Showing posts with label Anti ISA. Show all posts
Showing posts with label Anti ISA. Show all posts

Saturday, September 26, 2009

Tun Mahathir Anti I.S.A ? :- Nizar vs Najib Altantuya

Bekas perdana menteri itu berkata imej Umno akan terjejas kerana dianggap tidak serius dalam memerangi politik wang sekiranya masih meletakkan mereka yang sudah didapati bersalah dalam rasuah politik sebagai calon.

"Tan Sri Isa sudah didapati bersalah, kalau Umno letak dia juga bermakna bahawa Umno tak ambil berat tentang keskes macam ini.

"Kalau pun dia (Isa) boleh menang di situ, kena fikir seluruh Malaysia fikir apa terhadap Umno," katanya dalam temuramah dengan Bernama.

Dr Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas ura-ura Isa turut disenarai sebagai calon bagi pilihan raya kecil itu.

Dr Mahathir berkata walaupun Umno bahagian Teluk Kemang yang diterajui Isa sendiri mahukan dirinya bertanding, mereka perlu ingat bahawa pilihan raya kecil itu bukan melibatkan wakil dari Umno bahagian itu sahaja yang bertanding.

Ini kerana rakyat akan melihatnya sebagai mewakili Umno dari seluruh negara dan menggambarkan pendirian Umno, katanya.

"Macam satu orang boleh menang jadi Presiden Umno tapi tak bermakna dia boleh menang pilihan raya," katanya.

Isa digantung selama tiga tahun sejak 24 Jun 2005 kerana rasuah politik ketika pemilihan Umno 2004. Pada mulanya, dia digantung selama enam tahun atau dua penggal tetapi dikurangkan selepas beliau membuat rayuan.

http://utusanjamanedan.blogspot.com/

Wednesday, September 23, 2009

Mahkamah Khas Ganti ISA :- Nizar vs Najib Altantuya


Penganalisis politik, Dr. Chandra Muzaffar hari ini mencadangkan penubuhan mahkamah khusus yang berfungsi seperti Mahkamah Khas untuk raja-raja bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam menangani ancaman keselamatan.

Pada masa yang sama, katanya, undang-undang baru yang lebih adil, tegas dan menjamin hak asasi manusia perlu digubal bagi mengambil alih peranan ISA termasuk memansuhkan kuasa Menteri Dalam Negeri untuk menahan seseorang tanpa melalui proses mahkamah.

Jelasnya, mahkamah khas itu akan mengendalikan permohonan pihak berkuasa untuk penahanan seseorang atau sekumpulan suspek yang disyaki terlibat dalam aktiviti menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Tambahnya, pihak berkuasa selepas tempoh tertentu perlu menghadapkan suspek terbabit untuk dibicarakan secara tertutup di mahkamah khas dengan didengar oleh seorang, tiga atau lima hakim.

‘‘Selain kes-kes keselamatan, perbicaraan kes-kes perkauman juga perlu dibuat secara tertutup.

‘‘Seperti juga Mahkamah Khas untuk kes melibatkan seseorang raja, keputusan mahkamah khusus ini juga muktamad dan tidak boleh dirayu di mahkamah lain,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Chandra berkata demikian ketika diminta memberi pandangan mengenai pindaan ISA yang dijangka dibentangkan di Parlimen bulan depan.

Sebelum ini, Mahkamah Khas ditubuhkan di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk membicarakan kes melibatkan mana-mana sultan atau raja Melayu yang tidak boleh didakwa di mahkamah biasa.

Menurut Chandra, cadangan itu dikemukakan kerana penentangan dan kritikan dari dalam dan luar negara terhadap ISA tidak akan berakhir lantaran ia disifatkan melanggar hak asasi manusia dan keadilan sejagat.

‘‘Saya mengakui ISA sudah banyak berjasa kepada negara dalam hal menangani isu-isu keselamatan dalam negeri tetapi selain isu hak asasi dan keadilan sejagat, terdapat juga ruang untuk akta ini disalahgunakan.

‘‘Pendirian saya tentang isu pelanggaran hak asasi ini konsisten memandangkan ia isu sejagat malah dalam Islam sendiri pesalah atau suspek diberi ruang membeli diri atau dibicarakan,” katanya.

Chandra turut mencadangkan nama baru bagi undang-undang menggantikan ISA iaitu Maintenance of Public Order and Stability Act atau Akta Kawalan Keselamatan dan Kestabilan Awam.

‘‘Ini adalah sesuai dengan matlamat undang-undang tersebut iaitu untuk mengawal dan mengekalkan kestabilan awam,” jelasnya.

Sementara itu, mengenai ISA, Chandra berkata, akta itu pada peringkat tertentu berperanan positif menghadapi ancaman komunis, konfrontasi, perkauman dan masalah semasa yang berhubung kait dengan keganasan serta ancaman baru politik pasca 13 Mei 1969.

Namun, tegasnya, dari satu perspektif, ISA melanggar prinsip asas hak asasi manusia dan hak asasi sejagat apabila membenarkan pihak berkuasa menahan seseorang individu tanpa bicara dan membela diri.

‘‘Selain itu ISA juga memberi kuasa yang hampir-hampir mutlak kepada golongan eksekutif iaitu Menteri Dalam Negeri tanpa proses semakan melalui perundangan.

‘‘Tidak ada pihak lain yang boleh mencabar kuasa mutlak ini. Ini berbahaya kerana dalam sistem yang diwujudkan oleh manusia kita memerlukan batasan. Batasan merupakan satu prasyarat untuk mewujudkan sebuah sistem yang bertamadun,” jelas beliau.

Chandra berpendapat, ISA telah meletakkan Malaysia di persimpangan jalan berhubung satu proses perundangan, oleh itu kerajaan hendaklah menggubal satu undang-undang alternatif untuk menggantikan ISA.

“Undang-undang baru itu perlu mengambil kira dua faktor iaitu kebebasan dan hak individu kerana ia melibatkan maruah dan martabat manusia.

“Pada masa yang sama kita harus mengambil kira keselamatan masyarakat dan kestabilan negara. Yang menjadi cabaran pada masa ini ialah bagaimana kita harus mengimbangi kedua-duanya antara hak insan dan keselamatan,” tambah beliau.-/utusan online

Thursday, September 17, 2009

ISA: Hishamuddin Bebas Tahanan Untuk Jaga Maruah! :- Nizar vs Najib Altantuya


Keputusan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussien membebaskan lima tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri(ISA)dilihat sebagai taktik untuk membersihkan imej beliau yang dicalar dengan pelbagai kontrovesi bersabit isu hak asasi dan tolerasi agama.

Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Md Akin, menyambut baik pembebasan lima tahanan itu, namun mempersoalkan motif di sebalik langkah itu.
Beliau berkata Keadilan berpendapat kerajaan telah melakukan penzaliman keatas lima tahanan itu dengan menahan mereka tanpa bukti atau memberi mereka peluang untuk mempertahankan diri di mahkamah.

" Saya percaya bahawa pembebasan lima tahanan ISA ini yang diumumkan oleh Menteri Dalam Negeri adalah satu kaedah untuk membersihkan imej beliau kerana dalam kes yang berkaitan dengan isu kepala lembu. Kita lihat Menteri Dalam Negeri mengambil sikap yang biadap dengan menghalalkan tindakan tersebut dan bersetuju pula dengan kelompok yang mencemari dan cuba menimbulkan ketegangan kaum dan juga agama. Ini menimbulkan respon yang negatif kepada rakyat" ujarnya.

Seluruh negara sebelum ini dikejutkan dengan berita sekumpulan orang termasuk beberapa pemimpin Umno mengarak kepala lembu di hadapan bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor bagi membantah pemindahan sebuah kuil hindu dari seksyen 19 ke seksyen 23 di Shah Alam.

Kejadian selepas solat Jumaat itu bersikap perkauman kerana lembu adalah binatang suci dalam agama Hindu.

Lebih mengejutkan ialah tindakan Hishamuddin menyokong penunjuk perasaan berkenaaan. Beliau berkata tindakan penunjuk perasaan berkenaan tidak boleh dilihat sebagai berbau perkauman kerana mereka mempunyai asas kukuh untuk membuat bantahan seumapama itu.

Shamsul percaya tindakan yang diambil oleh Hishamuddin juga bertujuan untuk meraih modal politik bagi pilihanraya kecil pilihan raya kecil Bagan Pinang pada 11 Oktober ini.

Beliau berkata pembebasan lima tahanan itu hanya menzahirkan keghairahan Umno untuk menggunakan ISA untuk kepentingan politik sempit dan bukan untuk tujuan keselamatan negara.

" Kita konsiten dengan pendirian, Pemuda Pakatan dan Pakatan Rakyat, bahawa undang-undang lapuk dan zalim seperti ISA mesti dihapuskan dengan segera" tambah beliau.

Lima tahanan dibebaskan ialah Mat Shah Mohd Satray, Abdullah Daud, Ahmad Kamil Md Hanafiah, Mohd Nasir Ismail @ Hassan, dan Muhammad Amir Md Hanafiah.-TVA

ISA: GMI Sambut Pembebasan Penuh Persoalan :- Nizar vs Najib Altantuya

Ekoran pembebasan lima tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) semalam.

Biarpun bersyukur dan menyambut baik keputusan kerajaan, namun Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) menganggap isu sebenar akta tersebut masih belum terjawab.

Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, GMI melihat pembebasan tersebut penuh dengan keraguan.

Persoalan- persoalan teras terhadap kezaliman akta itu belum dijawab kerajaan biarpun berlaku pembebasan.

Antara yang perlu dijelas kerajaan katanya adalah berhubung asas penahanan, kesalahan dilakukan sehingga ditahan lapan tahun sebelum dibebaskan serta kenapa berlaku pembebasan terpilih.

"Kita menyambut baik, gembira dan bersyukur bagi pihak tahanan dan keluarga dengan pembebasan ini. Namun kita tetap persoal beberapa benda pertama kenapa ditahan awal dulu, kenapa baru sekarang dibebaskan, dan kenapa lima orang sahaja dibebaskan? " soalnya ketika dihubungi Harakahdaily.

Menurtnya, mangsa tahanan yang telah dibebaskan perlu diberitahu kesalahan mereka. Sekiranya tiada bukti jelas kesalahan tersebut dilakukan, mangsa perlu diberi pampasan setimpal dengan kesengsaraan yang ditanggung selama tempoh tahanan dalam penjara.

Katanya lagi, sehingga berita ini ditulis, GMI masih belum dimaklumkan secara rasmi oleh kementerian berhubung pembebasan tersebut. GMI setakat ini hanya mengetahui perkembangan terbaru itu melalui media dan isteri salah sorang tahanan yang dibebaskan melalui panggilan telefon.

Mengulas lanjut, Syed Ibrahim memberitahu beliau yakin tindakan kerajaan itu adalah hasil kejayaan rakyat yang tidak pernah berhenti memberi tekanan kepada pihak kerajaan dalam usaha menuntut pemansuhan akta yang di dakwanya zalim itu.

GMI yang ditubuhkan sejak tahun 2001 telah menggerakkan rakyat secara berterusan membantah kewujudan ISA. Kali terakhir himpunan terbesar dianjurkan mereka 1 Ogos lalu di ibu negara turut disertai kesemua parti politik pembangkang dan lebih 80 pertubuhan bukan kerajaan NGO.

"Ini hasil usaha gigih dan berterusan GMI bersama rakyat dan saya percaya kemuncak himpunan 1 Ogos lalu telah memberi kesan," katanya lagi.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Husein semalam mengumumkan pembebasan lima tahan ISA yang ditahan antaranya hampir lapan tahun.

Kesemua mereka adalah Mat Sah Mohamad Satry, Mohd Nasir Ismail, Mohd Kamil Mohd Hanafiah dan Mohd Amir Hanafiah.

Pembebasan tersebut kata menteri berkenaan dibuat setelah mendapati kesemua mereka telah insaf dan bersempena Hari Raya Puasa, tidak lama lagi.

Biarpun dinafikan, banyak pihak yakin ia ada kaitan menjelang Pilihan Raya Kecil Bagan Pinang bulan depan.

Mengulas kenyataan itu, Syed Ibrahim sekali lagi mengulangi kenyataanya bahawa sebab pembebasan yang diberikan Hishamudin tidak konkrit dan meragukan.

Persoalan kenapa ditahan, terbuktikah kesalahan dan kenapa perlu sampai lapan tahun, masih belum terjawab.

Dengan persoalan yang belum terjawab itu katanya, GMI yakin hasrat kerajaan meminda akta tersebut sukar untuk diharapkan.

" Kenyataan Hishamuddin memberi gambaran iklim ISA ini penuh ketidak tentuan."

"Janji pindaan akta juga nampaknya kabur selagi rakyat boleh ditahan tanpa bicara dengan kuasa menteri dan polis," katanya.

Perjuangan GMI katanya akan diteruskan selagi ISA wujud. Mengikut rekod mereka, baki tahanan selepas lima dibebaskan semalam adalah seramai 12 orang.

Berbeza dengan laporan kementerian bahawa hanya sembilan masih ditahan.

" Mengikut maklumat GMI, masih ada 12 orang ditahan, berbeza dengan sembilan dalam rekod kementerian. Mungkin ada pembebasan dibuat sebelum ini tetapi kita tidak dimaklumkan," katanya.- HarakahDaily

Thursday, August 13, 2009

Undian KDN - Kumpulan Pro-ISA Menang? :- Nizar, Zambry & Najib Altantuya

Selepas dilanda kontroversi, akhirnya undian portal berita Kementerian Dalam Negeri (KDN), yang berakhir tengah malam tadi, melegakan mereka yang pro-Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Sebanyak 58 peratus atau 23,850 respons mengundi menyokong ISA "diteruskan dengan semakan" seperti dijanjikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Hanya 42 peratus atau 17,399 respons mahu akta kontroversi itu "dimansuhkan" bagi soalan keempat "Apa yang anda mahu dari ISA?" (lihat carta pertama), satu daripada dua soalan yang didakwa diseleweng akibat lonjakan mendadak dan luar biasa kelmarin.

Pada jam 4 petang 10 Ogos, hanya 1,333 respons mahu ISA disemak semula tetapi melonjak 1,069 peratus kepada 15,590 respons pada 1.45 petang semalam (lihat carta kedua).

Lonjakan luar biasa itu, berbanding hari-hari sebelumnya, mula dikesan tengah hari Isnin lalu - justeru mula menjadi subjek pertikaian sekumpulan pengguna internet di ruang diskusi Facebook.

Bagi soalan pertama, pada 10 Ogos, hanya 1,499 respons memilih jawapan ISA sebagai "undang-undang pencegahan" tetapi naik sehingga 887 peratus 14,807 respons.

Jumlah respons pula meningkat mendadak sebanyak 16,171 – dari 13,644 kepada 29,815 respons.

Ketua Komunikasi Korporat KDN, Jamilah Taib, juga editor portal berita tersebut berkata, kementerian tidak menyeleweng data tersebut seperti didakwa.

Keputusan muktamad bagi soalan pertama "Pada pandangan anda, ISA adalah ...", seperti di arkib siri undian di portal KDN itu - menunjukkan hanya 42 peratus atau 16,089 respons yang menyifatkan akta itu "kejam".

Sebanyak 57 peratus daripada 37,944 respons menganggapnya "undang-undang pencegahan."

Wednesday, August 12, 2009

Isu ISA: Undian KDN Dipertikai :- Nizar vs Najib Altantuya


Desakan untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tiba-tiba menjunam hari ini dalam undian di laman web berita Kementerian Dalam Negeri (KDN) - tinggal lagi 48 peratus daripada 90 peratus sejak petang semalam.

Jumlah respons bagi soalan keempat "Apa yang anda mahu dari ISA?" pula meningkat mendadak - kepada 30,115 daripada 13,969 respons berdasarkan semakan akhbar berbahasa Cina jam 4 petang semalam - sehingga menjadi bahan pertikaian dan tuduhan ia dimanipulasi.

Sebanyak 12,589 respons atau 90 peratus mahu akta kontroversi itu dihapuskan semalam seperti dilaporkan China Press hari ini.

Malam ini, tinggal lagi 48 peratus atau 14,603 respons mahu ia dimansuhkan.

Sementara 51 peratus atau 15,459 respons ingin ia disemak seperti janji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Tanggapan pengunjung gerbang berita rasmi KDN juga berubah mendadak dan luar biasa.

Setakat semakan terkini Malaysiakini jam 11.30 malam ini - 49 peratus atau 13,619 daripada 28,012 respons menyifatkan akta itu "zalim", dan 50 peratus lagi menganggapnya "undang-undang pencegahan."

Petang semalam, 87 peratus atau 11,836 respons menganggapnya sedemikian. Jumlah respons waktu itu 13,644 berbanding lewat malam ini yang meningkat lebih 100 peratus.

Keganjilan corak respons ini mengundang pertikaian sekumpulan pengguna internet.

Mereka mendakwa respons terbaru bagi dua soalan tersebut - termasuk yang pertama "pada pandangan anda, ISA adalah ..." - telah dimanipulasi oleh kementerian berkenaan.

Kenaikan mendadak respons itu berbeza dengan corak jawapan bagi tiga soalan lagi sejak ia dimulakan.

Semakan China Press di laman web www.ikdn.gov.my menunjukkan, tiga soalan lain menerima respons antara 12,246 hingga 12,578.

Semakan Malaysiakini malam ini bagi ketiga-tiga soalan tersebut menunjukkan ia tidak naik mendadak, sebaliknya mengikut corak respons seperti Khamis lepas, hari pertama undian ini diberitakan.

Menjawab isu tahap pengetahuan pengunjung berhubung akta tersebut, berdasarkan semakan menjelang tengah malam ini, 94 peratus daripada 14,411 respons memilih "faham".

Kira-kira 94 peratus daripada 13,917 respons pula menjawab soalan ketiga dengan menyatakan mereka mendapat maklumat tentang isu tersebut daripada bahan bacaan.

Bagi soalan terakhir, 56 peratus daripada 13,983 respons "mengetahui" Amerika Syarikat dan Britain mempunyai akta menentang keganasan masing-masing yang "dirujuk daripada pelaksanaan ISA di Malaysia".

Sementara 40 peratus lagi, atau 5,661 respons, menyifatkan soalan itu "tidak memberi apa-apa makna" kepada mereka.

Berdepan dengan kenaikan ganjil itu, warga internet yang berbahas di laman perkongsian sosial Facebook kumpulan diskusi 1BlackMalaysia menyifatkan fenomena undian KDN itu sebagai "keengganan kerajaan menerima kebenaran tentang apa yang dituntut rakyat berhubung ISA".

Semakan Malaysiakini jam 3.10 petang ini bagi soalan keempat menunjukkan 56 peratus atau 13,002 respons mahu ia dimansuhkan, manakala bagi soalan pertama pula menunjukkan 50 peratus daripada 24,418 respons menyifatkan akta itu "zalim".

Laporan awal tentang undian lima soalan yang dimulakan menjelang jam 9 malam Rabu lalu dapat dilihat di sini (Khamis lalu) dan di sini (Jumaat lepas).

Berdasarkan undian topik-topik yang lepas, tempoh tinjauan di portal berita KDN itu dijalankan selama seminggu.

Data tinjauan awal bahagian grafik Malaysiakini petang Khamis lepas - tidak sampai 24 jam sejak dimuatnaik - seperti berikut:

Sunday, August 9, 2009

Saman RM10 Juta, Ingatan Kepada Anggota FRU :- Nizar vs Najib Altantuya


Saman RM10 juta terhadap pegawai kanan FRU di Kelantan wajar menjadi pengajaran kepada pasukan itu agar mematuhi peraturan ketika melepaskan gas pemedih mata kepada orang ramai.Ini kerana, bukan pelajar dari Kota Bharu itu sahaja yang menjadi mangsa sebegini tetapi juga para peserta perhimpunan Mansuh ISA Ogos 1 lepas.

Pegawai Medan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), ASP M. Sathasivam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kerajaan Malaysia masing-masing dinamakan sebagai defendan dalam saman tuntutan ganti rugi mangsa kelongsong peluru gas pemedih mata dalam kejadian rusuhan di Stadium Sultan Muhammad IV hampir empat bulan lalu.

Mangsa, Muhammad Huzaifah Mohd Noor, memfailkan saman menuntut ganti rugi sebanyak RM10 juta di atas kecederaan mata kanannya akibat terkena tembakan kelongsong peluru gas pemedih mata yang mengakibatkan mata kanannya buta.

Saman tersebut difailkan Huzaifah sebagai plantif melalui peguamnya, Shaharudin Mohamed, dari Peguambela dan Peguam cara Shaharuddin Hidayu & Marvaliz di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi, Kota Bharu, petang semalam.

Plaintif, seorang pelajar Institut Latihan Perindustrian, Pengkalan Chepa, mengalami kecederaan itu semasa rusuhan penonton bolasepak pada perlawanan separuh akhir pertama Piala FA antara Kelantan dengan Negri Sembilan di Stadium Sultan Muhammad IV April lalu.

Ketika kejadian rusuhan plaintif dikatakan tidak terlibat langsung sebagai penonton atau kumpulan rusuhan tersebut. Sebaliknya kehadiran beliau di situ adalah semata-mata menolong sepupunya berniaga bagi mencari pendapatan sampingan untuk menampung perbelanjaan pengajiannya.

Di dalam tuntutannya plaintif mendakwa, pada April 7, 2009, jam 11.30 malam ketika mengemas barangan jualan, tiba-tiba sepasukan anggota FRU yang diketuai defendan pertama (Sathasivam), yang mana seorang anggotanya melepaskan tembakan gas pemedih mata ke arahnya.

Akibat kejadian tersebut beliau dimasukkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, Kota Bharu.

Sementara itu peguamnya, Shaharuddin, memberitahu tuntutan tersebut adalah sebagai ganti rugi teruk dan teladan di atas kecuaian defendan mengakibatkan plaintif mengalami kecacatan kekal.

Menurut Shaharuddin juga, tuntutan faedah di atas jumlah penghakiman pada kadar 8 peratus setahun dari tarikh penghakiman turut dibuat.


/detikdaily

Saturday, August 8, 2009

GMI Mungkin Rancang Satu Lagi Demo Mansuhkan ISA :- Nizar vs Najib Altantuya


Himpunan MANSUH ISA, 1 Ogos lalu disifatkan sebagai satu kejayaan besar bagi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) mengumpul rakyat berbilang kaum bertujuan menyatakan bantahan terhadap akta itu. Himpunan itu dikatakan gagal apabila 'Deklarasi Rakyat' tidak dapat diserahkan ke Istana Negara. Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh ternyata kecewa dengan tindakan polis yang menyekat kemaraan mereka ke Istana. Ikuti temubual ringkas, ANIS NAZRI bersama beliau ketika menjawab pelbagai polemik yang timbul ekoran perhimpunan yang dikatakan haram itu.

Perhimpunan anti-ISA, 1 Ogos lalu mencetuskan kemarahan ramai pihak, termasuk para peniaga, pengguna jalan raya dan sebagainya. Bagaimana saudara jelaskan perkara ini?

SYED IBRAHIM SYED NOH: Saya percaya perkara tersebut tidak akan berlaku jika pihak polis memberikan kerjasama untuk membenarkan rakyat berhimpun dan berarak dengan aman. Kebanyakan kerosakan berlaku kerana halangan-halangan daripada polis yang menutup jalan-jalan utama.
Jika kami dan rakyat diberi laluan dengan baik dan aman, kita fikir perhimpunan dan penyerahan memorandum ke Istana Negara boleh diselesaikan dalam masa satu atau dua jam sahaja. Apa yang berlaku ini melihatkan sikap polis dalam menangani perhimpunan ini. Mereka sepatutnya faham dengan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia yang membenarkan rakyat berhimpun menyatakan suara mereka.

Tetapi isunya menjejaskan banyak pihak?

Kita tidak langsung berniat untuk menjejaskan perniagaan sesiapa. Bagi kami, benda ini boleh dielakkan jika polis memberikan kerjasama dengan baik. Jika sambutan Maulidur Rasul, Le Tour De Langkawi, polis boleh tutup jalan dengan kawalan yang baik, perkara yang sama boleh dilakukan untuk himpunan anti-ISA tempohari.
Kita tidak membuat sebarang rusuhan. Tiada siapa di kalangan yang ditahan pada hari tersebut dikenalpasti membawa sebarang senjata merbahaya.

Himpunan ini juga dikatakan gagal apabila Delegasi Rakyat dan pemimpin Pakatan Rakyat tidak muncul-muncul di Istana Negara untuk menyerahkan memorandum, biarpun dianggarkan lebih 50 000 menyertai himpunan tersebut. Adakah saudara kecewa dengan 'kegagalan' tersebut?

Jika diambil kira halangan dan sekatan polis serta langkah pencegahan mereka terhadap himpunan ini, saya lihat ia sebagai satu kejayaan apabila rakyat tetap turun untuk menyatakan sokongan tersebut. Walaupun objektif untuk menghantar deklarasi itu tidak berjaya, tetapi bagi kami ia tetap berjaya mengumpulkan rakyat yang sedar tentang kezaliman ISA.

Bagi GMI, penglibatan ramai pihak dari seluruh lapisan masyarakat tidak mengira kaum dan peringkat usia adalah satu kejayaan besar kepada rakyat dan GMI bagi menyampaikan mesej kepada kerajaan betapa rakyat mahu ISA dimansuhkan.

Dalam perhimpunan ini, kita dapat melihat, rakyat tanpa sebarang imbuhan turun secara sukarela untuk menyatakan bantahan mereka, biarpun disembur air kimia dan gas pemedih mata. Rakyat semakin sedar ISA ini satu isu besar dan perlu menyampaikan isyarat kepada kerajaan.

Saya fikir, jika Umno dibayar upah sekalipun untuk menyertai apa-apa himpunan, belum tentu dapat mengumpul sebanyak ini. Sedangkan GMI, dalam keadaan kurang berkemampuan dari segala segi, berjaya mendapatkan sokongan tidak berbelah bahagi daripada rakyat, termasuk dari luar Kuala Lumpur. Kita tidak rasa kecewa dengan apa yang berlaku. Apa yang dikesalkan tindakan polis yang tidak memberikan kerjasama kepada kita.

Kegagalan ke Istana Negara itu mungkin menimbulkan rasa tidak puashati rakyat secara keseluruhannya. Mungkinkah GMI merancang untuk mengadakan satu lagi himpunan bagi menjayakan objektif untuk menyampaikan deklarasi tersebut?

Dalam hal ini kita akan mengadakan 'post-mortem' dalam tempoh terdekat untuk membincangkan apa yang boleh dilakukan bagi menyampaikan deklarasi rakyat kepada Yang DiPertuan Agong.

Keputusan sebelum ini kita akan menghantarnya dalam tempoh terdekat. Mungkin menggunakan pendekatan lain, atau menganjurkan satu lagi himpunan lain. Itu akan dibincangkan.

Kita sedang menunggu pandangan rakyat, termasuk mereka yang ditahan baru-baru ini berhubung rancangan seterusnya. Jika dilihat 'trend' sekarang, ramai yang inginkan satu lagi himpunan.

GMI akan adakan satu lagi himpunan serupa?

'Feedback' yang diterima daripada mereka yang ditahan pula sangat baik apabila mereka menyatakan persediaan untuk turun sekali lagi ke jalan raya jika GMI merancang untuk mengadakan himpunan lagi.

Perkara tersebut akan dibincangkan dalam mesyuarat akan datang. Walaupun tahu dalam keadaan sekarang GMI akan dikenakan sebarang tindakan, bagi saya itulah harga yang perlu dibayar untuk perjuangan ini.

Perhimpunan kali ini paling teruk apabila jumlah penangkapan yang begitu tinggi, 589 orang. Pada pandangan saudara, apakah faktor itu menyebabkan perarakan ke Istana Negara tersekat?

Saya rasa itu memang bukan strategi baru polis, tetapi kali ini lebih teratur proses sekatan mereka. Ada di antara mereka yang ditahan di Masjid Negara seawal jam 10 pagi. Malah ada yang ditahan jam 3 pagi ketika dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.
Ini satu taktik baru bagi polis untuk menahan sesiapa sahaja yang mereka syaki mempunyai niat untuk menyertai perhimpunan tersebut. Tapi bagi saya, ia jelas melanggar hak asasi manusia.

Tidak bolehkah berjalan-jalan dengan memakai baju hitam? Baju merah?
Itu adalah satu pencabulan hak apabila bertindak menahan hanya kerana menyangka mereka ada niat untuk menyertai himpunan tersebut.

Perdana Menteri, Najib Tun Razak menyatakan kesediaan untuk memberikan ruang untuk berhimpun menyatakan pendirian, tetapi di tempat-tempat separti stadium. Adakah GMI bersetuju dan bercadang untuk menerima 'pelawaan' tersebut?

Ini bukan cadangan baru. Pengalaman dulu ketika kita adakan himpunan di Bukit Jalil, kita ada memohon permit tapi ditolak. Permohonan permit akan ditolak dengan syarat-syarat lain yang menyusul untuk menghalang kita berhimpun.
Kita sudah ada pengalaman tersebut. Bagi saya soal lokaliti, soal kedua, ketiga atau bukan soalnya. Ia satu sikap yang jelas meremehkan rakyat Malaysia yang berhasrat menyatakan pendirian mereka berkenaan sesuatu perkara.

GMI sudah beri jaminan, himpunan ini aman. Tidak timbul soal stadium atau mana-mana temnpat?

Kita sudah memberi jaminan bahawa himpunan kita aman, dan didapati mereka yang ditahan sudah dikenalpasti tidak membawa sebarang senjata untuk menyertai himpunan tersebut.

Kita turun dengan tubuh badan, kaki, tangan dan mulut untuk menyatakan bantahan.
Persoalannya bagaimana pihak polis menangani dan mengawal situasi tersebut. Saya yakin, jika polis berkerjasama dengan baik tiada sebarang kekecohan berlaku.
Sumber; http://www.detikdaily.net

Friday, August 7, 2009

Teoh Dipegang Oleh Lebih 2 Orang Sebelum Jatuh - Saksi Inkues Kematian Teoh Beng Hock


Dr Seah sahkan ada 3 sampel DNA lelaki tidak dikenali

Saksi kesembilan inkues kematian Teoh Beng Hock, Dr Seah Lay Hong mengesahkan terdapat sekurang-kurangnya tiga sampel DNA lelaki yang tidak dikenali diambil daripada kesan tali pinggang yang terputus milik si mati.

Semasa memberi keterangan kepada mahkamah hari ini, Dr Seah juga tidak menolak kemungkinan bahawa Teoh telah dipegang oleh lebih daripada dua individu lain sebelum terjatuh dari tingkat 14 bangunan Plaza Masalam dekat sini.

Beliau sebelum itu menjawab soalan peguam yang mewakili keluarga Teoh, Gobind Singh Deo berhubung laporan ujian DNA yang dilakukannya keatas tali pinggang milik si mati yang menyebut terdapat sekurang-kurangnya satu lagi DNA lelaki yang tidak dikenali.

"Apa maksud anda dengan mengatakan sekurang-kurangnya?" soal Gobind.

Kemudian Dr Seah menjawab: "Ya, jumlah yang kecil atau juga mungkin lebih... bagaimanapun jika nak katakan ada DNA keempat, ia mungkin agak lemah."

Dr Seah merupakan seorang pakar DNA yang berkhidmat di Jabatan Kimia Malaysia.

Beliau adalah salah seorang daripada tiga ahli kimia yang dipanggil hari ini sebagai saksi.

Minggu lalu Mahkamah Majistret Shah Alam diberitahu bahawa satu sampel DNA milik seorang lelaki yang tidak dikenali telah ditemui di bahagian belakang kot dan tali pinggang Teoh.

Peguambela dan peguamcara, Tan Hock Chuan yang mewakili kerajaan ketika prosiding inkues minggu lalu berkata, laporan DNA pertama daripada spesimen yang diambil di bahagian luar kot yang dipakai Teoh mendapati terdapat campuran DNA daripada dua individu iaitu yang menyamai spesimen darah Teoh dan seorang lelaki yang tidak diketahui.

Bagi mendapatkan penjelasan lanjut, Gobind kemudiannya bertanya kepada Dr Seah sama ada beliau turut menjalankan ujian terhadap baju atau barang-barang lain yang dibekalkan kepadanya terutamanya di bahagian pinggang, beliau berkata ujian tidak dilakukan secara keseluruhannya.

Jelas Dr Seah, beliau menjalankan ujian DNA terhadap bahagian-bahagian tertentu pada pakaian si mangsa yang tidak terdapat kesan darah.

Gobind terus mengasak Dr Seah dengan soalan sama ada beliau yang mempunyai kepakaran mengenai DNA tidak berusaha untuk mendapatkan rakaman foto kedudukan si mati ketika ditemui bagi memberi gambaran yang jelas.

"Tadi kamu kata berdasarkan hipotesis kamu, didapati si mati mungkin dipegang oleh lebih daripada dua orang sebelum terjatuh.

"Jadi mengapa kamu tidak minta dibekalkan foto rakaman si mati ketika ditemui daripada pegawai penyiasat agar kamu boleh buat hipotesis dengan lebih jelas?" soal Gobind.

Dr Seah kemudiannya menjawab: "Saya tidak dibekalkan dengan foto-foto berkenaan".

Gobind bagaimanapun mempersoalkan mengapa Dr Seah tidak berusaha untuk mendapatkan foto-foto berkenaan jika ia boleh membantu beliau memberi gambaran yang lebih jelas.

"Saya hanya jalankan ujian terhadap barang-barang kes yang dibekalkan kepada saya, saya tak minta foto-foto berkenaan kerana saya fikir ia mungkin rahsia bagi kes ini," tegas Dr Seah.

Gobind kemudiaanya naik berang dengan bertanya: "Kamu tak cuba minta, bagaimana kamu nak tahu sama ada ia rahsia ataupun tidak?"

"Setuju ataupun tidak jika saya katakan dengan adanya foto-foto berkenaan ia akan lebih membantu anda membuat hipotesis terhadap kes ini?"

Jawab Dr Seah: "Ya setuju, tapi saya tidak dibekalkan."

Dr Seah kemudiannya lantas bertanya kembali kepada Gobind: "Boleh saya tahu adakah terdapat bahagian-bahagian tertentu yang saya tak jalankan ujian DNA dalam konteks kes ini?"

Soalan spontan Dr Seah itu mengundang gelak tawa sidang mahkamah termasuk Koroner Azmil.

Kemudian Tan bangun bertanya kepada Dr Seah sama ada penyerahan rakaman foto si mati kepada ahli kimia sepertinya yang bertanggungjawab untuk menjalankan ujian DNA merupakan sesuatu prosedur normal.

Dr Seah berkata: "Tidak... ia bukan sesuatu yang normal." - /mstar

Thursday, August 6, 2009

Perarakan-HARAM, Demonstrasi-HARAM, Jual Arak-TAK HARAM ?? :- Inkues Teoh Beng Hock & Nizar vs Najib Altantuya



Orang-orang Cina lebih mempercayai pelacur dari pegawai kerajaan - kajian.


Pelacur dianggap lebih dipercayai di China berbanding dengan pegawai kerajaan dan saintis, demikian menurut satu kajian yang dilakukan terhadap 3,000 responden.

Kajian secara online yang merangkumi 3,376 rakyat China menunjukkan sebanyak 7.9 peratus daripada responden merasakan pelacur lebih dipercayai, yang meletakkan pelacur ditempat ketiga selepas petani dan ahli ugama, lapur majalah Insight China dilaman web mereka.

“Senarai begini sangat memeranjatkan dan memalukan” akhbar China Daily melapurkan , apabila mengulas tentang keputusan kajian yang dibuat pada Jun dan Julai 2009.

“Pengiktirafan yang diberikan terhadap pelacur, amat memeranjatkan.”

Akhbar tersebut berkata, senarai tersebut menunjukkan saintis dan guru diletakkan dibawah termasuk pegawai-pegawai kerajaan. Tentera dan pelajar juga diletakkan dibawah kumpulan pelacur.

Memandangkan begitu banyak skandal yang melibatkan kumpulan elit di China, keputusan ini tidaklah begitu teruk.” Ulas lidah pengarang China Daily.

Sekurang-kurangnya, (saintis dan pegawai) tidak terperosok kebawah berbanding dengan pemaju perumahan, setiausaha, agen, artis dan pengarah. (AFP)

*************************************************

Pas mahu Ronnie Liu disingkirkan. Keseluruhan isu adalah tentang penjualan arak disesetengah tempat diSelangor yang dianggap kawasan “Majoriti Islam”. Ronnie merupakan wakil DAP didalam EXCO Kerajaan Negeri Selangor.

Sebenarnya, ianya bukan hak Pas untuk menentukan siapa wakil DAP didalam EXCO Selangor. Ketiga-tiga komponen Pakatan rakyat…PKR, DAP dan PAS…telah diberikan kuota-kuota tertentu dengan jawatan yang telah dipersetujui. Terpulang kepada parti-parti tersebut untuk menentukan siapa wakil mereka yang diberikan jawatan.

Barisan Nasional juga beroperasi seperti ini. Setiap daripada 14 parti komponen diperuntukkan kuota tertentu. Mereka boleh menamakan wakil dari parti mereka untuk memenuhi kuota tersebut.

Umno tidak boleh memberitahu MCA, MIC, grakan atau mana-mana parti siapa yang patut dipilih. Parti-parti ini mendapat kuota-kuota jawatan tertentu dan siapa yang dipilih adalah urusan peribadi setiap parti.

Umno mungkin tidak suka kepada Samy vellu ataupun Ong Tee Kiat. Tetapi kalau MIC dan MCA mahukan mereka menjadi menteri, maka Umno tidak mempunyai pilihan selain dari menerimanya. Itu hak MIC dan MCA, bukan pilihan Umno. ini juga berlaku semasa pemerintahan Dr. Mahathir dalam kes Tan Koon Swan dan S. Subramaniam. Walaupun Mahathir mahukan Koon Swan dan S. Subramaniam didalam kabinet, tetapi MCA dan MIC tidak mahukan mereka, tiada apa yang boleh dilakukan oleh Mahathir.

Pas tidak boleh memberitahu DAP sama ada mahukan Ronnie didalam EXCO - sama seperti menteri - atau tidak. Itu pilihan DAP, bukan pilihan Pas. Sebenarnya, ramai yang tidak mahukan Hasan Ali didalam EXCO kerana ramai yang mengesyakki beliau sebagai ejen Umno, yang mana peranan beliau ialah memporak porandakan Pakatan Rakyat. Tetapi selagi Pas mahukan beliau, maka kita terpaksa menutup mulut dan menerima keputusan PAs. Kita tidak boleh mendesak Pas untuk menyingkir beliau.

Apapun, isu penjualan arak bukanlah isu sebenarnya. Tidak ada undang-undang yang mengatakan seseorang itu tidak boleh menjual arak di Malaysia sekiranya pihak tersebut mempunyai lesen yang sah. Kalau ini benar-benar merupakan isu, bagaimana pula dengan MAS, yang juga menjual arak? Mengapa Hasan Ali dan gengnya tidak mengambil tindakan terhadap MAS, yang merupakan syarikat milik kerajaan?

Dan bagaimana pula rangkaian hotel Pernas? Syarikat milik kerajaan ini juga menjual arak dibar, disco dan pub mereka. Pantai Primula di kuala Terengganu juga menjual arak (saya tak tahu sama ada mereka masih melakukannya, tetapi saya dengar mereka tidak lagi menjualnya). Dan ini dilakukan semasa wan Mokhtar Ahmad, Menteri Besar Terengganu dari Umno.

Pantai Primula pada masa itu dimiliki ( malah masih dimiliki oleh Perbadanan Kemajuan Ekonomi Terengganu, tetapi mempunyai nama lain). Jadi, ianya masih dimiliki oleh kerajaan negeri. Dan Wan Mokhtar dianggap ulama dimana tugasnya ialah membaca doa sema Perhimpunan Agung Umno. Dan Wan Mokhtar yang dianggap ulama juga merupakan Pengerusi SEDC Terengganu.

Tidak ada undang-undang menghalang penjualan arak selagi seseorang itu mempunyai lesen. Satu saja cara untuk mengharamkan penjualan arak ialah meluluskan undang-undang untuk mengharamkan penjualannya.

Saya tidak mengatakan saya bersetuju arak patut dibenarkan. Haramkan saja kalau itu yang dimahukan. Saya bersetuju. Tetapi perlu ada undang-undang untuk mengharamkannya. Tak boleh la buat undang-undang sendiri mengikut sesuka hati dan membuat keputusan untuk mengharamkan sesuatu yang difikirkan patut diharamkan walaupun ianya tidak haram disi undang-undang.

Kerajaan Malaysia mengharamkan perhimpunan awam, perarakan, demonstrasi dan entah apa lagi. Tetapi ini adalah undang-undang…Akta Polis. Jadi, ada undang-undang yang membenarkan polis menangkap sesiapa yang berkumpul didalam kumpulan yang melebihi empat orang. Tetapi Pas tidak mengiktiraf undang-undang ini. Pas mengatakan undang-undang ini adalah undang-undang ‘haram’ yang melanggar Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Dan hanya pada Sabtu lepas, Pas mengarahkan penyokongnya supaya tidak mengendahkan undang-undang dan puluhan ribu turun kejalanraya untuk berdemo.

Ini undang-undang. tetapi undang-undang yang tidak baik. Ia merupakan undang-undang yang menyalahi Perlembagaan dan menafikan hak setiap rakyat Malaysia untuk berhimpun, kebebasan untuk berpersatuan dan bersuara. Jadi, Pas tidak menghiraukannya walaupun undang-undang tersebut diluluskan di Parlimen.

Pas memilih untuk tidak menghiraukan undang-undang yang ia tidak suka. Ia tidak menghiraukan Akta Polis yang menafikan hak kita untuk berhimpun seperti yang diberikan dalam Perlembagaan. Dan ia juga tidak menghiraukan undang-undang yang membenarkan penjualan arak walaupun seseorang itu mempunyai lesen.

Apa yang Pas mahu? Agak mengelirukan apabila Pas seolah-olah hilang arah tujuan dan tidak berpijak dibumi nyata. Pas menang didalam pilihanraya lalu bukan hanya kerana undi orang-orang Islam. Mungkin di Kelantan, dimana 97% penduduk nya beragama Islam, maka Pas mendapat undi orang Islam. Tetapi, mereka berhadapan dengan keyakinan orang Melayu dalam pilihanraya kecil di Kelantan dimana mereka hanya mendapat undi yang sedikit. Pas hampir kalah dalam pilihanraya tersebut walaupun majoriti besarnya adalah orang Islam.

Pas bukanlah sebuah parti hanya untuk orang Islam. Kalau demikianlah, maka Pas sepatutnya lebih berjaya di Terengganu, Perlis, Pahang, Johor, Melaka dan Negeri Sembilan, dimana pembangkang banyak tewas. Selain dari Kelantan, pembangkang menang di Kedah, Perak, Selangor dan Penang. Kecuali Kedah, negeri-negeri lain bukanlah bermajoritikan orang Islam. Jadi, bukan orang Islam yang memberikan kemenangan kepada Pas, termasuk di Kedah.

“Pas untuk Semua” adalah slogan yang dilaungkan oleh Pas. Perkataan penting disini ialah “Semua”, bukan Pas untuk orang Islam sahaja”.

Apakah PAS sudah lupa slogan yang diciptanya sendiri?

Ada satu lagi yang dilupai oleh PAS. Sebenarnya, semua tujuh parti seolah-olah sudah melupainya…iaitu Deklarasi Rakyat, dimana ketujuh-tujuh parti telah merestuinya sebelum 8 March 2008. Beberapa hari sebelum pilihanraya umum 2008, kesemua mereka telah menandatangani Deklarasi Rakyat. Tetapi sebaik saja selesai pilihanraya, mereka lupa kepada Deklarasi Rakyat yang mereka tandatangani.

Seperti yang saya katakan, pelacur mengambil wang hangpa dan hangpa boleh ’screw’ depa. Orang politik ambil duit hangpa, lepas tu depa ’screw’ hangpa. Saya lebih percayakan pelacur dari orang politik.

Kita perlu memberikan orang politik satu pengajaran. Satu gerakan rakyat akan melancarkan ANAK BANGSA MALAYSIA. Projek ini diterajui oleh rakan saya, seorang peguam, blogger, Sam Haris. Nantikan pelancarannya. Kami akan mengembeling rakyat untuk menyertai gerakan yang bukan berasaskan parti dengan harapan kita dapat merealisasikan harapan SATU NEGARA, SATU BANGSA, SATU SUARA.

Sudah sampai masanya kita mengambil kembali negara ini dari orang politik. Orang politik, dikedua-dua belah pihak, tidak menepati janji. Mereka merogol kita. Orang politik tidak boleh diharap. Kalau Barisan Nasional menewaskan Pakatan Rakyat dalam pilihanraya akan datang, bukan kerana Barisan kuat, tetapi kerana Pakatan lemah.

Kita mengambil masa 30 tahun sejak 1978 untuk mendapat apa yang kita dapat pada March 2008. Sepuluh tahun lepas sejak 1998, menggunakan landasan Reformasi. Dalam masa setahun lebih, orang politik menjahanamkan semua kerja keras yang telah dilakukan sejak 30 tahun dulu.

Bukan senang untuk mencapai apa yang diperolehi pada 8 March 2008. Saya mensia-siakan lebih separuh usia saya untuk melihat apa yang kita kecapi pada March 2008. Dan sekarang mereka mengharapkan kita hanya duduk diam dan melihat mereka menjahanamkan semuanya, kerana sikap angkuh, ego, tamak, gila kuasa, pentingkan diri sendiri dan agenda politik sempit.

“Berikan Pakatan lebih masa. Anda tidak boleh mengharap kejayaan dicapai sekelip mata,” itu kata mereka. “Barisan mengambil masa 50 tahun, mana mungkin pembangkang mencapai kejayaan dalam masa setahun”…itu kata mereka.

Tidak..saya tidak mengharapkan kejayaan sekelip mata. Saya bersedia untuk melihat pembangkang membina kembali.. langkah demi langkah..apa yang telah dihancurkan oleh Barisan Nasional selama 50 tahun. Tetapi Pakatan juga menghancurkannya. Sama dengan kerosakan yang dilakukan oleh Barisan Nasional selama 50 tahun.

Saya boleh bersabar dan bergerak kehadapan perlahan-lahan. Tetapi kita tidak bergerak kehadapan. Sebaliknya kita berundur kebelakang. Dan saya tidak dapat bersabar terutamanya bila berhadapan dengan kebodohan.

Pakatan Rakyat perlu ingat bahawa bukan mereka yang menang pada 8 March 2008. Kemenangan itu adalah kemenangan rakyat. dan sekarang, rakyat tidak lagi sebahagian daripada apa yang mereka lakukan.

Pakatan Rakyat perlu diberikan satu penampar dimuka mereka. Dan saya berharap gerakan ANAK BANGSA MALAYSIA akan melakukan apa yang Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional gagal melakukannya.

Negara ini bukan hanya milik Melayu. Negara ini bukan hanya milik orang Islam. Negara ini adalah milik semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan fahaman agama.

Ini yang gagal difahami oleh Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional. Mereka bertengkar tentang isu arak, sedangkan banyak lagi isu-isu yang perlu ditangani. Walaupun arak diharamkan, ianya tidak akan menjadikan Malaysia negara yang lebih baik. Mengharamkan arak tidak akan menghapuskan rasuah, pembaziran wang rakyat, penyalahgunaan kuasa, kekejaman polis…ataupun menjanjikan hak asasi kita, yang dinafikan oleh kerajaan hari ini.

(Artikel ini adalah terjemahan oleh MSK daripada 'Saya Anak Bangsa Malaysia' seperti yang tersiar di Malaysia Today)

ISA, Isu Utama Kempen Pilihanraya Ke 13 :- Nizar vs Najib Altantuya & Inkues Teoh Beng Hock


TIADA keraguan bahawa ISA, sejak diperkenalkan, merupakan akta yang paling banyak disalahgunakan. Ia juga menjadi perkakas bagi pemerintah atau pemimpin utama kerajaan untuk menumpaskan musuh politiknya secara mudah.

Tanpa perlu mencari bahan bukti seseorang boleh dikurung tanpa bicara, untuk tempoh waktu yang tidak terbatas.

Rekod klasik di luar negara adalah Said Zahari dan Nelson Mandela yang menderita, masing-masing ditahan selama 17 tahun dan 27 tahun.

ISA memang bertujuan politik dan sarat dengan motif politik, jadi tidak timbul isu mengenainya - terutama himpunan untuk memansuhkan akta drakonian ini pada 1 Ogos lalu - telah dipolitikkan.

Bermula dari zaman Tunku Abdul Rahman sehingga era Dr Mahathir Mohamad,akta ini makin diperketat dan ruang untuk semakin kehakiman dipersempitkan, meskipun ancaman komunis bersenjata sudah lama berakhir, dan ia lebih terarah untuk menjinakkan seteru politik.

Sambutan himpunan petang Sabtu itu memang mengejutkan. Biarpun polis mengenakan sekatan di semua pintu masuk kotaraya termasuk sehingga ke Seremban, audiennya yang pelbagai, merentasi kaum dan agama, tetap sanggup memgambil risiko.

Muka-muka baru terutama golonga muda nampak tidak gentar untuk berdepan serangan gas pemedih mata dan meriam air. Hampir setiap pelosok dan wilayah di luar Kuala Lumpur menghantar wakil.

Komitmen mereka jelas, usaha pembaharuan dan reformasi ini harus didokong bersama. Mereka tidak mahu hanya menjadi pemerhati dari jauh.

Kerisauan bahawa himpunan Mansuh ISA yang agak rapat tarikhnya dengan demonstrasi membantah PPSMI, dan mungkin dengan itu menyebabkan tiada sambutan, sudah berakhir.

Rupanya di luar sana sudah tersedia sekumpulan yang agak ramai jumlahnya, yang hanya menunggu masa sesuai, untuk turun ke gelanggang bagi memperjuangkan kebenaran. Persiapan mungkin tidak serapi demonstrasi Bersih dan PPSMI, antaranya kerana kerap ditunda, namun reaksinya cukup luar biasa dan berangkaian.

ISA sudah diangkat menjadi agenda perubahan yang perlu dilunasi. Hak asasi bukan lagi isu absurd yang sukar ditanggapi rakyat.

Benarlah, apabila ketakutan dan jiwa hamba sudah hilang, maka tiada gertakan, ugutan, belantan atau penjara yang boleh menghalang. Sepak terajang polis hanya menjadi episod manis untuk dikenang.

Ia sebaliknya menyuntik semangat untuk terus istiqamah melalui keperitan, sambil mendedahkan lagi sisi hodoh pemerintah yang memperalatkan semahunya pasukan keselamatan.

Pihak polis terbukti melaksanakan tugasan dengan penuh dendam dan sengaja mahu menyeksa demonstran. Situasi yang boleh dikendalikan dengan mudah melalui sikap berlapang dada telah diseret menjadi pertempuran kecil.

Dan latah pemimpin Umno terhadap demonstrasi yang menghimpunkan lebih 50,000 orang ini juga agak menghairankan. Mereka mendakwa sambutan demo tidak memberangsangkan, hanya sekitar 5,000. Peliknya, tiap hari media agresif menabur fitnah.

Apabila kerugian peniaga, yang didakwa menghampiri RM200 juta ekoran tunjuk perasaan itu, disanggah secara berkesan melalui temubual langsung dengan pengusaha restoran dan pemilik gedung, tiba-tiba serangan psikologi menjadi kendur.

(Harakah kali ini menyiarkan beberapa artikel dan berita mengenai isu kerugian peniaga di sekitar kawasan demonstrasi dan kesan ekonomi ke atas mangsa ISA). Laporan media baru terbukti berperanan besar melumpuhkan pembohongan media tradisi yang semakin kehilangan khalayaknya itu.

Saya tertarik dengan respons Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nazri Abd Aziz. Katanya, selagi BN memerintah, selagi ada bulan dan bintang, jangan harap ISA akan dimansuhkan.

Penegasan sama dikemukakan Naib Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi. Malah, tiada petanda akta ini, dan akta-akta drakonian lain, akan dipinda ke arah lebih demokratik, seperti jaminan Najib Razak.

Justeru, saya bersetuju dengan cadangar agar isu pemansuhan ISA ini dijadikan tema utama kempen pilihan raya akan datang.

Kalau dahulu rakyat menyambut cabaran Abdullah Ahmad Badawi agar protes terhadap kerajaan ditunjukkan dalam peti undi, dan bukannya di jalan-jalan raya, kali ini mungkin pengundi bersedia menukar kerajaan melalui isu ISA ini.
Oleh: Ahmad Lutfi Othman@Detikdaily

Hassan Ali Membawa Suara UMNO Dalam Pakatan ? :- Nizar vs Najib Altantuya


Oleh: Huzaifah@Perakexpress

Dengan kedudukan sebagai Pesuruh Jaya PAS Selangor, Hasan Ali mempunyai kelebihan dalam menentukan hala tuju Pakatan Rakyat. Diasepatutnya rasa bertuah, kerana Hj Hadi masih memberinya peluang menjadi PJ. Jika diikutkan senioriti, ramai lagi orang lain yang layak. Jika dibandingkan kelayakan akademik dan sumbangan kepada PAS pun, ramai lagi orang yang layak. Mungkin satu-satunya kelebihan Hasan Ali, kerana dia pandai bercakap. Dia motivator. Namanya pun tersohor sebagai pioneer dalam bidang motivasi di negara ini. Inilah kelebihan yang tidak mampu ditandingi oleh orang lain.

Namun, petah bercakap, bijak berpidato sahaja bukanlah jaminan kecemerlangan dalam kepimpinan. Benar, Hasan Ali mempunyai kelayakan akademik yang tinggi. Namun, gabungan pencapaian akademik dan kehebatan pidato beliau, setakat ini masih di tangga ’Kurang memuaskan’. Jika ada buku rekod yang perlu ditandantangani, maka masih banyak perkara yang dia kena pertingkatkan. Jika dia ada KPI, masih banyak yang belum tercapai.

Sebagai exco yang agak kanan, Hasan Ali sepatutnya menjadi nadi dan tonggak kepada kerjasama PR. Tapi malangnya, dia selalu bercakap bagaikan lidah Umno. Cuba anda lihat reaksi Hasan Ali terhadap beberapa insiden yang menimpa Pakatan di Selangor. Bermula isu Elly…apa kata beliau? Kemudian isu MB: Cow and Car…apa kata beliau. Terkini isu arak ini…apa kata beliau? Anda boleh mencari kembali, tak perlu saya notakan di sini. Namun, semuanya bernada pesimis dalam mengukuhkan Pakatan. Maka, tak hairanlah ada pihak beranggapan Hasan Ali membawa suara Umno dalam Pakatan!

Baiklah, saya ingin menyentuh isu arak. Isu ini hangat sekali di negeri Uncle Carls ini…he…he…nama baru untuk Selangor. Saya gelihati dengan kenyataan media PAS Selangor (atau kenyataan media Hasan Ali?) hari ini, bahawa Ronnie Liu patut digugurkan.
Wah…nampaknya Hasan Ali mengajar kita melakukan sesuatu mengikut kepala masing-masing. Selepas ini, jika ada ahli PAS di peringkat cawangan atau kawasan tidak berpuas hati dengan beliau, maka buat sahaja PC, panggil para wartawan…baru ada jalan!

Saya gelihati dengan isu ini. Bagi saya, Ronnie Liu jika benar mengarahkan PBT berkenaan memulangkan minuman keras (tapi beliau mengatakan itu adalah sabotaj!), maka itu adalah pertanda kejahilan seorang non-muslim. Harus dipasak dalam minda Hasan Ali, Selangor bukan negara Islam. Selangor adalah sekular. Ronnie Liu juga bukan seorang Islam, bahkan dia juga bagi saya bukannya seorang zimmi. Maka, tindakan Hasan Ali sepatutnya lebih berhemah. Jangan menunjuk lagak dalam kondisi seperti ini, kerana kedudukan PR sendiri tidaklah kukuh. PAS sendiri adalah lemah tanpa sokongan kaum Cina dan India. Adakah Hasan Ali sedar implikasinya? Atau Hasan Ali memang mahu Pakatan tumbang di Selangor?

Di sebalik Hasan Ali sibuk dengan isu penjualan arak ini, dia patut lebih alert dengan ribuan pekerja Islam yang berkerja di kilang arak. Ya…mereka berkerja membuat arak! Bahkan saya diberi tahu, ada Persatuan Pekerja Islam Carlsberg…ini yang lebih aula bagi seorang Exco Agama dan Adat Melayu seperti beliau tangani. Apakah hukumnya
mereka berkerja membuat, memasar dan membekalkan arak? Jawaplah Hasan Ali…jangan tak jawab.

Apakah Hasan Ali sedar, bahawa menyelamatkan ribuan umat Islam (bayangkanlah, seorang bapa membawa balik rezeki haram kepada keluarganya dari sumber arak!),sepatutnya lebih utama untuk diselamatkan oleh Hasan Ali daripada entah berapa kerat yang
50:50 sama ada akan membeli arak atau tidak. Namun, setakat ini tiada kedengaran pun inisiatif Hasan Ali untuk menyelamatkan para pekerja yang berkerja sebagai tukang buat arak ini. Malulah Hasan Ali…anda bercakap berdegar-degar, rakyat sendiri berkerja di kilang arak!

Apa, daif sangatkah kerajaan negeri Selangor? Kutipan zakatnya sahaja khabarnya ratusan juta. Takkanlah Hasan Ali tidak mampu berfikir untuk menyelamatkan para pekerja Islam di kilang arak ini dengan dana zakat? Takkanlah sultan Selangor tidak berkenan menyelamatkan rakyatnya dengan wang zakat? Takkanlah Pusat Zakat Selangor tak boleh beri kerjasama kepada Hasan Ali dalam rangka menyelamatkan umat Islam dari
terus berkerja di kilang arak? Takkanlah MB Selangor tidak akan menyokong usaha ini? Takkanlah Ronnie Liu dan DAP akan membuat demonstrasi agar Hasan Ali tidak menyelamatkan umat Islam di kilang arak?

Ini baharu sedikit yang kita paparkan, yang sepatutnya isu ini digegerkan oleh Ketua Dewan Ulama PAS Selangor dan Pemuda PAS Selangor. Jangan hanya tahu mengajar kitab fikah di masjid dan surau. Jangan hanya tahu menghukum itu haram dan ini haram. Ini…sudah jelas lagi nyata, mereka berkerja di kilang arak, membawa lori arak…apakah
hukumnya? Adakah Ketua Dewan Ulama PAS Selangor tak tahu…takkan saya nak bagi hadis kepada beliau? Tidak kah mereka pernah menasihati Hasan Ali? Atau mereka pun bagaikan ’lembu kenyang’ juga?

Di samping itu, saya nak bertanya kepada Hasan Ali, mana dia segala perancangan untuk anak-anak muda, remaja, belia dan beliawanis Selangor. Dahulu, semasa dok berkempen, bukan main lagi dok bagi tahu, segala macam statistik tentang kerosakan akhlak remaja dan muda-mudi Islam. Yang berpeleseran, bersekedudukan tanpa nikah, bohsia, mat
rempit dan sebagainya. Kini, kamu sudah ada kuasa, maka kenapa senyap sahaja? Gunakanlah segala kepakaran dan ilmu anugerah Allah itu untuk kebaikan rakyat Selangor. Sampai hari ini, remaja berpeleseran masih bersepah, termasuklah di Dataran Shah Alam, di taman-taman tasik dan di mana-mana. Merempit masih menjadi-jadi. Takkanlah semua statistik itu hanya berguna semasa kempen pilihan raya sahaja kot?

Justeru itu, maaf…sehingga kini, saya boleh bagi markah paling tinggi pun ’C-’ sahaja kepada Hasan Ali. Jika Halimah Ali saya bagi ’B+’. Iskandar Abdul Samad pun saya boleh bagi ’B’. Sebab apa? Sebab sampai kini tiada satu usaha bersunggih-sungguh dan gerak kerjakonstruktif daripada Hasan Ali untuk memanfaatkan jawatannya demi kebaikan rakyat Selangor. Tiada satu tindakan bersepadu dikemukakan, misalnya membentuk Modul Pendidikan Remaja….yang ada …memang tak ada apa-apa. Hasan Ali hanya ghairah dengan forum perdana lagendanya.Masih ghairah memanggil orang mendengar celotehnya…aduh…adakah ini Hasan Ali yang aku undi?

(Nota: Masih banyak lagi yang boleh diperkatakan…anda tunggulah,
insya-Allah. Mudah-mudahan teguran ini akan sampai kepada Hasan Ali.
Ini teguran dari pengundi Hasan Ali, yang mungkin jika saya tidak
mengundi beliau, maka beliau masih bukan seorang YB! Jadi, sedar
dirilah sikit.)

Pegawai SPRM Berbaju Hitam, Orang Terakhir Melihat Teoh Hidup :- Inkues Teoh Beng Hock & Nizar vs Najib Altantuya


Terdapat 10 pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berada dalam pejabat SPRM Selangor antara jam 8 malam 15 Julai hingga 8 pagi 16 Julai - hari Teoh Beng Hock ditemui mati.

Mereka termasuk seorang penolong pengarah SPRM negeri, yang tidak disebut namanya, yang dilihat meninggalkan bangunan itu antara jam 4 pagi hingga 8 pagi 16 Julai.

Selain pegawai kanan berkenaan, yang lainnya dipercayai dua atau tiga pegawai yang menyoalsiasat Teoh dan seorang pegawai yang merakam kenyataannya.

Juga terdapat seorang pegawai yang memakai baju hitam biasa - dipercayai orang terakhir melihat Teoh masih hidup - beredar pada jam 6.10 pagi.

Butir-butir tersebut dinyatakan sewaktu inkues kematian Teoh tengahari tadi oleh dua pengawal keselamatan yang bertugas pada malam berkenaan di Plaza Masalam, tempat terletaknya pejabat SPRM Selangor.

Teoh, yang dipanggil ke pejabat SPRM Selangor untuk disoalsiasat pada 15 Julai, ditemui mati pada hari berikutnya di koridor tingkat lima bangunan tersebut.

Dia dipercaya jatuh dari tingkat 14 bangunan tersebut, tempat dia disoalsiasat.

Dua pengawal keselamatan - Wan Rosli Wan Adam (saksi kelima) dan Abdul Rahman Rahim (saksi keenam) - mengecam pegawai-pegawai SPRM itu dari gambar yang diambil dari rakaman CCTV dari kaunter lobi Plaza Masalam antara waktu tengah malam dan 8 pagi 16 Julai.

Mereka menjawab soalan dari peguam Tan Hock Chuan, yang mengetuai pasukan pendakwaraya dari pejabat peguam negara yang turut dianggotai DPP Mohd Abazafree Mohd Abbas.

Dalam satu rakaman yang ditunjukkan kepada Wan Rosli, Teoh dilihat berjalan di lobi antara tengah malam dan jam 4 pagi.

Satu lagi gambar juga dikenalpasti oleh Wan Rosli diambil sewaktu dia bertugas dan menunjukkan empat pegawai SPRM bersama seorang lelaki Cina (bukan Teoh) masuk ke bangunan tersebut pada kira-kira jam 12.52 pagi.- Sumber-/malaysiakini

H1N1, bala dan keengkaran orang agama tegur kemungkaran - Tok Guru ;- Nizar vs Najib Altantuya

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat mengkiaskan, virus H1N1 yang semakin serius melanda negara hari ini adalah satu bala atas kemungkaran yang berlaku.

Bala ini katanya akan datang tidak mengira samada di kawasan itu ada golongan agama atau sebaliknya, semuanya akan ditimpa.

Lebih-lebih lagi apabila ada golongan agama yang 'membisu' yang tidak mahu menegur atau menasihati kemungkaran yang berlaku, ujarnya sinis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan terkini virus H1N1 yang melanda negara yang kini menyebabkan 12 kematian.

Beliau ditemui di pengkalan kapal, Pengkalan Kubor sebaik menyambut ketibaan delegasi MISI ROYALTI 2009 yang membuat pelayaran ke Pelantar Minyak Cakrawala, sempadan Malaysia Thailand 4 hingga 5 Ogos.Misi itu dikepalai Exco Kanan Kelantan, Dato' Paduka Husam Musa.

Bercakap lanjut mengenai isu H1N1, Tok Guru bagaimanapun berharap semua pihak berdoa kepada yang Pencipta selain berusaha dengan kaedah perubatan.

Beliau turut mahu semua pihak berganding bahu bagi mengatasi kemelut ini, kerajaan pusat, rakyat mahupun kerajaan-kerajaan negeri.

"Kita kena serah kepada Allah, bala ini bila mari(datang) dia jangan kata tak ada kena mengena dengan tuhan, alim ulama sebut ia akan kena termasuk kepada orang baik, kerana apa mungkin kerana dia tidak nasihaa dan tak tazkirah.

"Oleh itu kita kena kerjasama semua sekali, rakyat mahupun kerajaan kena bekerjasama, jika tidak habis kena bala, bumi ini tuhan punya, justeru kita tidak boleh buat pandai-pandai," katanya.

Sementara itu dalam perkembangan terkini, seorang lagi kanak-kanak, berusia enam tahun, meninggal dunia 2.30 pagi ini di Hospital Batu Pahat akibat wabak selesema babi A (H1N1), menjadikan jumlah seluruhnya 12 orang meninggal dunia di seluruh negara sejak dua minggu lalu.

Dua korban terbaru wabak tersebut yang dilaporkan sebelumnya terjadi di Melaka.

Seorang lelaki 20 tahun dan remaja 12 tahun dari negeri itu - masing-masing menghidap lelah dan kegagalan buah pinggang - menjadi korban terbaru kes selepas kematian kanak-kanak tiga tahun disahkan akibat virus tersebut.

Mangsa kesembilan Iffah Syazwina Samsuddin dilaporkan meninggal dunia pada 4.30 petang semalam di Hospital Melaka.

Korban kelapan membabitkan seorang guru 51 tahun dari Kuala Selangor yang meninggal dunia Ahad lalu. Sekolah tempat guru itu mengajar ditutup pada 27 Julai.

Setakat ini, 1,476 kes selesema A (H1N1) dilaporkan di seluruh negara, termasuk 16 kes terbaru termasuk kematian tersebut.

Korban ketujuh, ibu 24 tahun dari Miri, Sarawak yang baru melahirkan anak sulungnya dua minggu lalu meninggal dunia Ahad lepas. Anaknya bagaimanapun dilaporkan selamat.

Keenam, murid lelaki berusia 11 tahun dari Johor Bahru meninggal akibat komplikasi, 2 Ogos lalu.

Kelima, seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dari Bagan Serai, Perak meninggal dunia Jumaat lalu.

Pada 28 Julai lalu, wanita berusia 20 tahun dari Melaka meninggal dunia akibat pneumonia teruk yang dijangkiti dari persekitaran.

Sehari sebelumnya, seorang lelaki berusia 42 tahun mati akibat wabak itu setelah disahkan menghidap selesema A (H1N1).

Si mati yang mengalami pelbagai komplikasi meninggal akibat pneumonia yang serius dengan kegagalan beberapa organ setelah 10 hari mendapat rawatan.

Korban kedua wabak itu di negara ini, lelaki 46 tahun yang meninggal dunia di hospital swasta di Subang Jaya, 26 Julai.

Lelaki tersebut dilaporkan mati akibat "pneumonia teruk dengan kegagalan pernafasan bersama kejutan septisemia dan kegagalan buah pinggang akut" selepas tujuh hari di unit rawatan rapi.

Pada 23 Julai lalu, seorang pelajar Indonesia berusia 30 tahun yang menuntut di Pusat Antarabangsa Pendidikan Kewangan Islam (INCEIF) di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur menjadi korban pertama berkaitan wabak selesema A (H1N1).-/harakahdaily

Wednesday, August 5, 2009

Himpunan Pemuda Negara 2009 Di Stadium National Bukit Jalil :- Nizar vs Najib Altantuya


Insyaallah , Saya akan berbincang dalam masa terdekat dengan rakan - rakan pimpinan Pemuda Pakatan Rakyat [ Sdr. Shamsul Iskandar dan Yb. Anthony Loke ] untuk mengadakan satu Himpunan Pemuda Negara 2009 di Stadium National Bukit Jalil .

Langkah awal saya telah mengarahkan setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat untuk menghantar surat memohon Stadium National Bukit Jalil kepada YAB Perdana Menteri dan Pihak Pengurusan Stadium National Bukit Jalil bagi tujuan pengajuran Himpunan Pemuda Negara 2009 kelak .

Insyaallah tarikh tepat akan dimaklumkan kemudian setelah Majlis Muafakat Pemuda Pakatan Rakyat bermesyuarat pada akhir bulan ini . Namun tarikh cadangan untuk booking Stadium National Bukit Jalil tersebut akan dikemukan segera . Insyaallah selepas aidil fitri dan pilihanraya kecil Permatang Pasir .

Pihak kita juga perlu melihat kekosongan Stadium National Bukit Jalil dari sebarang aktiviti kerana kita mahu mengelakkan kemungkinan pembatalan di saat akhir . Saya harap Perdana Menteri dapat campur tangan untuk memberi kebenaran kita menggunakan Stadium Bukit Jalil tersebut .

Saya juga mengharapkan agar YAB Perdana Menteri dapat mengotakan janjinya untuk memberikan Stadium kepada mana - mana pihak yang ingin mengadakan himpunan agar tidak mengganggu lalulintas dan sebagainya .-Nasrudin Hassan Tantawi

Berita Sarawak - Jerebu Semakin Buruk :-Nizar Vs Najib Altantuya


Keadaan di Miri bertambah buruk jika hujan tidak turun manakala NREB mengesan sejumlah 900 tompok panas sekitar Borneo sejak Isnin lalu

Keadaan jerebu di beberapa bahagian di negeri ini terutama Miri dijangka semakin buruk dan berterusan jika hujan tidak turun dalam beberapa hari akan datang.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan yang berada di Kuala Lumpur semalam, ketika dihubungi berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan pihak ber-kuasa berkaitan bagi mem-bincangkan masalah jerebu yang melanda.

“Saya difahamkan keadaan di Miri sekarang bertambah teruk disebabkan pembakaran terbuka yang berlaku sejak seminggu lalu dan situasi ini dijangka berterusan untuk beberapa hari lagi jika hujan tidak turun,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana dan Bantuan Negeri berkata, selain Miri bahagian lain yang turut terjejas ialah kawasan pesisir di Bahagian Kuching, Samarahan, Betong, Sarikei, Mukah, Bintulu dan Limbang.

Sementara itu Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Datuk Lee Kim Shin ketika mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Bencana Alam Miri semalam berkata pihak akan menubuhkan jawatankuasa kerja khas dianggotai antaranya polis, bomba, Alam Sekitar Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak, Shell dan Lembaga Pelabuhan Miri untuk memantau keadaan semasa dalam tempoh 24 jam.

Beliau berkata, selain itu Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar sudahpun meluluskan cadangan pembinaan menara peninjau yang menelan kos RM200,000.

“Setakat ini pihak Jabatan Kerja Raya sedang menyiapkan lakaran dan reka bentuk menara berkenaan dan tender bagi projek itu dijangka akan dimulakan bulan depan,” katanya.

NREB setakat Julai sudahpun mengeluarkan amaran kepada 58 individu dan enam kompaun termasuk dua syarikat perladangan dengan 13 titik panas dikesan kebanyakan di Kuala Baram, Permyjaya dan Sungai Tujuh.

Sementara itu di SIBU, sejumlah 900 tompok panas telah dikesan di sekitar kawasan Borneo sejak Isnin lalu, ujar Kontroler Kualiti NREB Sarawak, Dr Penguang Manggil.

Beliau memberitahu jumlah tersebut dijangka akan bertambah sekiranya cuaca panas sejak seminggu lalu berlarutan sehingga beberapa hari lagi.

“Justeru saya merayu kepada semua pihak supaya tidak melakukan aktiviti pembakaran terbuka bagi mengelak berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini,” ujar beliau ketika dihubungi di sini tengah hari semalam.

Menurut Penguang, pihak-nya turut menggantung sementara bagi semua jenis permit untuk melakukan aktiviti pembakaran terbuka ter- masuk di kawasan ladang dan pertanian yang diusahakan secara komersial.

Katanya, penggantungan itu dibuat kerana kemungkinan untuk berlaku kebakaran hutan semasa cuaca kering sebegini adalah tinggi, selain boleh menjejaskan kualiti udara.

Dalam pada itu, Penguang memberitahu pihaknya ada menerima beberapa laporan mengenai aktiviti pembakaran terbuka di kawasan Sibu, Mukah serta jalan persisiran Bintulu dan Miri.

Beliau juga telah menge- luarkan arahan kepada semua pegawainya supaya membuat pemantauan termasuk me-ngenal pasti mereka yang me-lakukan pembakaran haram supaya tindakan dapat di- ambil.

“Di bawah Ordinan Alam Sekitar dan Sumber Asli 1993, mereka yang didapati melakukan kesalahan untuk kali pertama akan dikenakan denda RM9,000 dan sekiranya me-reka didapati melakukan ke-salahan yang sama untuk kali yang kedua, mereka boleh didenda sehingga RM30,000 atau penjara tidak lebih daripada tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” jelas beliau.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sibu, Kapten (PA) Madihi Habib ketika ditemui di pejabatnya semalam berkata, sekurang-kurang tujuh kes berhubung kebakaran hutan belukar dilaporkan sejak seminggu lalu.

Antara tempat yang terjejas ialah di kawasan hutan belukar di Jalan Salim/Stabau, Kampung Bahagia Jaya, Batu 6 1/2 Jalan Oya Lama dan Rantau Panjang.-/Borneopost

Isu Arak - Khalid Ibrahim Tolak Desakan Gugurkan Ronie Liu :- Nizar vs Najib Altantuya


Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, kerajaan negeri akan menyelesaikan isu penjualan minuman keras - sehingga menyebabkan PAS mendesak Exco Kerajaan Tempatan Ronnie Liu digugurkan, Jumaat ini.

Dalam tempoh tersebut semua exco kerajaan negeri tidak dibenarkan bercakap atau membuat komen tentang perkara tersebut.

Keputusan itu diputuskan dalam mesyuarat exco hari ini.

"Langkah ini penting bagi mengelakkan kekeliruan yang boleh menyebabkan ketegangan di kalangan masyarakat di Selangor," katanya.

Menurut Khalid, kerajaan negeri telah mengadakan dialog umum dengan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan, persatuan dan sektor perniagaan berhubung dengan isu ini.

"Dengan ini kami yakin akan dapat mencapai satu penyelesaian yang munasabah bagi semua kaum di Selangor," katanya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai desakan PAS Selangor supaya exco kerajaan negeri, Ronnie Liu meletakkan jawatannya, Khaled bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

"Dia (Ronnie) bukan isu dalam menyelesaikan masalah ini (masalah penjualan arak di Selangor)," katanya.

Khaled yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak menolak tindakan PAS Selangor itu.

"Oleh sebab itu, mulai hari ini tiada komen yang boleh dibuat supaya memberi masa kepada usaha untuk menyelesaikan isu penjualan minuman keras.

"Saya sendiri akan menyelesaikan masalah ini (masalah penjualan arak di Selangor).

Mengulas lanjut mengenai isu tersebut Khaled berkata: "Saya akan mencari mekanisma terbaik dan adil untuk kepuasan semua pihak dan keputusan ini telah dipersetujui oleh semua parti". /mstar

Krisis PAS-Ronnie, MB Arah Semua Tutup Mulut !! :-Inkues Teoh Beng Hock&Nizar vs Najib Altantuya


Khalid dijangka temui pihak terbabit Jumaat ini cari penyelesaian

PETALING JAYA: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim telah mengarahkan semua pemimpin khususnya yang menduduki Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) supaya 'tutup mulut' berhubung isu rampasan arak oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan desakan PAS agar Exco Kerajaan Tempatan, Ronnie Liu digugurkan.

mStar Online difahamkan Khalid memberikan arahan itu pada mesyuarat mingguan Exco tengah hari tadi.

Sumber-sumber memberitahu mStar Online bahawa arahan itu dikeluarkan bagi membolehkan beliau menemui semua pihak yang terbabit Jumaat ini dan mengelakkan isu semasa - dikatakan antara PAS-DAP - menjadi keruh dan tidak dapat dikawal.

"Menteri Besar bercadang untuk menemui semua pihak yang terbabit Jumaat ini bagi mencari jalan penyelesaian," kata sumber itu.

Khalid dijadual mengadakan sidang media susulan mesyuarat Exco kira-kira pukul 3 petang ini.

Semalam, PAS Selangor mendesak kerajaan negeri menukar Exco Kerajaan Tempatan sekarang iaitu Ronnie Liu ekoran campur tangan ahli-ahli politik dalam isu jual arak di negeri itu.

Parti komponen Pakatan Rakyat itu mahu Menteri Besar Selangor sendiri memegang jawatan itu ataupun diberikan kepada mana-mana pemimpin lain.

"PAS Selangor menggesa agar pemegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan dikaji semula atau ditukar berikutan dengan rentetan beberapa peristiwa sebelum ini.

"PAS rasakan bahawa pemegang yang sekarang ini ada sedikit masalah, insiden terdahulu timbul sedikit permasalahan," kata Dr. Hasan lagi.

Hasan yang juga Exco Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri Selangor berkata, beliau belum memaklumkan pendirian PAS itu kepada Menteri Besar dan Ronnie Liu sendiri.

Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri mengadakan mesyuarat mingguan hari ini.

Dalam pada itu, menurut Hasan, PAS Selangor mendesak kerajaan negeri supaya serius membanteras penjualan arak di kawasan masyarakat yang majoriti penduduknya beragama Islam.

Katanya, kerajaan negeri perlu segera mengeluarkan garis panduan yang seragam bersesuaian dengan Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 untuk diguna pakai di seluruh negeri supaya kontroversi berkaitan isu arak tidak berulang sehingga meresahkan masyarakat Islam.

Minggu lalu, Ronnie Liu mengarahkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) supaya memulangkan bir yang dirampas di sebuah kedai serbaneka dekat sini.

Kata beliau, ia perlu dipulangkan semula kerana salah faham.

Perkara itu juga telah dikecam oleh Umno Selangor.

Rampasan oleh Jabatan Perlesenan dan Penguatkuasaan MBSA itu dibuat selepas menerima aduan daripada penduduk setempat sejak beberapa bulan lalu yang tidak berpuas hati kerana mendakwa premis berkenaan menjual minuman keras kepada umat Islam.

Bagi memastikan enakmen berhubung arak tersebut dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin, PAS Selangor juga akan mengeluarkan satu deraf peraturan kecil mengenai penggunaan arak di kalangan masyarakat Islam untuk dikuatkuasa diperingkat pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Draf berkenaan bukan satu undang-undang baru, sebaliknya hanya sebagai peraturan yang boleh digunakan oleh kesemua 12 PBT yang ada di Selangor.

"Sekarang ini hanya Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang boleh ambil tindakan, jadi sekarang ini kita nak bagi kuasa itu kepada penguatkuasa PBT juga," katanya.-/mstar

Desak Jeff Ooi Letak Jawatan, Kecoh Di Pejabat Ketua Menteri :- Nizar vs Najib Altantuya


Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng didesak supaya menuntut peletakan ketua kakitangannya, Jeff Ooi yang menuduh Jemaah Islah Malaysia (JIM) sebuah sebuah kumpulan pelampau.


Desakan tersebut dibuat oleh gabungan yang mewakili 27 pertubuhan Islam. Mereka cuba menyerahkan memorandum tersebut ke pejabat ketua menteri.

Bagaimanapun, Setiausaha Politiknya, Ng Wei Aik meminta mereka menyerahkan memorandum tersebut kepada beliau.

Berlaku sedikit ketegangan apabila mereka berkeras untuk menemui Lim, sedangkan Ng mahukan mereka menyerahkan memorandum kepadanya.

Apabila mereka enggan berbuat demikian, Ng memanggil pengawal keselamatan untuk membawa mereka keluar dari pejabat ketua menteri.

Berikutan itu, mereka kemudiannya menyerahkan memorandum tersebut kepada Timbalan Menteri Ketua Menteri, Mansor Othman.

Selain menuntut peletakan jawatan Jeff, mereka juga menuntut beliau yang juga ahli parlimen Jelutong, memohon maaf.

Manakala di luar kompleks kerajaan negeri itu, kira-kira 300 anggota gabungan berkenaan berhimpun untuk memberi sokongan kepada wakil mereka.

Delegasi tersebut kesal dengan kenyataan Jeff itu, yang dianggap mereka sebagai mendedahkan "kejahilannya mengenai masyarakat Islam". Baca berita penuh

Reaksi presiden JIM

Sementara itu, Presiden JIM, Zaid Kamaruddin menafikan tuduhan Jeff yang menggelarkan JIM sebuah pertubuhan pelampau.

"Jeff Ooi bermaksud demikian ekoran desakannya supaya seorang ahli jawatankuasa Pusat Khidmad Krisis Sehenti (OSCC) di bawah Dewan Bandaraya Pulau Pinang, Mohd Razali Abdullah diberhentikan daripada menganggotai jawatankuasa berkenaan.

"Mohd Razali, menurut Jeff Ooi merupakan 'ekstremis agama' kerana beliau merupakan ahli JIM, dan JIM pula meletakkan visinya untuk membangun sebuah negara yang melaksanakan syariat Islam sepenuhnya menjelang tahun 2020," kata Zaid dalam satu kenyataan hari ini.


Bagaimanapun, Zaid (kiri) menegaskan, mengamalkan syariat Islam dalam kehidupan merupakan aspirasi setiap umat Islam - bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia.

"Bahkan beliau percaya rahmat kebaikan Islam di Malaysia nanti akan turut dinikmati oleh seluruh rakyat. JIM yakin pegangan Islam Mohd Razali dan pengalaman profesionalnya akan menjadikan beliau lebih berkemampuan dalam menjalankan tanggungjawabnya," tambahnya.

Zaid turut menyuarakan rasa hairan bagaimana pelantikan seorang Muslim yang baik, boleh mengundang bahaya.

"Agama Islam telah berdiri teguh sejak sekian lama. Jadi, sebarang kekeliruan dan sikap prejudis orang ramai terhadap Islam yang timbul akhir-akhir ini tidak akan mengubah kesucian dan kerelevanan agama ini dalam masyarakat.

"Sebagai sebuah NGO yang bertanggungjawab, JIM berpegang kepada prinsip keamanan, kedaulatan undang-undang dan keadilan untuk semua.

"JIM juga akan terus berkempen agar hak dan maruah rakyat dipertahankan, kerajaan lebih telus dalam pentadbirannya dan pemerkasaan individu dan komuniti dapat direalisasikan melalui penglibatan rakyat dalam proses demokrasi," tambah Zaid.-Info Malaysiakini

Najib Lebih Malang Berbanding Pak Lah :- Inkues Teoh Beng Hock & Nizar vs Najub Altantuya


Mungkin nasib malang menimpa Dato' Seri Najib Razak apabila rakyat belum berminat kembali kepada Umno sebagaimana berlaku di awal pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Sedangkan di era permulaan pemerintahan Abdullah Umno dan Barisan Nasional (BN) mendapat lonjatan luar biasa sehingga berjaya merampas semula Terengganu dan hampir menumbangkan PAS di Kelantan pada pilihan raya umum 2004.

Namun situasi itu tidak berlaku sekarang, malah rakyat terus mengekalkan mementum Mac 2008 apabila enam pilihan raya kecil yang diadakan selepas itu memperlihatkan penolakan rakyat terhadap Umno dan BN.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dato' Kamarudin Jaffar berkata, sedangkan sejarah pilihan raya kecil yang diadakan sebelum ini jarang sangat menyebelahi pakatan pembangkang.

"Umno ternyata gagal mempertahankan kerusi parlimen Kuala Terengganu pada pilihan raya kecil yang diadakan awal tahun ini.

"Ini suatu perubahan yang belum kita lihat dalam sejarah politik Malaysia," katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis Pengurniaan Diraja Peringkat Jajahan Tumpat 2009 di Pantai Seri Tujuh dekat sini, baru-baru ini.

Oleh itu Kamaruddin yang juga anggota parlimen Tumpat berkata, Najib sekadar meneruskan kelemahan mantan Perdana Menteri sebelum ini.

Menurutnya situasi serupa juga dijangka berulang di Permatang Pasir, Pulau Pinang pada pilihan raya kecil yang akan diadakan tidak lama lagi berikutan kematian penyandangnya, Dato' Mohd Hamdan Abdul Rahman.

"Ketika pilihan raya kecil di Penanti BN tidak meletak calon dengan alasan tidak mahu membazirkan wang sehingga menjejaskan imej parti pemerintah di negara ini.

"Sedangkan perlembagaan negara menjelaskan sekiranya berlaku kekosongan, mesti diadakan pilihan raya tanpa mengira penyandangnya meninggal dunia atau meletak jawatan," katanya.

Beliau juga berkata, biar pun Umno dapat meningkatkan jumlah undi pada pilihan raya kecil di Manek Urai 14 Julai lalu, namun ia tidak menjadi ukuran sebenar kerana penggunaan jentera kerajaan begitu berleluasa sekali.

"Pada saya Manek Urai bukan contoh kelemahan PAS, tetapi sebaliknya menggambarkan kekuatan PAS mempertahankan serangan yang begitu hebat dan tidak demokratik daripada Umno-BN.

"Mereka menggunakan seluruh jentera kerajaan pusat dan menyogok wang begitu besar kepada pengundi," ujarnya.

Pada pilihan raya kecil tersebut PAS berjaya mempertahankan Dun Manek Urai dengan majoriti 65 undi melalui calon, Mohd Fauzi Abdullah. - /harakahdaily

nuff

Visited Since 090322

Followers

Komen Terkini

Categories

My Page Rank

Labels

Blog Widget by LinkWithin
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Bluehost