Katakanlah, minggu depan kerajaan akan mengumumkan penarikan semula dasar pembelajaran matematik dan sains dengan bahasa Inggeris. Katakanlah, pengumuman menteri atau mungkin sahaja oleh perdana menteri sendiri dibuat dengan hujah penuh ‘insaf’, kononnya, demi mengembalikan maruah dan peranan bahasa ibuanda sebagai bahasa akademik. Apakah kita lupa?
Apakah rakyat, khususnya orang Melayu segera menyatakan “ya!” dan kembali menyatakan sokongan kepada Umno-BN? Saya tidak fikir, orang Melayu begitu mudah boleh diperkotak-katikkan lagi. Dan, apakah sasterawan kita pun sekonyong-konyong membuat kenyataan terbuka seraya dilaporkan besar-besaran oleh media arus perdana, konon beginilah sikap kerajaan yang ‘memahami’ kehendak rakyat! Sana-sini orang bakal mengucapkan “terima kaseh”…
Ya, mungkin sebagai bangsa yang beradap, kita perlu mengucapkan kata-kata itu. Mungkin sahaja kita memaafkan… namun bagi setiap noda besar yang sebegitu, sepatah kata Nelson Mandela, kita mungkin akan memaafkan, tapi tidak melupakan.
Saya kata begini, apabila saya tahu ramai yang muak dengan sikap kompromi segelintir penulis yang beriya-iya mengucapkan kekaguman luar biasa apabila ada pemimpin Umno yang tidak bersetuju dengan PPSMI. Seakan-akan terlalu besarlah kesedaran pemimpin Umno itu, termasuk misalnya daripada Timbalan Menteri Pelajaran mahupun oleh Ketua Pemuda Umno. Kemunafikan mereka, tidakkah jelas nyata?
Saya masih ingat, tatkala di penjara lagi, Datuk Seri Anwar Ibrahim begitu tegas dalam soal bahasa. Keseriusan beliau terbias di dalam Ucapan Dasar dalam setiap kali Kongres Nasional Keadilan dan tidak boleh tidak, isu bahasa Melayu wajib disentuh Presiden Parti, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail. Ya! Saban tahun dan tidak pernah sekalipun diabaikan.
Dr Wan Azizah-lah presiden parti yang pertama bersuara menentang PPSMI. Bukan oleh Tun Abdullah Badawi, jauh lagi Datuk Seri Najib Razak. Dalam salah satu ucapan dasarnya, Dr Wan Azizah lantang mengebutkan bahawa PPSMI tidak lebih hanya sebagai lambang pemimpin Umno-BN yang terjajah akal-budinya.
Waktu itu, bukan sekadar pemimpin Umno yang kecut perut untuk berhadapan dengan Dr Mahathir yang menyinga, malah sukar sekali untuk mendengar kenyataan penulis terang-terangnya menolak PPSMI. Kalau adapun, hanya keluh-resah di meja kopi. Selepas 8 Mac, barulah semakin dan semakin berani adanya.
Menyedari hakikat inilah, rakyat tentunya mudah muak dan jelek kalau nanti ada seorang-dua penulis terutamanya yang memuji-muji kelangit pemimpin Umno, andai PPSMI dihapuskan.
Sesungguhnya kesedaran awal Anwar, Keadilan, Pakatan Rakyat dan segenap kelompok masyarakat didasari sejarah perjuangan bahasa yang bukan kepalang.
Kita sedar Bahasa Melayu sepertimana yang kita pertuturkan hari ini, sepertimana yang ditulis di merata tempat adalah hasil sebuah perjuangan. Ia bukan datang bergolek. Ia bukan percuma. Di mahkamah sekalipun, Bahasa Melayu diterima sebagai wajib hanya pada 1990, iaitu selepas 33 tahun kita mencapai kemederkaan.
Kita bertambah insaf apabila menyedari bagaimana, misalnya Persatuan Guru-guru Singapura mahupun “Asas 50″ yang berjuang untuk memastikan agar di dalam Perlembagaan Malaya yang merdeka, bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi dan Bahasa Kebangsaan bagi Persekutuan Tanah Melayu.
Sekurang-kurangnya, tiga kali Kongres Bahasa Melayu baik di Singapura, Johor Bahru dan Seremban pada pertengahan 1950-an menjadi asas sehingga membuahkan perincian, fakta dan hujah mengapa Bahasa Melayu wajib diterima sebagai Bahasa Kebangsaan. Kertas kerja daripada ketiga-tiga kongres berkenaanlah yang kemudiannya dibentuk sebagai memorandum kepada sebuah jawatankuasa yang ditubuhkan oleh British atas titah Paduka Permasuri di England.
Bayangkan sahaja, pihak Inggeris sekalipun gagal untuk menolak hujah dan fakta yang dibentangkan. Malah pejuang bahasa ketika itu berterus-terang sahaja dengan beberapa ‘perangkap’ yang dipasang penjajah. Antaranya, untuk memujuk para pejuang bahasa, maka ditawarkan “Kerusi Melayu” di Universiti Malaya, Singapura.
Apa jawab para pejuangan bahasa? Apakah mereka terpukau lalu menerimanya?
Tentu tidak. Bagi mereka, mereka sedar bahawa umpan “Kerusi Melayu” itu hanya sebagai permulaan kematian Bahasa Melayu, dan di “Kerusi Melayu” itulah akan menjadi seolah-olah sebuah jabatan yang mengkaji sebuah bahasa dan budaya yang sudah mati. Yang dituntut kemudiannya adalah Pengajian Melayu yang lebih bertujuan untuk memajukan bahasa dan budaya Melayu.
Umpan dan pujuk rayu penjajah gagal. Hanya, puluhan tahun selepas itu, Umno kembali melaksanakan konspirasi tersebut. Usaha Umno ini tidak lebih sebagaimana kaedah penyisihan bahasa ibuanda yang dibuat oleh pemerintah Singapura.
Kalau tidak silap, sehingga hari ini bahasa rasmi yang tertera di dalam Perlembagaan republik itu masih bahasa ibuanda ketiga bangsa utama, iaitu Melayu, Cina dan India. Karena itulah, lagu rasmi Singapura masih dinyanyikan di dalam Bahasa Melayu–saya justeru percaya, ianya akan ditukar apabila pemimpin Republik itu menyedari esei saya ini.
Kita kelelahan untuk berulang kali menyebutkan kepentingan bahasa Melayu dijadikan bahasa ilmu, juga bahasa perpaduan. Kita mahu, semua rakyat dari Tanjung Maling, Kuala Selangor, Tawau sehinggalah ke Kota Tinggi bertutur dengan bahasa kita ini.
Kita mahu anak muda Melayu yang bercinta dengan gadis Cina di Bukit Bintang bertutur dengan bahasa Melayu. Tentu sahaja indah kalau anak pasangan Cina dan India yang masing-masing sedang dilambung asyik asmara juga bertutur dengan bahasa kebangsaan kita ini.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad sewaktu melancarkan dasar PPSMI konon berkata, rakyat akan segera menguasai Bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa. Kemudian, beberapa bulan lalu, beliau sendiri yang berkata bahawa kecekapan Bahasa Inggeris hanya dapat ditingkatkan melalui subjek kesusasteraan Inggeris dan bukannya mengajar subjek “teknikal” dengan bahasa Inggeris.
Saya tidak lagi terkejut dengan lidah bercabang beliau, terutama apabila kita melihat bagaimana Dr Mahathir tiba-tiba mengubah pendiriannya terhadap Geogre Soros. Beliau senang-senang sahaja menyebutkan bahawa Soros “tidaklah jahat” sejurus bertemu Soros–sedangkan kita tahu bagaimana Soros dikatakan sebagai “penyangak” kala Malaysia dilanda krisis matawang 1997-98.
PPSMI sedari awal sama sekali bukan untuk membantu orang Melayu. Tidak juga kepada orang Cina dan India di bawah. PPSMI punya agendan tersorot iaitu untuk mengekalkan status quo di kalangan pemimpin elit Umno-BN… Mesej yang hendak disampaikan ialah sedarlah orang Melayu, Cina dan India di bawah bahawa negara ini adalah untuk “kami yang di atas.” Sampai bila-bila pun!
Lihat sahaja, di dalam pertarungan politik, yang mewarisi kuasa seakan-akan sudah pasti hanya di kalangan anak menteri, menantu dan bekas perdana menteri. Kalau kamu datangnya dari golongan rakyat biasa, lupakan. Sedarlah diri! Sedangkan, kepada rakyat teramai inilah sering mereka merayu sokongan apabila tiba pilihanraya…
Begitulah sikap munafik yang jelas nyata apabila Dr Mahathir berhadapan dengan isu PPSMI yang mana beliau yang memperkenal dan melaksanakan dasar berkenaan.
Kemunafikan sebegini perlu ditolak. Misalkan minggu hadapan kerajaan mengumumkan penarikan semula dan penghapusan dasar PPSMI, apakah dapat dimaafkan begitu sahaja sedangkan ratusan ribu murib-murib, anak-anak dan adik-adik kita telah menjadi mangsa.
Andai kata minggu hadapan berita ‘gembira’ diumumkan, orang Melayu dan rakyat Malaysia tidak akan mudah lupa. Noda Umno-BN itu pasti kekal sebagai parut di dada, termasuk di kalangan ratusan ribu anak-anak bangsa. Jumlah yang besar itulah, yang di dalam Pilihanraya Umum akan datang bakal pula mengajar dan menconteng arang ke muka pemimpin yang munafik.
Meski akan ada seorang-dua yang mudah lupa. Tetapi rakyat tidak!
0 comments:
Post a Comment