Saturday, October 10, 2009

Bagan Pinang: BN Perlu Menang, PR Tak Mahu Kalah. :- Nizar vs Najib Altantuya

TANYALAH masyarakat seluruh dunia dan mereka akan setuju adalah menjadi rahsia terbuka isu memang dinanti-nanti dalam setiap pilihan raya untuk dijadikan modal meraih undi.

Maki hamun, sepak terajang, pembunuhan karekter, tuduh-menuduh, rasuah dan apa sahaja yang boleh menjadi isu akan digunakan semaksima mungkin bagi mencacatkan imej dan pengaruh pihak lawan dalam usaha memenangi hati pengundi.

Jadi jangan hairan jika fenomena ini turut berlaku dalam tempoh seminggu kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, Negeri Sembilan, Ahad ini.

Pilihan raya kecil ini penting kepada kedua-dua pihak, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR), bahkan jauh lebih penting daripada banyak pilihan raya kecil yang lalu. Kedua-dua pihak mempunyai sebab yang kukuh untuk menang.

BN telah tewas pada tujuh pilihan raya kecil lalu – Permatang Pauh, Penanti, Bukit Gantang, Bukit Selambau, Permatang Pasir, Kuala Terengganu dan Manek Urai, tetapi ia boleh dimaafkan kerana secara kebetulan, semua kawasan itu kubu PR.

Bagaimanapun, di Bagan Pinang, BN mesti pastikan, dalam apa saja keadaan, calonnya wajib menang, biar pun dengan satu undi.

BN tentunya sedar, andainya ia tewas, apa saja yang boleh dikutip di atas muka bumi untuk dijadikan alasan menutup kekalahan tidak akan diterima, bukan sahaja oleh pihak lawan dan rakyat jelata, bahkan oleh BN sendiri.

Namun pada masa sama, apakah BN boleh berasa lega dan selesa kerana pada saat-saat akhir sebelum hari mengundi, neraca kemenangan nampaknya masih menyebelahi BN, jika dilihat dari segi laporan media cetak dan elektronik, beberapa penganalisis politik dan yang tidak boleh dinafikan, kekuatan calon BN sendiri?

Hakikat yang pihak lawan sendiri tidak boleh nafikan dan tidak dapat menjadikan isu ialah pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Presiden UMNO dan Pengerusi BN yang tidak terpesong dengan pengaruh luar dalam membuat keputusan.

Contohnya, kita masih ingat bagaimana pada pilihan raya kecil Penanti, Najib, setelah berbincang dengan Majlis Tertinggi BN, mengumumkan tidak meletakkan calon kerana tidak mahu mengikut rentak lawan, walaupun bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat BN akan nampak seolah-olah takut jika tidak bertanding.

Bagi pilihan raya kecil Bagan Pinang, perkara yang serupa berlaku lagi. Dr Mahathir awal-awal mengingatkan supaya bekas Naib Presiden UMNO, Tan Sri Mohd Isa Samad, yang digantung jawatannya selama tiga tahun kerana politik wang, tidak menjadi calon BN untuk membuktikan BN serius dalam usaha memerangi gejala rasuah.

Namun, BN tidak membiarkan dirinya terpengaruh, walaupun Dr Mahathir pernah menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri lebih 20 tahun.

Apa yang penting kepada BN, keputusan pilihan raya kecil itu mesti memihak kepadanya kerana ia menjadi kayu pengukur kepada kekuatan BN, sekurang-kurangnya pada masa ini. Apakah orang akan terima BN dan UMNO di masa akan datang akibat tindakan yang diambil hari ini? Tentunya BN dan UMNO, yang wujud sejak lebih 50 tahun, boleh menggunakan segala pengalamannya untuk menanganinya fenomena itu.

Bagaimana tindakan yang diambil hari ini mempengaruhi penerimaan dan sokongan rakyat pada pilihan raya kecil akan datang dan corak undi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti yang perlu diadakan selewat-lewatnya pada 2013 sudah boleh dikaji. Apakah BN akan bertambah kuat? Atau pembangkang mampu melebarkan sayap? Masing-masing sudah boleh mengkaji implikasinya dan menentukan tindakan pantulannya.

BN pastinya sedar menawan kembali negeri-negeri yang dirampas parti lawan pada PRU-13 bukan semudah 'ABC'. Ia perlu menerima hakikat jika dapat mempertahankan apa yang ada pun sudah cukup baik buat sementara.

Ingat jawapan Dr Mahathir apabila diminta mengulas kekalahan BN di Terengganu dan kehilangan banyak kerusi BN di Kedah pada Pilihan Raya Umum 1999?

“Kita menang sikit, kalah sikit,” katanya. Dengan lain perkataan, kita tidak boleh harap menang semua. Yang penting, jangan sampai kalah semua.

Tetapi jika membaca laporan dan komen dalam blog, gambarannya sangat berbeza dengan laporan media, apatah lagi dengan media perdana. Seolah-olah parti yang kurang kuat senang-senang boleh menjadi kuat dan yang kuat boleh tumbang dengan mudah.

Hanya tinggal sehari lagi ke hari pembuangan undi dan nampaknya, seperti biasa, BN yakin menang. PR pun tidak mahu mengalah. Malangnya, satu pihak sahaja yang boleh menang.

Dalam politik, yang sahih dan palsu bergelumang dalam suasana yang mengelirukan. Yang tulen dan rekaan payah ditentukan. Apabila ada laporan dipukul pihak lawan di depan orang ramai, cepat timbul soalan mana gambar sebagai buktinya. Apabila pihak lain mendakwa dicederakan, mereka ditanya bagaimana baju koyak, tetapi tiada bekas tetak di badan. Siapa yang benar?

Dalam politik dan kehidupan hari ini, orang senyum di depan, tikam di belakang.

Tiba-tiba saja teringat lagu klasik Saloma yang berjodol ‘Jangan Suka Berjanji’. Antara lirik terakhirnya berbunyi: “Ada janji membawa bahagia. Tidak kurang pula yang merana. Oleh itu jangan berjanji kalau hanya meracun hati...”

/sinarharian

MyKampungku

0 comments:

nuff

Visited Since 090322

Followers

Komen Terkini

Categories

My Page Rank

Labels

Blog Widget by LinkWithin
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Bluehost