Saturday, July 11, 2009

Manek Urai: Menunggu keputusan dosa atau pahala


Selama ini pekan Manek Urai di Kuala Krai, Kelantan sepi sahaja. Anak-anak pergi dan balik sekolah macam selalu, berjalan kaki atau naik basikal. Golongan ibu ke pasar atau ke kedai makan tetap berlenggang santun. Golongan bapa pula, terus dengan tugas harian bertani, ke ladang getah, ke kedai kopi dengan langkah biasa sahaja.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai pun bagi orang luar dari jajahan Kuala Krai, bagai tak ada apa-apa. Ada juga yang tidak tahu di mana letaknya kawasan itu. Malah ramai juga yang tidak tahu tentang usul kejadian Manek Urai mendapat nama, ya rambut nenek cantik mengurai-ngurai di situ. Sebab itulah diberi nama Manek Urai.

Apa yang pasti, pilihan raya kecil akan berlangsung Isnin depan. Kawasan terpencil ini sudah pun mula bising sejak arwah Ismail Yaacob (Pas) meninggal dunia pada 22 Mei lalu. Beliau memenangi kerusi itu pada pilihan raya umum Mac 2008 mengalahkan calon BN Mohamed Zulkifli Omar dengan majoriti 1,352 undi.

Kata orang Pas, setiap langkah di Manek Urai adalah jihad. Pendek kata petugas-petugas pilihan raya sedang melakukan jihad di sana. Neraca Allah SWT dikhabarkan sedang menimbang-nimbang berat dosa dan berat pahala di celah-celah petugas di sana. Khabarnya satu undi adalah tasbih menentukan hala tuju alam akhirat. Itulah kata mereka.

Sama ada satu undi ke jalan lurus atau satu undi ke jalan bengkok, ini adalah hal dunia. Sama ada Barisan Nasional menang atau Pas yang akan menang, ia adalah urusan dunia. Pokok pangkalnya adalah hati yang suci dan niat yang baik. Tanggungjawab parti yang menang belumlah satu jaminan yang pengundi akan mendapat pahala dan masuk syurga.

Alam akhirat sama ada dosa atau pahala, bukanlah jatuh pada undi yang dipangkah. Kalaulah yang dipangkah itu untuk kebaikan dunia, ia belum menjamin kesejahteraan di akhirat. Kalaulah yang tidak dipangkah itu parti yang sekular, ia belum pasti menghumban pemangkahnya ke neraka.

Namun yang cakap tentang neraca Allah itu adalah ustaz-ustaz, adalah orang ahli agama. Maka orang ramai jadi keliru. Pemerhati dari luar juga kecewa kerana hukum dunia akhirat dan dosa pahala di laung-laungkan bagai satu agama baru di Manek Urai. Jika difikirkan, ini adalah satu pemesongan akidah dan bukan istiqamah sebenar.

Berkampung berhari-hari di Manek Urai jika setakat mahu mengelirukan pengundi dengan pelbagai fatwa – lebih baik jangan. Sama ada peraih ikan atau bekas pegawai kerajaan, jika salah seorang daripada mereka menang nanti, menanggung satu beban yang maha berat. Jangan marahkan pengundi jika mereka menuntut yang bukan-bukan, apalagi menuntut jaminan syurga daripada anda.

Wartawan Sinar Harian yang bertugas di sana bercerita satu kisah lucu; seorang pakcik yang sedang berbaring di pangkin lamannya terus masuk ke dalam rumah sebaik sahaja perayu undi dan calon yang akan bertanding datang memberi salam. Salam tak dijawab, dia terus masuk rumah dan tutup pintu. Tetamu tersipu-sipu malu dan calon pun terkejut dengan tindakan pakcik itu.

Setelah semua balik, wartawan bertanya kenapa dia bersikap begitu. Katanya dia letih hendak melayan orang yang tak putus-putus datang ke rumahnya. Dia banyak habiskan masa melayan semua itu sampaikan dia terlewat hendak melakukan urusan sendiri. Tak sempat ke kebun, tak sempat nak makan, tak sempat nak berak kencing.

Katanya dia tahulah nak pangkah siapa atau parti mana. Jadi tak usah nak mengajar dia sebab selama ini sudah banyak pilihanraya yang sudah dilaluinya. Katanya dia sudah `kalih’. Dia sudah bosan dengan janji. Dia sudah menyampah dengan hidup susahdan berharap sangat siapa yang menang nanti akan membantu merubah nasibnya. Atau sekurangnya atap rumahnya yang sudah dua tahun bocor, akan dapat diganti baru.

Dengan 27 saluran mengundi, diharapkan tarikh 14 Julai nanti akan memberikan jawapan kepada para penoreh getah, petani dan pekerja berpendapatan sederhana di Manek Urai. Semoga nasib mereka akan terbela dan kemajuan yang diingini, kalau tidak setanding bandar membangun lain, naik sikit daripada kehidupan sekarang sudah memadai... - /www.sinarharian.com

MyKampungku

0 comments:

nuff

Visited Since 090322

Followers

Komen Terkini

Categories

My Page Rank

Labels

Blog Widget by LinkWithin
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Bluehost