Page Rank

Labels

Blog Widget by LinkWithin
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Bluehost