Tuesday, August 11, 2009

Inkues Teoh: Penggunaan Bahasa Dalam Keterangan Saksi Dipersoal? :- Nizar vs Najib Altantuya


SHAH ALAM - Peguam pemerhati bagi keluarga Teoh Beng Hock, Gobind Singh Deo hari ini mempersoal tindakan saksi pakar forensik yang memberi keterangan dalam bahasa Malaysia pada prosiding Inkues di hadapan Koroner Azmil Muntapha Abas di sini.

Gobind berkata saksi itu, Dr Khairul Azman Ibrahim, 51, yang merupakan pakar perunding kanan perubatan forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, sepatutnya memberi keterangan dalam bahasa Inggeris berikutan laporan bedah siasat yang beliau sediakan dibuat dalam bahasa itu (Inggeris).

Selain Gobind, perkara tersebut turut dibangkitkan oleh peguam pemerhati bagi pihak Badan Peguam Selangor Rajpal Singh dan peguam pemerhati bagi pihak kerajaan Selangor Malik Imtiaz Sarwar pada hari keenam prosiding inkues itu.
Gobind berkata terdapat juga beberapa maklumat penting dalam laporan bedah siasat itu yang tidak dinyatakan Dr Khairul Azman semasa memberi keterangan dalam Bahasa Malaysia.

"Seorang lagi pakar forensik, Dr Prashant Naresh Samberkar akan memberi keterangan dalam Bahasa Inggeris, jadi kami meminta saksi untuk bertutur dalam Bahasa Inggeris atau kami minta mahkamah nasihatkan saksi (jika ingin bertutur dalam Bahasa Malaysia) supaya memberi keterangan yang tepat berdasarkan laporan bedah siasat," katanya.

Peguam Tan Hock Chuan yang dilantik bagi mewakili kerajaan pula berkata tidak timbul isu sekiranya saksi ingin memberi keterangan dalam Bahasa Malaysia kerana laporan bedah siasat itu telah ditandakan sebagai bahan bukti dan salinannya juga telah diserahkan kepada semua pihak.

"Saya akui saksi ada tertinggal beberapa maklumat dalam laporan bedah siasat itu tetapi beliau tida ada apa-apa yang perlu disembunyikan. Terpulang kepada saksi sama ada ingin bertutur dalam Bahasa Malaysia atau sebaliknya," katanya.

Rajpal kemudian bangun dan berkata Dr Khairul Azman telah menyediakan laporan bedah siasat itu dalam Bahasa Inggeris dan sekiranya beliau ingin memberi keterangan dalam Bahasa Malaysia, ia akan membuang masa mahkamah kerana saksi perlu menterjemah laporan bedah siasat sebanyak tujuh muka surat.

Malik Imtiaz pula berkata mereka tidak memaksa saksi bertutur dalam Bahasa Inggeris tetapi jika perlu, saksi diminta untuk memberi keterangan dalam Bahasa Inggeris apabila membabitkan bahagian yang amat penting (dalam laporan bedah siasat).

Tan sekali lagi bangun dan berkata berdasarkan Seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan, saksi mempunyai hak untuk memutuskan bahasa yang beliau ingin tuturkan dan justeru itu, beliau meminta agar semua pihak tidak memaksa saksi bertutur dalam Bahasa Inggeris.

Azmil Muntapha yang mendengar pertikaian tersebut kemudian meminta Dr Khairul Azman memutuskan bahasa yang beliau ingin gunakan semasa memberi keterangan dan mengingatkan sekiranya saksi itu ingin bertutur dalam Bahasa Malaysia, beliau perlu memberi penjelasan terperinci berdasarkan laporan bedah siasat itu.

Dr Khairul Azman kemudian berkata," Saya juga ingin percepatkan prosiding dan tidak mahu lengah-lengahkan masa. Saya tiada niat untuk mengelirukan sesiapa dan saya hanya ingin membantu mahkamah. Jika diizinkan saya ingin menggunakan bahasa Inggeris dan Malaysia dalam keterangan saya."

Mendengar jawapan saksi ke-10 itu, Azmil Muntapha berkata: " Boleh, itu keputusan yang terbaik."

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati di koridor tingkat lima bangunan Plaza Masalam di sini, 16 Julai lepas, selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan penyalahgunaan wang kerajaan negeri Selangor kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor.Bernama

MyKampungku

0 comments:

nuff

Visited Since 090322

Followers

Komen Terkini

Categories

My Page Rank

Labels

Blog Widget by LinkWithin
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Bluehost