Kenyataan Tun M yang selalunya dilihat bernas dan kadangkala boleh dikutip untuk digunakan, kali ini kenyataan beliau saya rasakan hanya layak dibakul sampahkan. Kelihatan jelas dari kenyataannya itu bahawa Tun M sememangnya tidak mahu rakyat memilih pemimpin mereka sendiri lebih-lebih lagi di kalangan PR. Saya beranggapan , pada beliau pilihanraya hanya boleh dilakukan jika Umno/Bn merasakan boleh mencapai kejayaan tetapi jika tidak, lakukan sesuatu asalkan pilihanraya jangan diadakan walaupun terpaksa menggunakan kaedah yang salah. Saya tidak tahu samada kenyataan Tun M itu merupakan satu sindiran buat Najib dan Umno/Bn. Atau mungkin beliau ingin melihat samada Najib masih mempunyai `tali dihidung'nya.
Saya pernah bersetuju dengan kenyataan Tun M yang sering menyatakan bahawa cara Umno/Bn merampas kuasa di Perak adalah terlalu gopoh. Terbukti kenyataan beliau ini benar, apabila krisis politik di Perak kini semakin parah. Dalam aspek itu memang pemikiran Tun M masih bernas dan lebih cerdik dari Najib. Tetapi, apabila beliau mengeluarkan komennya yang terbaru dengan menasihatkan agar jangan diadakan pilihanraya di Negeri Perak, atas alasan PR akan menang maka saya terfikir kembali apakah Tun M masih waras lagi. Lebih melucukan kita apabila Tun M mencadangkan sidang Dun diadakan untuk meluluskan usul undi tidak percaya kepada MB Perak sekarang. Siapakah yang berhak mengeluarkan notis persidangan itu nanti? Speaker yang `halal' atau speaker yang `haram'? Saya rasa tidak perlulah lagi menyusahkan berpuluh-puluh anggota Polis untuk bertugas dan bekerja keras di dalam dewan itu nanti sekiranya diadakan juga persidangan Dun sepertimana yang dicadangkan oleh Tun M.
Saya tertarik dengan cadangan seorang penganalisa politik yang menyarankan agar diadakan pungutan suara untuk mengetahui samada rakyat Perak mahukan pilihanraya negeri diadakan atau tidak bagi menghuraikan kekusutan sekarang. Tetapi saya kurang bersetuju dengan cadangan beliau untuk menyerahkan tugas melakukan pungutan suara tersebut kepada SPR. Kita sedia maklum bahawa apa itu SPR dan apa peranan SPR sejak kebelakangan ini. Adalah lebih meyakinkan jika pungutan suara itu dilakukan oleh badan-badan berkecuali yang dipersetujui bersama oleh parti-parti yang terlibat. Kerap kali undian yang disiarkan melalui TV atau pun akhbar tertentu dan juga di blog-blog, memperlihatkan majoriti yang mengundi memilih agar Dun dibubarkan dan pilihanraya dapat diadakan di Perak. Mungkin kaedah atau cara sedemikian tidak adil pada pandangan Umno/Bn, sehubungan itu carilah kaedah lain yang dirasakan lebih adil dan berkesan.
Najib berulangkali menegaskan Umno/Bn tidak takut untuk mengadakan pilihanraya di Perak, tetapi beliau menegaskan hanya DYMM Sultan Perak yang boleh menentukan perlu atau tidak Dun di bubarkan. Tidakkah Najib faham bahawa bagaimana DYMM Sultan Perak ingin membuat keputusan jika tiada seorang pun yang mengadap baginda untuk menasihatkan agar Dun di bubarkan? Jika YAB Ir Nizar yang mengadap sudah tentu Zambry serta Umno/Bn Perak membantah atas alasan YAB Ir Nizar tidak berhak untuk mencadangkan kepada Tuanku bagi membubarkan Dun. Kini, pisau ditangan Najib dan timun ditangan Zambry. Usahlah mempergunakan nama baik DYMM Sultan di dalam krisis yang Umno/Bn sendiri cipta. Jika betul-betul berani dan Umno masih sayangkan rakyat Perak, bingkaslah menuju ke istana sekarang juga.
0 comments:
Post a Comment