Thursday, September 17, 2009

PKFZ: Apa Dah Jadi Dengan MCA :- Nizar vs Najib Altantuya


PRESIDEN MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat tidak perlu menyalahkan kawan-kawannya dalam partinya mahupun rakan-rakan komponen apabila dia menghadapi masalah yang amat berat sekarang, apabila pelbagai jawatankuasa ditubuhkan untuk membongkar skandal PKFZ

Ketika dia tersenyum apabila Majlis Presiden MCA mengumumkan pemecatan Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek, sindiran Soi Lek semoga Tee Keat dapat tidur lena selepas memecatnya!

Apa nak jadi dengan MCA? Parti tauke ini sudah tidak boleh diperbaiki lagi. Mereka kelihatan masih wujud kerana mereka berjawatan dan masih berkuasa.

Bayangkan, kalau pemimpin MCA sudah tidak dilantik menjadi menteri. Di mana mereka? Tee Keat masih bernasib baik kerana rakan-rakannya masih bergelar menteri, timbalan menteri, Presiden Senat dan Exco Kerajaan Negeri.

Berbeza dengan Soi Lek, bukan sahaja dia sudah tidak bergelar YB, malahan kawan-kawannya juga sudah tidak lagi memegang apa-apa jawatan dalam kerajaan.

Dakwaan Tee Keat bahawa ada usaha halus mahu menjatuhkannya sebenarnya tuduhan yang cukup berat. Barangkali, apabila Pengerusi BN, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mengatakan beliau tidak akan mencampuri urusan rumah tangga MCA, barangkali Tee Keat merasakan bahawa beliau keseorangan dalam mengadapi krisis ini dan tidak mendapat sokongan dari rakan-rakan dalam komponen BN.

Tiada siapa yang nampak Tee Keat mampu bertahan lama dalam politik. Walaupun beliau sedang berusaha keras untuk mempertahankan kedudukannya, dalam masa yang sama, mereka yang berada di bawahnya sudah membayangkan MCA akan kehilangan Tee Keat selain Soi Lek.

Barangkali, mereka membayangkan sejarah kejatuhan Dr. Neo Yee Pan, bekas Ahli Parlimen Muar dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan akibat krisis dengan Tan Koon Swan akan berlaku lagi. Inilah peluang orang-orang muda dalam MCA dilantik menerajui parti kedua terbesar dalam komponen BN ini.

Dari segi lojikanya, mustahil Soi Lek boleh jatuh tanpa menyeret sama Tee Keat. Begitu juga dengan kejatuhan Tee Keat, mustahil boleh melepaskan Soi Lek. Kedua-dua mereka, sudah menemui jalan mati dalam karier politik masing-masing.

Betul kata pepatah Melayu, yang menang akan jadi arang dan yang kalah akan jadi abu. Tiada siapa yang untung dalam pertelingkahan ini. Malahan, sedikit sebanyak, kesan yang paling teruk terkena ialah parti MCA sendiri kerana, ketika rakyat semakin sangsi dengan perjuangan mereka, pemimpin-pemimpin mereka terpalit dengan skandal pula.

Dalam isu PKFZ, bukan sahaja pemegang jawatan sahaja dilihat terpalit, malahan bekas Timbalan Presiden MCA, Tan Sri Chan Kong Choy yang berada di luar negara pun sudah kembali bersuara, supaya jangan sesiapa membabitkan namanya dalam isu yang kecoh ini.

Beberapa pihak, termasuk Naib Presiden Pas, Dato' Mahfuz Omar juga mengesyaki kemungkinan pemimpin-pemimpin Umno juga banyak mendapat faedah dari PKFZ. Namun, setakat ini, CEO Kuala Dimensi, Datuk Seri Tiong King Sing hanya menyebut Tee Keat sahaja yang berurusan soal wang dengannya dan tidak pula mengaitkan nama-nama pemimpin lain.

Ketika banyak pihak mengharapkan Tee Keat bercuti dari jawatan menteri dan Presiden MCA, Tee Keat pula tentunya mahukan dia terus kekal sebagai Presiden MCA dan menteri supaya kewibawaannya tidak tercalar dengan mengambil cuti.

Setakat ini, tidak kedengaran sama ada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi tahu atau tidak kes ini kerana kedua-duanya langsung tidak membuka mulut untuk bercakap isu berkenaan.

Dari segi pusingan kelulusan projek ini, mustahil kabinet dan Perdana Menteri tidak mengetahuinya. Jika mereka berdua tahu, mengapa mereka tidak masuk campur untuk memudahkan siasatan?

Pengumuman Perdana Menteri kabinet menubuhkan pasukan petugas urus PKFZ yang dianggotai Ketua Setiausaha Negara, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, pegawai Kementerian Pengangkutan, Peguam Negara dan professional untuk membuat laporan kepada kerajaan tentunya menambah kegelisahan mereka yang pernah mendapat sesuatu dari projek ini.

Nampaknya, kerajaan seolah-olah tidak dapat menerima Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang terlalu cetek penyiasatan dan seperti tidak sampai ke tahap yang diperlukan. Kes ini tidak akan selesai seminggu dua dan jika ia berpanjangan, tentu ia menyusahkan BN untuk mempertahankan isu ini dalam pilihan raya umum akan datang.

Ketika BN tidak mampu mempertahankan isu-isu peribadi yang kecil-kecil seperti yang ditempuh calon BN di Permatang Pasir, bagaimana BN mampu mempertahankan isu PKFZ yang melibatkan berbilion-bilion ringgit wang rakyat.

Dalam pertembungan antara Kuala Dimensi dengan Menteri Pengangkutan ini, mustahil Perdana Menteri membenarkan mereka yang belum dibersihkan sepenuhnya dipilih sebagai calon dalam pilihan raya. Lebih parah, masing-masing yang terkait, memegang jawatan penting dalam parti-parti komponen BN.

Tee Keat semakin sibuk dengan siasatan SPRM. Malahan, repot polis yang dibuat terhadap King Sing juga menambahkan bebanan kerjanya. Begitu juga King Sing, selain SPRM mendapatkan maklumat darinya, beliau juga sedang menghabiskan banyak masa dengan pihak polis berdasarkan repotnya yang pernah menyerahkan RM10 juta kepada Tee Keat dalam tiga masa berlainan di sekitar Lembah Kelang.

Isu ini cukup hangat tetapi sesekali seperti dilupakan begitu sahaja kerana banyak juga isu lain yang menyainginya. Jika tidak kerana ada isu segelintir rakyat Indonesia membakar Jalur Gemilang dan melancarkan kempen menganyang Malaysia, mungkin isu PKFZ ini menjadi lebih panas lagi.

PKFZ juga diselamatkan dengan serangan wabak H1N1 yang sudah mengorbankan 73 nyawa walaupun belum pernah Kementerian Kesihatan mengeluarkan statistik kaum manakah yang paling ramai terkorban.

Isu dalaman MCA juga terlindung sedikit apabila PPP dan MIC juga menghadapi masalah dalaman yang cukup berat. PPP yang baru selesai isu dua Presiden, MIC pula mempamirkan pertelingkahan secara terbuka antara Datuk Seri S. Samy Vellu dengan Datuk S. Subramaniam.

MCA kini tidak berkesempatan untuk membuat postmortem kekalahan BN di Permatang Pasir dan meningkatnya undi kaum Cina kepada Pas kerana mereka sibuk dengan pertelingkahan. Masalah yang melanda Presiden dan Timbalan Presiden menyebabkan parti ini seperti kehilangan nakhoda.

Mungkinkah Tee Keat berundur? Adakah apa-apa jaminan jika Tee Keat berundur, masalah dalam MCA akan dapat diselesaikan atau, MCA akan berkecai menjadi sebuah parti yang hilang seri dan sengatnya.

Sesekali pemimpin-pemimpin muda MCA mahu mempamirkan perjuangan perkauman. Isu menjulang keris oleh Pergerakan Pemuda Umno dalam era kepimpinan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dulu tidak juga mampu menarik semula sokongan kaum Cina kepada BN walaupun Hishammuddin sudah menyusun jari sepuluh memohon kemaafan dari kaum Cina dan MCA.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin sendiri dalam beberapa siri ucapannya pernah menyebut, beliau sendiri kehilangan sokongan dari pengundi Cina dalam PRU 12 yang lalu walaupun semua permintaan kaum Cina dalam Parlimen Pagoh ditunaikan.

Masihkan MCA mempunyai masa untuk memperbaiki imejnya yang sudah tercemar ini? Jika mereka lambat menyusun semula organisasi mereka, MCA dipercayai menjadi beban kepada BN dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

MCA semakin mengecil dengan kehilangan pemimpinnya seperti Datuk Chua Jui Meng dan Datin Paduka Dr. Tan Yee Kew. Ramai juga yang tertanya-tanya kemana menghilangnya Datuk Foo Ah Kiow, Datuk Yap Pian Hon, Datuk Donald Sim Chai dan Datuk Hon Choon Kim.

Adakah mereka masih dalam MCA atau secara diam-diam sudah meninggalkan MCA dan mahu mencari tapak baru yang lebih mencabar.

http://www.detikdaily.net/

MyKampungku

0 comments:

nuff

Visited Since 090322

Followers

Komen Terkini

Categories

My Page Rank

Labels

Blog Widget by LinkWithin
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Bluehost