Thursday, September 17, 2009

PRK Bagan Pinang: MB N.Sembilan Dalam Dilema :- Nizar vs Najib Altantuya


Bekas Menteri Besar, Mohd Isa Samad dan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkifli Omar antara yang paling hangat untuk dicalonkan dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang, yang akan berlangsung pada 3-11 Oktober.

UMNO Bahagian Teluk Kemang telah mencalonkan bekas Menteri Besar ini untuk masuk semula ke gelanggang selepas ADUN Bagan Pinang, Allahyarham Azman Mohd Noor meninggal dunia. Seandainya cita-cita Isa Samad tidak kesampaian akhirnya, maka anaknya, Najib Isa yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO bahagian Teluk Kemang, dipercayai bakal turun ke gelanggang untuk bapanya.

MerdekaReview dimaklumkan bahawa kawasan Teluk Kemang kini dihiasi dengan kain rentang ucapan "Selamat Hari Raya Aidilfitri" daripada Isa Samad. Gambar Najib Isa tidak kelihatan pada kain rentang tersebut, walaupun bilangannya lebih banyak daripada tahun lepas.

Tiada orang dapat menandingi Isa Samad dari segi pengalaman. Beliau pernah menyandang jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan selama 23 tahun, malah menang ketika bertanding untuk jawatan Naib Presiden UMNO, dengan undi tertinggi pada tahun 2004. Isa Samad disabit dengan kesalahan politik wang kemudiannya, dan digantung keahliannya selama tiga tahun.

Isa Samad mencuba nasib sekali lagi dalam pemilihan UMNO tahun ini, tetapi kecundang dalam perebutan jawatan Naib Presiden.

Teluk Kemang: Kawasan Isa Samad

ADUN Linggi merangkap Exco kerajaan Negeri Sembilan, Ismail Taib ketika ditemuramah MerdekaReview, mengakui bahawa bahagian Teluk Kemang menamakan Isa Samad sebagai satu-satunya calon untuk bertanding di PRK Bagan Pinang. Walau bagaimanapun, bahagiannya menyerah kepada Majlis Tertinggi UMNO untuk membuat keputusan muktamad.

Isa Samad (gambar kiri) mungkin akan diserang oleh Pakatan Rakyat kerana pernah terlibat dalam politik wang, tetapi beliau adalah pemimpin veteran yang lama berakar umbi di tapak Teluk Kemang. Untuk UMNO, tokoh yang berasal dari Bagan Pinang ini merupakan calon yang paling sesuai.

Perlantikan Isa Samad sebagai calon mungkin mengundang pertikaian bahawa "UMNO sudah ketandusan pemimpin!", disusuli soalan "mengapa dipilih seorang yang terbukti pernah terlibat dalam politik wang sebagai calon?"

Namun, ketika ditanya kemungkinan pencalonannya menjadi beban kepada BN, Isa Samad cuba membandingkan dirinya dengan Anwar Ibrahim, walaupun tidak menyebut nama tokoh PR ini.

Isa Samad dipetik berkata, "Ada pemimpin pembangkang yang pernah dibicara dan dipenjarakan kerana salahguna kuasa dan rasuah, boleh menang pilihanraya. Lepas tu perbicaraan kes baru asik tangguh-tangguh tapi masih ramai penyokong dan bercita-cita besar pulak nak jadi PM. Tiada siapa pertikai pun. Saya cuma didapati bersalah kerana masalah disiplin parti. Dah jalani hukum. Dah bersih. Orang yang cuba persoalkan saya tu hilang akal ka? Kenapa pemimpin pembangkang boleh...kenapa saya tidak? Hilang akal ka?"

Biarpun Isa Samad belum pasti mendapat restu untuk dicalonkan, tetapi calon yang bakal bertanding semestinya perlu mendapat restu daripada Isa Samad. Oleh itu, penganalisis politik bertanggapan bahawa Najib Isa mempunyai peluang untuk bertanding. Walaupun hanya berumur 32 tahun dan tidak menonjol dalam politik, tetapi latar belakangnya lebih "bersih" berbanding Isa Samad.

Pergelutan kuasa dalam UMNO NS

Pengaruh Isa Samad tersebar luas di Negeri Sembilan lantaran 23 tahun pemerintahannya di negeri itu. Tindakan disiplin terhadap Isa Samad selepas pemilihan UMNO tahun 2004 dipercayai langkah untuk memberi laluan kepada Khairy Jamaluddin, menantu Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi ketika itu untuk mengambil alih pucuk pimpinan Negeri Sembilan.

Namun demikian, zaman Abdullah Ahmad Badawi telah berlalu. Isa Samad dilihat sebagai orang Najib yang cuba mengambil kesempatan untuk kembali ke DUN Negeri Sembilan. Jikalau peluang sudah matang, Isa Samad mungkin mendesak untuk menjatuhkan MB sekarang, dan menerajui semula kerajaan Negeri Sembilan.

Sebagaimana yang dimaklumkan, UMNO Negeri Sembilan terbahagi kepada beberapa puak. Selain puak Isa Samad, MB Negeri Sembilan sekarang, Mohamad Hj. Hasan (gambar kiri) sepuak dengan Khairy Jamaluddin (Rembau). Sementara Menteri Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan, Rais Yatim (Jelebu) dan Menteri Kerja Raya Shaziman Abu Mansor (Tampin) masing-masing mempunyai puak sendiri.

Buat setakat ini, Isa Samad mendapat sokongan bahagian Seremban dan Jempol, selain Teluk Kemang yang diketuainya. Isa Samad dilihat sebagai pemimpin yang paling berpengaruh di UMNO Negeri Sembilan yang mempunyai lapan bahagian. Selain itu, Mohamad Hj. Hasan pula mendapat sokongan dari bahagian Rembau dan Rasah.

Apa yang menarik adalah, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan merangkap MB, Mohamad Hj.Hasan ketika ditemuramah pada 9 September, berkata beliau akan menerima mana-mana calon dari bahagian Teluk Kemang untuk PRK Bagan Pinang.

Dilema Mohamad Hassan

Melihat kepada senario terkini, Mohamad Hasan jelas berada dalam dilema. Seandainya beliau menyokong sepenuhnya Isa Samad untuk memenangi PRK ini, beliau mungkin berdepan dengan ancaman Isa Samad pada masa akan datang. Sejak Isa Samad dipinggirkan dalam parti, puaknya juga hilang kuasa dalam DUN Negeri Sembilan.

Oleh itu, jikalau Isa Samad berjaya kembali ke DUN, maka Isa Samad mungkin akan mengerah sokongan puaknya untuk menggugat kedudukan Mohamad Hj. Hasan. UMNO Negeri Sembilan akan menjadi kacau-bilau seperti apa yang berlaku di Terengganu sekarang.

Sebaliknya, sekiranya Mohamad Hj. Hasan tidak berkempen bersungguh-sungguh untuk Isa Samad, lantas mengakibatkan kekalahan UMNO di kubu sendiri, maka Mohamad Hj. Hasan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, juga tidak dapat mengelakkan diri daripada memikul tangunggungjawab tersebut. (Bahagian pertama, bersambung)

http://www.merdekareview.com/

MyKampungku

0 comments:

nuff

Visited Since 090322

Followers

Komen Terkini

Categories

My Page Rank

Labels

Blog Widget by LinkWithin
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Bluehost