Thursday, August 13, 2009

Anwar vs Muhyiddin - Siapa Pengkhianat? :- Nizar vs Najib Altantuya

MELABELKAN seseorang sebagai pengkhianat atau pejuang adalah hal persepsi, persepsi dari kumpulan yang melihatnya, persepsi dari penulis ceritanya dan persepsi dari pihak yang punya kehendak supaya seseorang itu dilabelkan.

Dengan kuasa yang ada padanya, Umno yang menerajui pemerintahan Malaysia sejak merdeka telah membina persepsi bahawa Tunku Abdul Rahman, bekas Presiden Umno dan Perdana Menteri Malaysia pertama adalah bapa kemerdekaan, pembinaan persepsi ini memang kehendak Umno, dan siapapun tidak boleh menafikan ia berjaya.

Sampai orang sudah tidak ambil peduli akan hal-hal yang kononnya pinggiran, seperti bagaimana gerakan politik Tunku dalam usahanya merampas kedudukan nombor satu Umno, bagaimana beliau berpindah dari utara tanahair ke Kuala Lumpur bagi menaikkan lagi kareer politiknya, siapa yang menguruskan perpindahannya? Jangan marah saya kalau saya kata yang paling berjasa besar dalam menaikkan Tunku adalah “special branch-special branch” Inggeris, anda boleh marah Ramlah Adam, pengarang biografinya.

Yang saya rasa malang tentulah persepsi yang wujud terhadap Rosli Dhoby, anak jati Sarawak yang mati di tali gantung kerana membunuh penjajah Inggeris. Beliau mati muda, sangat muda semata-mata kerana kepercayaannya yang penjajah adalah puak yang wajib ditentang. Masyarakat Sarawak diheret dalam kekeliruan yang panjang dalam menakrif Rosli sama ada sebagai pejuang atau pengkhianat.

Sudah tentu ia bersebabkan penulisan sejarah kejadian itu sendiri, yang banyak bersumberkan pihak Inggeris, yang mahu persepsinya begitu, yang senantiasa mahu bangsa mereka dilihat sebagai imperialis yang mulia. Saya fikir nasiblah Rosli ini bukan komunis, kalau tidak nasibnya tentu seperti orang yang membunuh Henry Gurney, tidak langsung akan diketahui dan dikenang. Siapa dari kalangan kita yang kenal pembunuh Henry Gurney?

Inggeris sudah tentu berbangga, kerana sampai hari ini kita kenang mereka, Henry Gurney kita abadikan namanya di sebuah sekolah pendidikan khas untuk merawat akhlak juvenil. Sebagai sebuah sekolah yang berteraskan pembinaan sahsiah dan sosial yang baik, kenapa tidak kita abadikan nama tokoh-tokoh sosial tempatan di situ, kenapa tidak kita namakan sekolah itu sebagai Sekolah Lee Lam Thye contohnya? Abaikan dulu doktrin pegangan pembunuh Henry Gurney yang sebahagian kita mungkin anggap sebagai jahat dan bangsat (ini juga persepsi), tetapi tindakan kita mengenang Henry Gurney yang berstatus penjajah itu sudah sah satu tindakan mengenang seorang yang memang jahat dan pengkhianat. Dia adalah dari gerombolan penjajah yang merenggut kebebasan warga kita, menghirup kekayaan negara kita dan mencabul daulah merdeka yang asalnya hak kita.

Hari ini persepsi di antara pejuang dan pengkhianat berlaga lagi, kali ini di antara Anwar Ibrahim dan Muhyiddin Yassin, ironinya kedua-dua tokoh ini dahulunya adalah sahabat akrab. Penyokong reformasi mungkin ingat yang Muhyiddin pernah melawat Anwar di rumahnya di Jalan Setia Murni selepas Anwar dipecat lebih sedekad yang lalu. Hari ini mereka berlaga dan bergaduh pasal Melayu.

Ia bermula bila Muhyiddin dalam ucapan perasmian Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Sri Gading, Batu Pahat baru-baru ini telah melabelkan Anwar sebagai pengkhianat Melayu. Saya sudah tentu sedikit kurang jelas tentang maksud tuduhan Muhyiddin ini.

Tidak adil bagi saya untuk menilai polisi Melayu kerajaan-kerajaan negeri milik Pakatan Rakyat di bawah naungan Anwar yang baru mahu mencecah usia setahun setengah. Kalau mahu menyandarkan polisi Melayu Anwar semasa dalam Kerajaan Umno/BN, tuduhan Muhyiddin tentulah memelikkan saya, kerana seperti saya katakan tadi, mereka berdua sahabat akrab semasa itu. Kalau benar Muhyiddin pejuang Melayu, bagaimana pula boleh dia bersahabat dengan pengkhianat Melayu?

Kenyataan sokongan oleh Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Kedah terhadap kenyataan Muhyiddin adalah yang paling dangkal pernah saya dengar. Adalah tidak munasabah untuk meletak Anwar di kerusi pengkhianat semata-mata kerana cadangan Khalid Ibrahim supaya 10% kemasukan ke UiTM dibuka kepada bukan Melayu. Cadangan Khalid yang diasosiasikan dengan Anwar itu, yang hanya bersifat cadangan, adalah sangat kecil jika dibandingkan dengan tindakan Najib yang terus melanggar perlembagaan dalam memperkenalkan Biasiswa Nasional.

Jika membuka ruang yang selama ini dianggap hak Melayu kepada orang lain dikira khianat dan dosa, maka dosa dan khianat Najib terhadap Melayu jauh lebih besar berbanding Khalid mahupun Anwar. Tetapi ini hanya pemerhatian, bukan pandangan. Bukan hak saya untuk membuat justifikasi.

Anwar pula dalam tindakbalasnya telah menghantar “notice of demand” kepada Muhyiddin, menuntut Muhyiddin meminta maaf atas kenyataannya dan saman gantirugi.

Bahkan ada didedahkan yang Muhyiddin ketika masih menjadi Menteri Besar Johor telah menyerahkan tanah di kawasan Sungai Lingu iaitu di Bandar Tenggara Johor sebanyak 51,170 hektar kepada kerajaan Singapura.

Kawasan berkenaan dipajak kepada kerajaan Singapura selama 60 tahun dengan kadar bayaran RM350 juta dan tidak dibenarkan sesiapa pun memasukinya sekarang ini. Di situ ada dibina empangan dan empangan yang dibina setinggi 193 meter itu jika pecah atau dipecahkan, seluruh Kota Tinggi termasuk Bandar Tenggara boleh tenggelam. Siapa pengkhianat sebenarnya?

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) harus segera mengeluarkan maksud rasmi akan terma “pengkhianat Melayu.” Sebab tidak ada siapa pun pemimpin Melayu dari mana-mana parti politik yang akan mengaku bahawa mereka adalah pengkhianat Melayu.

Di sebalik dasar liberalisasi, konsep 1Malaysia, Biasiswa Nasional, Muhyiddin boleh sahaja mengatakan apa yang Melayu tidak dapat sepanjang Umno/BN memerintah? Memang ya, sebab selama ini hanya Umno/BN sahaja yang memerintah. Muhyiddin serasa saya tentu takut untuk bercakap tentang apa yang Melayu sudah kehilangan selama Umno/BN di tampuk kuasa.

DBP harus mentakrifkan mengapa Agenda Ekonomi Baru dan Harapan Baru Malaysia jajaan Anwar adalah pengkhianatan kepada Melayu sementara 1Malaysia ciptaan Najib pula tidak. DBP juga dalam pengistilahan “pengkhianat Melayu” mesti menerangkan mengapa jika kekecualian diberikan kepada tindakan Mahathir melucutkan kekebalan Raja-Raja Melayu atau tindakan Anuar Musa “merajakan” orang lain sebagai Sultan Kelantan.

Saya fikir perdebatan Muhyiddin dan Anwar tidak akan berkesudahan buat masa ini. Ia akan berlalu menjadi sejarah. Paling pendek 50 tahun akan datang ia akan dikenang kembali dan diperbahaskan, siapa pejuang, siapa pengkhianat. Sejarahlah yang diharap bakal memutuskannya.

Tetapi sejarah juga bergantung ketika itu ia berada di tangan siapa, mahu mengikut persepsi siapa. Sejarah mungkin pada kebiasaannya boleh memutuskan siapa pejuang, siapa pengkhianat, dalam isu ini di antara Muhyiddin dan Anwar. Namun harus diingat, dalam keadaan polemik yang berterusan, sejarah juga kadang-kadang gagal untuk membuat keputusan.

Sebab itu selepas beratus tahun, hari ini kita masih berbalah tentang siapa pejuang, siapa pengkhianat di antara Hang Tuah dan Hang Jebat.


/mstar

MyKampungku

0 comments:

nuff

Visited Since 090322

Followers

Komen Terkini

Categories

My Page Rank

Labels

Blog Widget by LinkWithin
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Bluehost