Tuesday, November 17, 2009

Wang Ehsan Ibu Segala RASUAH Politik :- Nizar vs Zambry - Najib Altantuya


Di antara faktor memudahkan berlakunya rasuah ialah apabila keperluan hidup seseorang tidak seimbang dengan pendapatannya. Tuntutan kewangannya lebih besar berbanding apa yang mampu dibiayainya.

Kita dapat menghidu faktor ini di sebalik tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menubuhkan pasukan petugas khas untuk membuat kajian menyeluruh terhadap peraturan, sistem dan prosedur serta kawalan dalam perbelanjaan peruntukan wakil-wakil rakyat, minggu lalu.

Penubuhan pasukan itu dikatakan sebagai usaha kerajaan menutup ruang dan peluang berlakunya gejala rasuah di kalangan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun). Ia sebagai langkah memberi garis panduan yang jelas kepada para wakil rakyat mengenai apa yang boleh dan tidak boleh mereka lakukan menerusi dana dan peruntukan kerajaan.

Isu utama ialah kepelbagaian tuntutan rakyat yang melebihi kemampuan seseorang Ahli Parlimen atau Adun. Ekoran itu timbul pula ura-ura elaun mereka akan dinaikkan.

Sementara kita lebih tertarik dengan kemungkinan menambah saraan wakil rakyat, parti pemerintah China pula memilih pendekatan moral dalam usaha memerangi rasuah di kalangan para pegawainya. Media pada Isnin (16 November) lalu melaporkan arahan terbaru Parti Komunis yang memerintah agar para pegawai kerajaan meninggalkan perempuan simpanan mereka, mengelak mengunjungi bar yang menggunakan pelayan wanita dan berhenti berbelanja boros.

Teguran perihal moral itu bertolak daripada fakta bahawa 95 peratus pegawai kerajaan China yang disiasat atas tuduhan rasuah didapati memiliki perempuan simpanan. Sedangkan dengan jumlah gaji, agak mustahil bagi mereka mengamalkan gaya hidup sebegitu.

“Jadi, apa yang anda lakukan jika tidak mempunyai wang? Biasalah, anda akan gunakan kuasa untuk mendapatkannya,” kata kenyataan media seorang penguatkuasa disiplin Parti Komunis China.

Sama ada dalam kes perbelanjaan wakil rakyat Malaysia atau gaya hidup boros pegawai kerajaan di China, isu di situ ialah tuntutan hidup yang lebih besar daripada kewangan yang mampu ditampung. Ketidak seimbangan itu menyediakan medan sangat subur membiakkan amalan rasuah.

Dalam skop lebih luas, hakikat tidak seimbang sebegitu turut berlaku ke atas masyarakat terbanyak. Seyogia diakui bahawa beban hidup rakyat semakin meningkat, sedangkan sumber pendapatan mereka semakin kompetitif. Ketidak seimbangan itu memudahkan mereka akur kepada apa juga yang dihulurkan pihak yang memiliki kekuatan kewangan dan kebendaan.

Dalam banyak keadaan, rakyat yang terdesak memenuhi tuntutan hidup tidak lagi bebas berfikir secara lebih bermaruah menyelesaikan masalah mereka. Apa yang mereka utamakan ialah membebaskan diri dari keperitan hidup. Di hadapan mereka pula terhidang berbagai peluang untuk mereka rebut.

Sebab itu jika definisi umum rasuah itu adalah pemberian yang mengharapkan balasan, maka pihak paling cenderung mengamalkannya ialah sebuah kerajaan. Apatah lagi jika pada setiap pemberian dihulurkannya kepada rakyat diiringi ingatan agar terus menyokongnya. Akujanji itu, sama ada secara formal atau tidak, melengkapkan takrif rasuah yang umum itu.

Tabiat itu tidak sukar dilihat. Ia sangat menyerlah saban kali datangnya musim pilihan raya, sama ada umum atau kecil. Ketika itulah segala aktiviti kebajikan memuncak. Keprihatinan kerajaan kepada rakyat diserlahkan. Segala bentuk bantuan dilonggokkan di kawasan berlakunya pilihan raya.

Rakyat tidak seyogia dipersalahkan sekiranya mereka begitu mudah dilenakan dengan lambakan pembangunan segera dan curahan pelbagai peruntukan. Selain desakan hidup, tabiat Barisan Nasional (BN) memanjakan mereka dengan berbagai bantuan juga mendorong mereka mengambil keputusan mudah. Lebih baik mereka akur saja dengan syarat BN, yakni memberi undi, asalkan mereka dapat sesuatu sebagai balasan.

Sikap tidak kesah rakyat itu memudahkan BN menawarkan rasuah politik secara terbuka. Paling terbuka ialah bantuan di bawah program wang ihsan. Nama ini mula digunakan pada tahun 2000 terhadap kerajaan Terengganu yang diperintah PAS. Kononnya wang itu adalah sebagai ganti royalti minyak yang sejak lebih 20 tahun sebelumnya diterima kerajaan negeri itu.

Apa yang melayakkannya dianggap rasuah politik ialah apabila BN memilih ‘pintu belakang’ untuk mengagihkannya. Ia tidak disalurkan kepada kerajaan negeri selaku penjaga sah yang dipilih rakyat Terengganu, sebaliknya dimanfaatkan mekanisme parti.

Tindakan menyeleweng itu menzahirkan agenda jahat BN untuk kembali memenangi hati rakyat. Ertinya ia bersungguh mempamerkan bakti budi kepada rakyat Terengganu dengan maksud memancing sokongan dan undi mereka.

BN berjaya menundukkan rakyat negeri itu lewat pilihan raya umum 2004. Curahan wang ihsan yang mengikat kesetiaan rakyat terhadap parti itu terbukti bukan semata-mata bantuan murni BN kepada rakyat. Ia sebenarnya rasuah politik paling terancang yang dilakukan secara terbuka tanpa silu.

Kini setelah berjaya di Terengganu, BN berangan-angan mengulangi amalan terkutuk itu di Kelantan. Ibu segala rasuah politik itu bakal dijadikan umpan memancing hati rakyat negeri itu pula.

Sehingga niat jahat itu tidak dibatalkan BN, agak sukar kita mengharapkan rasuah lebih kecil dapat dibasmikan dalam negara ini.

--DetikDaily

MyKampungku

0 comments:

nuff

Visited Since 090322

Followers

Komen Terkini

Categories

My Page Rank

Labels

Blog Widget by LinkWithin
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Bluehost