Saturday, October 3, 2009

Bagan Pinang: Isa Dicalonkan, BN Sekadar Mahu Menang :- Nizar vs Najib Altantuya

Keputusan UMNO-BN meletakkan Isa Abdul Samad sebagai calon pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang di Negeri Sembilan dilihat sebagai strategi untuk memastikan kemenangan di genggaman BN. Walaupun UMNO-BN berdepan dengan dilema ketika membuat pilihan, namun terpaksa akur kepada desakan penyokong bekas Menteri Besar ini.

Media cetak bahasa Cina masing-masing menganggap bahawa kelebihan memihak kepada UMNO-BN, setelah gagal mengecapi kemenangan dalam tujuh PRK selepas PRU ke-12 di Semenanjung Malaysia. Namun, kelebihan ini datang dengan risiko dan tekanan. Seandainya kubu UMNO-BN ditembusi kali ini, maka ia akan mencetus krisis kepada regim ini.

Kwong Wah Yit Poh

Lidah pengarang Kwong Wah Yit Poh pada 1 Oktober memetik kenyataan pemimpin veteran UMNO seperti Mahathir dan Tengku Razaleigh untuk mengolah faktor yang menghantui Isa Samad. Malah, Kwong Wah Yit Poh berkata bahawa Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin pernah menyatakan bahawa calon yang tercalar imej moralnya harus dielakkan, lantaran iktibar yang diperolehi selepas kecundang dalam PRK Permatang Pasir.

Namun, Lidah Pengarang ini mengakui bahawa tiada calon yang setanding dengan Isa Samad yang sudah lama berakar umbi di Teluk Kemang. Malah, apabila penyokong tampil menyatakan hanya Isa pilihan mereka, maka BN tidak berani mengingkari suara rakyat, dan terpaksa mengakur kepada realiti.

Demi kepentingan parti UMNO dan BN, maka etika politik diketepikan, dan mustahil untuk melarang Isa daripada kembali ke gelanggang. Lidah pengarang menyimpulkan bahawa ini merupakan peluang terakhir buat Isa Samad untuk kembali semula ke arus perdana politik UMNO.

Oriental Daily

Oriental Daily pada 30 September menyiarkan analisa Lum Chih Feng, yang meramalkan bahawa pencalonan Isa Samad semestinya mengundang kritikan pembangkang seperti "ketandusan calon". Tetapi, Lum berpendapat andaian bahawa permainan isu ini secara berlebihan bakal memberi kesan hanyalah tanggapan PR semata-mata, kerana apa yang dirasai pengundi tempatan mungkin membeza.

Pada 1 Oktober, Lum menggariskan angka 2,333 sebagai "KPI" untuk BN. 2,333 undi majoriti telah diperolehi UMNO-BN dalam PRU ke-12 di kawasan yang sama. Oleh itu, seandainya undi majoriti yang diperolehi Isa Samad kali ini lebih rendah dari 2,333, ia bukan sahaja memberi kesan terhadap Najib dan BN, malah pengaruh Isa juga tidak sehebat yang disangkakan.

Lum menyimpulkan bahawa tekanan kini berada di pihak Isa, dan bukannya dari calon PAS, Zulkifli Omar.

China Press

China Press pada 1 Oktober menyiarkan kenyataan media MCA Negeri Sembilan, yang menyatakan sokongan terhadap Isa Samad. MCA Negeri Sembilan menyenaraikan lima faktor, iaitu berpengalaman, membangunkan negeri semasa menjawat Menteri Besar, mesra rakyat, orang tempatan dan disenangi ketiga-tiga kaum terbesar.

Sinchew Daily

Sinchew Daily pada 1 Oktober menyiarkan analisa Lim Sue Goan, yang meramalkan kemungkinan BN untuk menang kali ini, setelah kekalahan yang berturut-turut.

Lim Sue Goan menyatakan makna di sebalik PRK ini, seandainya PR berjaya mengurangkan majoriti undi UMNO-BN kali ini. Pertama, ini merupakan PRK pertama di selatan Semenanjung Malaysia, untuk menguji kekuatan PR di selatan Selangor dan Kuala Lumpur.

Keduanya, PAS hanya berkubu di negeri majoriti Melayu (Malay-heartland), seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah. Namun, PAS gagal menembusi negeri yang "lebih majmuk".

Ketiganya, PRK ini sebagai ujian terhadap kerjasama antara DAP dan PAS, terutamanya selepas beberapa konflik yang berlaku baru-baru ini.

Selain itu, Tay Tian Yan pula mengetengahkan pandangannya dalam kolum melalui satu peristiwa yang berlaku dalam sejarah Amerika Syarikat. Ketika Bill Clinton bertanding untuk jawatan Presiden pada tahun 1992, beliau mengemukakan idea "Demokrat Baru" (New Democrats) sebagai idea untuk membina semula Democratic Party.

Pasukan "think tank" Clinton lebih cenderung untuk mencarikan seorang calon yang langsung berbeza dari latar belakang Clinton, misalnya usia yang lebih lanjut, berasal dari kawasan Utara dan demokrat yang lebih "tradisional", untuk digandingkan dengan Clinton.

Tetapi, Clinton menongkah arus dan memilih Al-Gore yang juga berasal dari kawasan Selatan, lebih muda dan mendukung idealisme untuk reformasi. Apabila ditanya sebabnya, Clinton menjawab, "I could die"(saya mungkin mati).

Apa yang dimaksud adalah, seandainya Clinton meninggal dunia dalam tempohnya, maka penggantinya ialah Timbalannya. Seandainya Clinton digantikan seorang yang "tradisional", maka Democratic Party akan kembali ke jalan lamanya; langkah "reformasi" akan menemui jalan buntu di situ.

Sebaliknya, seandainya orang yang dinaikkan itu ialah orang muda yang berkongsi idealisme yang sama dengan Clinton, maka beliau akan meneruskan langkah reformasi yang dianjurkan Clinton. Dengan kata lain, kemenangan pilihan raya bersifat sementara, tetapi perubahan dan reformasi adalah sesuatu yang berpanjangan.

Tulisan Tay berakhir dengan maksud yang berlapik, "pengamal politik di Timur walaupun masak dengan cara permainan pilihan raya, tetapi mengabaikan intipati yang terkandung dalamnya."

*Kaleidoskop adalah "digest" kandungan akhbar bahasa Cina. Akhbar yang dirujuk bertarikh 30 September dan 1 Oktober, berkisar pada pemilihan Isa Abdul Samad sebagai calon BN di PRK Bagan Pinang, Negeri Sembilan.-/merdekareview

MyKampungku

0 comments:

nuff

Visited Since 090322

Followers

Komen Terkini

Categories

My Page Rank

Labels

Blog Widget by LinkWithin
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Bluehost