Showing posts with label MCA. Show all posts
Showing posts with label MCA. Show all posts

Sunday, April 11, 2010

Perwakilan MCA Silap Pilih Chua Soi Lek Sebagai Presiden - Awang Selamat

Kolumnis kontroversi Mingguan Malaysia, Awang Selamat secara terbuka menegaskan bahawa perwakilan MCA telah melakukan kesilapan dengan memilihkan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek sebagai presiden parti itu.

"Apa yang berlaku seolah-olah MCA ketandusan pemimpin dan tidak berani menyandar harapan kepada pemimpin pelapis," tulis Awang dalam kolum mingguannya.

Awang mendakwa perwakilan parti itu - yang merupakan komponen BN - gagal membawa aspirasi masyarakat Malaysia dalam memilih pemimpin yang terbaik dalam semua aspek terutama akhlak.

"Soi Lek sepatutnya besar dan tidak semestinya bertanding hanya kerana ada sokongan daripada ahli MCA.

"Skandal tersebut adalah sesuatu yang serius. Pemimpin harus bersih atau setidak-tidaknya kelihatan bersih," tambahnya.

Dalam pemilihan MCA baru-baru ini, Chua terpilih sebagai presiden baru MCA dengan menewaskan penyandangnya, Datuk Seri Ong Tee Keat dan seorang lagi pencabar, Tan Sri Ong Ka Ting.

Awang menyifatkan tindakan Chua untuk bertanding jawatan lebih tinggi sampai ke puncak, hanya menampakkan beliau pentingkan diri.

"Awang bukan berniat mencampuri urusan MCA tetapi isu moral tidak boleh diambil ringan.

"Jika pemimpin BN mempersoalkan moral pemimpin utama pembangkang, mengapa pula MCA boleh berkompromi dalam hal tersebut," tambahnya.

Namun begitu, kata Awang, beliau secara peribadi tetap menghargai keberanian Chua kerana membuat pengakuan terlibat dalam skandal seks.

Sehubungan itu, beliau memuji langkah Ketua Wanita MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun yang melepaskan jawatannya dalam parti dan kerajaan atas prinsip tidak dapat menerima Chua sebagai peneraju parti itu berikutan skandal DVD seks.

"Awang angkat topi kepada Mei Fun. Beliau berpegang kepada prinsip," tulis Awang lagi.

Bila lagi Samy mahu berundur?

Dalam tulisannya minggu ini, Awang turut mengulas tentang pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor.

"Awang masih yakin BN boleh menang asalkan mengambil strategi yang betul terutama soal calon.

"Pilihlah calon terbaik. Seboleh-bolehnya pemimpin setempat, muka baru dan mempunyai imej yang baik," tulis awang sambil menambah penentuan calon amat penting apatah lagi MIC berdepan dengan banyak isu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa MIC kekal bertanding dalam pilihan raya kecil tersebut, tetapi tidak menamakan calonnya.

MIC telah mengemukakan nama timbalan presidennya, Datuk G Palanivel untuk sekali lagi bertanding di situ. Dalam pilihan raya umum 2008, Palanivel tewas kepada calon PKR, Datuk Zainal Abidin yang meninggal dunia baru-baru ini kerana barah otak.

Umno bahagian yang sebelum ini mendesak supaya calonnya dipilih bertanding di situ, kemudiannya akur dengan keputusan Najib tetapi menegaskan mereka tidak mahu Palanivel dicalonkan semula.

Awang menulis bahawa pemulihan sokongan masyarakat India belum meyakinkan, yang menurutnya, ada kaitan juga dengan faktor presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu.

"Bila lagi beliau mahu berundur? Walaupun Samy Vellu pernah membayangkan sudah mempunyai pelan peralihan tetapi semuanya masih kabur, seolah-olah beliau mahu terus memimpin MIC sehingga pilihan raya umum depan.

"Pada Awang, isu Samy Vellu lebih menarik daripada pilih raya kecil. Jika beliau mahu membantu kejayaan BN pada pilihan raya itu nanti, maka lebih elok jika beliau mengumumkan pelan peralihan dalam masa terdekat.

"Jika Samy Vellu sayangkan MIC dan BN, beliau perlu berundur. Usahlah berdolak-dalik lagi dengan pelbagai alasan," tulis Awang.-Malaysiakini

Monday, March 29, 2010

Chua Soi Lek Akan Jadi Menteri ?


Datuk Chua soi Lek telah membuat kejutan dengan menewaskan dua calon pilihan presiden MCA. Pastinya Datuk Ong Ka Ting dan Datuk Ong Tee Kiat termenung dan tidak lena tidur memikirkan kekalahan mereka semalam.

Secara tradisi, presiden MCA akan dilantik sebagai menteri bagi mewakili kuota komponen BN dalam kabinet 1Malaysia. Mungkinkah Ong Tee Keat akan digugurkan dan digantikan dengan Chua Soi Lek?

Kemungkinan itu hampir pasti sekarang. Adalah sesuatu yang janggal jika Ong Tee Keat kekal menjadi menteri kerana perlantikan beliau atas kapisiti sebelum ini sebagai presiden MCA. Adalah lebih bermoral dan akan mengangkat imejnya jika beliau meletak jawatan sebagai menteri secara terhormat sebelum beliau terpaksa digugurkan dari kabinet.

Jika Chua soi Lek dilantik sebagai menteri, apakah jawatan yang paling sesuai untuk beliau? Saya mencadangkan beliau dilantik ke kementerian baru yang boleh diwujudkan oleh Perdana Menteri 1Malaysia.

Perlantikan beliau sebagai menteri wajar memandangkan rekod cemerlang sebelum ini sewaktu menjadi menteri. Beliau bukan sahaja sanggup turun padang menguji ubat-ubatan yang ada di Kementerian Kesihatan yang disandang sebelum ini.

Cuma beliau sebelum ini terpaksa meletak jawatan kerana dirakamkan kerana menguji ubat-ubatan di luar waktu pejabat!


--http://angkasanuri.blogspot.com/

Sunday, March 28, 2010

Chua Soi Lek Menang Jawatan Presiden MCA, Tiong Lai Timbalan


Datuk Seri Dr Chua Soi Lek memenangi jawatan presiden MCA manakala Datuk Seri Liow Tiong Lai pula menang jawatan timbalan presiden.

Empat jawatan naib presiden dimenangi oleh Datuk Ng Yen Yen, Gan Ping Sieu, Datuk Donald Lim dan Datuk Chor Chee Heung.

Chua mendapatkan 901 undi, menewaskan Tan Sri Ong Ka Ting yang mendapat 833 undi manakala Datuk Seri Ong Tee Kiat memperolehi 578 undi.

Bagi jawatan timbalan pula, Liow mendapat 1,171 undi, menewaskan Datuk Kong Cho Ha yang memperolehi 1,106 undi.

Bagi jawatan naib presiden, Dr Ng mendapat 1,520 undi, Donald Lim (1,469) manakala Chor dan Gan masing-masing mendapat 1,202 undi.

Yang paling menarik ialah mereka yang menang, merupakan campuran penyokong kepada Chua, Ka Ting dan Tee Keat.

Liow merupakan regu kepada Ka Ting, manakala bagi naib presiden pula, Dr Ng dikaitkan dengan Chua, Chor (Ka Ting), Gan (Tee Keat) manakala Donald Lim dilihat tidak memihak.

Manakala 25 pemenang jawatankuasa pusat ialah:

1. Tan Ken Ten
2. Koh Nai Kwong
3. Loh Seng Kok
4. Tan Cheng Liang
5. Gan Tian Loo
6. Chong Itt Chew
7. Hou Kok Chung
8. Lee Chee Leong
9. Wee Jeck Seng
10. Chuah Poh Khiang
11. Hoh Khai Mun
12. Heng Seai Kie
13. Kong Sing Chu
14. Teh Kim Poo
15. Wong Koon Mun
16. Tee Siew Kiong
17. Tan Ah Eng
18. Ti Lian Ker
19. Tan Chai Ho
20. Por Choo Chor
21. Lee Wei Kiat
22. Ong Ka Chuan
23. Liew Yuen Keong
24. Yoo Wei How
25. Toh Chin Yaw

Sejumlah 2,318 perwakilan MCA mula mengundi bagi 31 jawatan tertinggi parti, termasuk presiden, timbalan dan naib presiden di ibupejabat parti itu hari ini.

6.50pm: Proses pengiraan undi bagi jawatan presiden, timbalan dan naib presiden sudah selesai. Keputusan sedang diumumkan bermula dengan 25 pemenang jawatankuasa pusat MCA.

6.40pm: Proses pengiraan undi bagi jawatan presiden, timbalan dan naib presiden sudah selesai. Manakala pengiraan semula undi bagi kerusi ke-25 jawatankuasa pusat sedang berjalan.

5.11pm: Proses pengiraan undi bagi jawatan timbalan presiden pula bermula selepas selesai pengiraan undi bagi jawatan naib presiden, Manakala pengiraan undi bagi jawatankuasa pusat selesai kira-kira jam 4.30 petang.

4.37pm: Proses pengiraan undi bagi jawatan naib presiden pula bermula. Pengiraan undi bagi jawatankuasa pusat sudah selesai kira-kira jam 4.30 petang.

1.53pm: Petugas MCA telah mengira 2,315 undi. Tiga perwakilan tidak mengambil kertas undi.

1.20pm: Pengiraan bermula. Semua ejen dan pengawas pemilihan dilarang bawa telefon bimbit ke dalam dewan.

12.25pm: Tempat pengundian ditutup secara rasmi.

12.19pm: Proses pengundian selesai. Proses pengiraan undi akan bermula jam 1 tengahari.

11.23pm: Selepas mengundi Ka Ting beredar dari bangunan ibupejabat MCA. Sebelum beredar, Ka Ting berkata beliau gembira dan puas hati dengan proses pengundian kerana semunya berjalan lancar.


11.19am: Selepas mengundi, Tee Keat memberitahu pemberita yang beliau tidak percaya yang beliau adalah 'underdog' dalam pertandingan jawatan presiden, dan menyifatkan ia 'satu putarbelit media tertentu'. Mengenai peluangnya, Tee Keat berkata beliau sentiasa optimistik.

10.53am: Dari Twitter Ketua Pemuda MCA, Datuk Wee Ka Sing's: Saya harap selepas hari ini tiadalah krisis dalam parti.

10.54am: Yip berkata beliau telah mempengerusikan lebih banyak EGM MCA berbanding orang lain, dan mengucap terima kasih kepada perwakilan atas sokongan mereka.

10.15am: Timbalan ketua Pemuda MCA, Dr Mah Han Soon dilantik sebagai penyelia pemilihan.

10.10am: Pengerusi EGM, Yip Phooi Hong mengumumkan bahawa 2,318 daripada 2,380 atau 97 peratus perwakilan hadir.

9.30am: Calon-calon berbaris di sepanjang laluan ke Dewan San Choon di mana EGM akan diadakan, untuk mengalu-alukan kedatangan para perwakilan. Sestengah calon gagal mendapatkan tempat di tepi laluan tersebut, pula kelihatan berada di anak tangga menuju ke dewan tersebugt.

9.05am: Datuk Seri Ong Ka Ting tiba di ibupejabat parti dan bergambar untuk jurufota bersama regunya, Datuk Seri Liow Tiang Lai.

8.05am: Datuk Seri Ong Tee Keat tiba di ibupejabat parti sambil tersenyum lebar.

Beliau memberitahu pemberita yang beliau tidak terganggu dengan spekulasi akhbar bahawa beliau hanya mampu memperolehi tiga lebih daripada 15 peratus undi.

7.45am: Datuk Seri Dr Chua Soi Lek merupakan calon presiden pertama yang tiba di ibupejabat. Dia ditemani anak lelakinya yang juga ahli parlimen Labis, Tee Yong.

Ditanya sama ada mengenai peluangnya, Chua tersenyum sambil bertanya: "Saya nampak risau ke?" - Malaysiakini

Soi Lek Bakal Terajui MCA?


CC: 60 peratus penyokong Chua menang? - Malaysiakini

Kira-kira 60 peratus daripada 25 kerusi jawatankuasa pusat MCA dimenangi oleh penyokong Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, demikian menurut sumber-sumber yang layak dipercayai.

Difahamkan, kebanyakan calon yang memegang jawatan kerajaan - exco negeri dan timbalan menteri - berjaya dipilih, selepas 80 peratus undi selesai dikira.

Bagaimanapun, beberapa senator dikatakan gagal terpilih menganggotai jawatankuasa pusat.

Manakala penyokong Chua pula kelihatan bertepuk kegembiraan di luar dewan.

Pengiraan undi bagi jawatankuasa pusat selesai dijalankan pada kira-kira jam 4.30 petang.

Manakala pengiraan undi bagi 10 calon yang bertanding bermula kira-kira jam 4.37 petang tadi.

Sunday, March 21, 2010

Presiden MCA: 3 Penjuru - Ong Tee Keat, Chua Soi Lek, Ong Ka Ting

Pertandingan merebut jawatan presiden MCA hujung bulan ini bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru selepas Datuk Seri Dr Chua Soi Lek hari ini mengesahkan akan bertanding jawatan tersebut.

Dengan sokongan lebih 1,000 penyokong yang hadir di sebuah hotel di ibunegara hari ini, tokoh berusia 61 tahun itu, akan berdepan dengan penyandangnya Datuk Seri Ong Tee Keat dan bekas presiden, Tan Sri Ong Ka Ting.

Ketika mengumumkan keputusannya itu, Dr Chua berkata, beliau mempunyai strateginya sendiri untuk menyatukan parti dan MCA kembali dihormati masyarakat.

Sambil membidas Ka Ting, Dr Chua berkata prestasi lemah parti dalam pilihan raya umum lalu adalah akibat kesilapan Ka Ting memilih calon.

"Inilah yang diharap dapat dipulihkan semula apabila saya menang dan menjadikan MCA sebuah parti yang kuat dalam BN, untuk menyediakan dan membantu gabungan itu menang dalam pilihan raya umum akan datang," katanya.

Walaupun MCA mengalami kekalahan pada 2008, kata Dr Chua, bagaimanapun struktur dan ketaatan ahli-ahli parti kekal kuat dan padu.

Beliau juga menyuarakan rasa optimisnya terhadap peluangnya dipilih sebagai presiden parti, dan berharap para perwakilan memberinya peluang.

Dr Chua berkata sokongan akar umbi yang kuat terhadapnya akan mencerahkan peluangnya dalam pemilihan minggu depan.

Beliau juga berikrar akan bekerjasama dengan mereka yang menang dalam pemilihan parti itu pada 28 Mac ini bagi menguat dan menjamin kestabilan MCA.-Malaysiakini

Wednesday, March 17, 2010

Najib, Muhyiddin Campurtangan Krisis MCA ?


Nama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini dikaitkan dengan pertandingan jawatan presiden MCA pada 28 Mac ini.

Pendedahan itu dibuat oleh bekas Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek (kiri) pada satu majlis di Alor Star.

Laporan Bernama memetik beliau sebagai berkata khidmat pesanan ringkas (SMS) kini tersebar luas di seluruh negara yang mengaitkan keputusan Tan Sri Ong Ka Ting untuk bertanding jawatan presiden MCA mendapat restu perdana menteri dan timbalannya.

Sambil menyifatkan tindakan itu sebagai tidak bertanggungjawab, Chua mendakwa SMS itu tidak benar dan hanya mencemarkan nama baik Najib dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Sejak semalam ramai perwakilan mendakwa menerima SMS, Ka Ting bertanding kerana direstui Datuk Seri Mohd Najib Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Ini tidak benar. Saya telah berjumpa Najib dan Muhyiddin selaku Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang menyatakan mereka sayangkan MCA dan tidak akan campur tangan tangan dalam pemilihan parti," kata Chua.

Beliau seterusnya menggesa Ka Ting yang juga bekas presiden MCA agar membuat penafian secara terbuka berhubung dakwaan sms berkenaan.

Kemelut dalam MCA hanya boleh diselesaikan dengan pemilihan yang bersih, katanya.

MCA akan berpecah

Chua juga melihat hasrat bekas presiden MCA itu untuk bertanding pada pemilihan parti 28 Mac ini akan menyebabkan perpecahan dalam MCA.

Ditanya sama ada beliau akan mempertahankan jawatannya, Chua berkata beliau belum membuat keputusan.

"Saya belum buat keputusan muktamad untuk bertanding mempertahankan jawatan timbalan presiden atau tidak sehingga selepas mendapat maklumbalas perwakilan," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, bekas setiausaha agung MCA, Datuk Seri Ong Ka Chuan yang juga merupakan abang kepada Ka Ting berkata nama Perdana Menteri tidak harus diheret.

Ini kerana katanya, Najib bukan ahli MCA.

Ka Chuan yang bertanding jawatan timbalan presiden pada pemilihan 2008 juga berkata beliau tidak akan bertanding jawatan tertinggi parti itu kali ini untuk mengelakkan berlakunya masalah 'sensitif'.

Bukan salah kami adik beradik

"Bukan salah saya kerana kami adalah adik-beradik,” katanya sambil bergurau dengan pemberita di lobi parlimen hari ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga didakwa 'campurtangan' bagi menentukan kepimpinan MCA, tidak mahu mengulas lanjut mengenai hasrat Ka Ting untuk kembali ke arena politik dan saga MCA.

“Jangan heret saya dalam situasi ini. Saya berpendapat tidak adil bagi timbalan presiden BN untuk campurtangan dan membuat ulasan yang akan merumitkan lagi keadaan,” katanya.

“Saya fikir adalah lebih baik, bagi saya untuk tidak mengeluarkan kenyataan kerana ia mungkin ditafsirkan dalam bentuk yang berlainan.”

Beliau mengulangi keyakinannya bahawa MCA mempunyai kebijaksanaan untuk menentukan yang terbaik bagi parti Cina itu.

Sebelum EGM parti itu tempoh hari, Muhyiddin pernah bertindak sebagai orang tengah bagi mencari jalan keluar di kalangan pemimpin MCA yang bertelagah.-Malaysiakini

Saturday, March 6, 2010

Najib Tidak Hadir Untuk Merasmikan AGM MCA?

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak akan menghadiri perhimpunan agung tahunan (AGM) MCA Ahad ini.

Setiausaha akhbarnya, Tengku Sharifuddin Tengku Ahmad memberitahu Malaysiakini malam ini bahawa perdana menteri tidak akan merasmikan AGM parti itu yang akan berlangsung di ibupejabat MCA di ibunegara Ahad ini.

Mengikut tradisinya, perdana menteri dijemput merasmikan perhimpunan agung tahunan parti-parti komponen BN.

Keputusan untuk meneruskan AGM itu Ahad ini dibantah oleh sayap Pemuda dan Wanita MCA serta naib presidennya, Datuk Seri Liow Tiang Lai.

Tengahari tadi, jawatankuasa pusat sementara - dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Presidennya, Datuk Seri Ong Tee Keat - mahu AGM itu diteruskan seperti yang dirancang, walaupun dibantah keras oleh ketua Pemudanya, Datuk Wee Ka Siong dan Ketua Wanitanya, Datin Paduka Chew Mei Fun.

Kedua-duanya kemudiannya bertindak meninggalkan mesyuarat tersebut.

Pagi tadi, Kedua-dua sayap tersebut telah mengadakan mesyuarat exco tergempar untuk membatalkan AGM masing-masing yang dijadualkan diadakan esok.

Jawatankuasa pusat sementara itu - tanpa 21 anggotanya yang meletak jawatan semalam - memutuskan untuk meneruskan AGM Ahad ini dan mengarahkan Pemuda dan Wanitanya turut berbuat demikian.

Dipercayai Chua dan Liow mahu AGM itu ditangguhkan dan diadakan ketika pemilihan baru kepimpinan parti itu pada 28 Mac depan. - Malaysiakini

Thursday, March 4, 2010

Chua Soi Lek Letak Jawatan, Pemilihan Baru MCA Dalam Tempoh Sebulan


Datuk Seri Dr Chua Soi Lek hari ini mengumumkan peletakan jawatannya sebagai timbalan presiden MCA.

Pengumuman itu dibuat di Wisma MCA di Kuala Lumpur, hari ini.

Selain dirinya, Chua (kiri) juga mengumumkan peletakan jawatan tujuh ahli jawatan kuasa pusat.

Mereka termasuk Datuk Seri Kong Cho Ha, Datuk Seri Tan Chai Ho, Loh Seng Kok, Datuk Chong Itt Chew, Datuk Gan Tian Loo, Tee Siew Keong dan Por Choo Chor.

Dengan peletakan jawatan itu, presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat kini tidak mempunyai banyak pilihan selain mengadakan pemilihan baru kepemimpinan parti.

Chua juga menuntut pemilihan baru diadakan dalam tempoh sebulan untuk menyelesaikan krisis parti itu.

Sebelum ini, 13 anggota jawatankuasa pusat yang diketuai oleh Naib Presiden, Datuk Seri Liow Tiong Lai turut berbuat demikian.

Ini bermakna 21 orang iaitu dua pertiga daripada anggota CC yang dipilih, telah meletak jawatan bagi membolehkan pemilihan baru diadakan.

'Presiden tak tahu'

Sementara itu ketika ditanya sama ada beliau telah memberitahu presiden parti mengenai tindakannya itu, Chua berkata beliau tidak berbuat demikian.

Beliau juga meminta supaya mesyuarat agung tahunan MCA hujung minggu ini ditangguhkan.

"Peletakan jawatan ini adalah untuk memenuhi janji saya pada EGM (mesyuarat agung luar biasa) tahun lepas di mana saya telah mengutarakan pandangan bahawa kita mungkin perlu pemilihan baru agar kemelut parti dapat ditangani.

Chua berkata beliau dan kumpulan yang telah meletak jawatan itu tidak akan menghadiri mesyuarat CC esok atau mesyuarat sayap Pemuda dan Wanita dan juga sambutan ulang tahun parti itu esok.

"Kami tidak akan hadir kerana kami telah meletak jawatan. Saya minta semua ahli CC yang terpilih seharusnya mereka sedar dan insaf tentang tanggungjawab dan hak mereka.

"Saya kata tidak ada satu pemimpin yang lebih penting daripada parti, sebab itu saya tolak tawaran sebagai pengerusi akhbar The Star," katanya.

Ketika ditanya sama beliau akan bertanding semula jawatan timbalan presiden atau jawatan lain pada pemilihan akan datang, Chua berkata beliau akan membuat keputusan selepas parti menetapkan tarikh penamaan calon dan pemilihan parti.

Kumpulan 13 juga letak jawatan

"Yang penting ialah parti bukannya soal pemimpin atau kepentingan diri melebihi parti," kata beliau.

Chua berkata sejak Januari hingga semalam, beliau telah menerima surat peletakan jawatan daripada tujuh anggota CC yang dipilih.

Dalam pada itu, Liow yang juga mengadakan sidang media berasingan di Wisma MCA berkata beliau telah menyerahkan surat perletakan jawatan 13 anggota jawatankuasa pusat MCA, termasuk dirinya kepada setiausaha agung parti itu, Datuk Wong Foon Meng.

Surat perletakan jawatan berkenaan bertarikh 3 Mac.

Mereka ialah Lee Wei Kiat, Dr Hou Kok Chung, Datuk Yu Chok Tow, Wong Nai Chee, Datuk Wee Jeck Seng, Datuk Dr Yeow Chai Thiam, Datuk Hoh Khai Mun, Datuk Liew Yuen Keong, Datuk Wong Mook Leong, Datuk Edward Khoo Keok Hai dan Datuk Alex Wong Siong Hwee.

Liow bagaimanapun menafikan kumpulannya berkomplot dengan Chua untuk memaksa pemilihan baru pucuk pimpinan MCA diadakan.

Mengikut Fasal 41 perlembagaan MCA, pemilihan perlu diadakan dalam tempoh sebulan jika 21 anggota CC meletak jawatan.-Malaysiakini

Tuesday, February 2, 2010

Kaum Cina & India Adalah Pendatang - Pegawai Khas Najib

Kenyataan berbau perkauman yang diluahkan oleh seorang pegawai khas kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika berucap pada seminar '1Malaysia' di Melaka hari ini, menyaksikan puluhan ahli MIC, MCA dan perwakilan pertubuhan bukan kerajaan meninggalkan majlis berkenaan.

Menurut sumber, pegawai khas Najib, Datuk Nasir Safar (kanan, bertali leher) menimbulkan kemarahan hadirin apabila dia melabelkan kaum India dan Cina sebagai pendatang.

Selain itu, Nasir juga didakwa mengancam akan menarik balik kerakyatan mereka yang menentang keputusan kerajaan untuk menghadkan 12 matapelajaran sahaja untuk peperiksaan SPM.

Pemuda MIC dijadual membuat laporan polis lewat hari ini dan satu memorandum bantahan akan juga dikemukakan kepada Najib apabila beliau dijadualkan melawat Melaka pada 4 Feb.

Sementara itu, presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu melahirkan rasa marahnya berhubung insiden berkenaan.

Beliau yang menyifatkan insiden itu sebagai isu perkauman yang melampau menggesa perdana menteri mengambil tindakan sewajarnya ke atas pembantunya.-Malaysiakini

Friday, January 15, 2010

Rombakan Kabinet Tak Lama Lagi?

Desas-desus mengenai kemungkinan berlakunya rombakan kabinet semakin kuat diperkatakan di kalangan ahli politik MCA ketika pakatan Datuk Seri Ong Tee Keat dan timbalannya, Datuk Seri Chua Soi Lek, mensasarkan Mac ini untuk mengadakan pemilihan baru bagi menyelesaikan krisis kepimpinan yang melanda parti itu.

Ketika Ong dan Chua mahu pemilihan itu diadakan selepas sambutan Tahun Baru Cina, kumpulan yang menyokong naib presiden Datuk Seri Liow Tiong Lai pula berkeras ia diadakan dalam bulan ini.

Mereka mendakwa Ong dan Chua sengaja melambat-lambatkannya supaya mempunyai lebih banyak masa untuk mengumpulkan sokongan.

Sebelum ini, kumpulan Liow gagal mendapatkan sokongan 21 ahli jawankuasa pusat (CC) MCA untuk meletak jawatan bagi membolehkan pemilihan baru itu diadakan bulan ini.

Hanya 13 ahli CC yang berbuat demikian dan mereka terdiri daripada Liow sendiri dan para penyokongnya.

Berikutan itu, nampaknya, satu-satunya pilihan yang ada ialah untuk mengadakan pemilihan baru parti itu Mac depan.

Pertembungan Chua-Liow?

Selepas pemilihan itu selesai, mengikut amalannya, calon-calon yang menang akan mengisi jawatan menteri dan timbalan menteri yang diperuntukkan kepada MCA.

Chua dijangka berentap dengan Liow bagi jawatan presiden kerana Ong dikatakan tidak berminat untuk mempertahankan jawatan tersebut.

Pemilihan tersebut bakal menyaksikan persaingan sengit antara pakatan Ong-Chua dengan kumpulan yang menyokong Liow, yang dikatakan mendapat sokongan bekas presiden MCA Tan Sri Ong Ka Ting.

Berdasarkan mesyuarat agung luarbiasa (EGM) Oktober lalu, maka pemilihan kali ini bakal menyaksikan persaingan paling sengit dalam sejarah MCA bagi merebut enam jawatan tertinggi - presiden, timbalan dan empat jawatan naib presiden.

Berikutan itu, penyandang jawatan empat menteri dan enam timbalan menteri yang diisi oleh MCA itu, mungkin berubah jika ada yang tumbang dalam pemilihan nanti.

Desas-desus mengenai rombakan kabinet tersebut juga telah mendorong sesetengah menteri mengambil sikap 'tunggu dan lihat' dan tidak mengisi jawatan lantikan politik, sehinggalah keadaan lebih jelas Mac ini.

Beberapa sumber MCA juga berkata, kesabaran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semakin tipis dan beliau mahukan parti itu menyelesaikan krisis kepimpinannya menjelang Mac ini.

Peluang terakhir Khairy?
Sementara itu, rombakan kabinet kali ini dilihat sebagai peluang terakhir bagi ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menyertai kabinet sebelum pilihan raya umum akan datang, yang dijangka diadakan tahun depan.

Khairy tidak dilantik menganggotai kebinet apabila Najib mengambil alih pentadbiran April lalu, sedangkan Datuk Mukhriz Mahathir yang mencabarnya bagi jawatan nombor satu pergerakan itu, mengisi jawatan timbalan menteri.

Selain itu, naib ketua Pemuda Umno, Datuk Razali Ismail juga dilantik sebagai timbalan menteri sukan. - Malaysiakini

Wednesday, November 18, 2009

Krisis MCA Tambah Parah: 9 Penyokong Liow Dipecat Dari Majlis Presiden :- Nizar vs Najib Altantuya

Jawatankuasa pusat (CC) MCA - selepas mengadakan undian - menolak mesyuarat agung luar biasa (EGM) 28 November, manakala sembilan penyokong Datuk Seri Liow Tiong Lai digugur daripada majlis presiden.

Jawatankuasa itu memutuskan EGM yang dicadangkan itu, dan resolusinya untuk mengadakan pemilihan baru parti adalah cacat dan bercanggah dengan perlembagaan parti.

Keputusan untuk menolak EGM itu dibuat selepas undian dijalankan di mana 23 anggota CC menolak EGM itu, 10 menyokong dan dua berkecuali.

Cadangan untuk mengadakan EGM itu dibuat oleh kumpulan yang menyokong Datuk Seri Liow Tiong lai. Mereka menentang pelan damai Ong dan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Mesyuarat CC itu juga memutuskan untuk merombak semula majlis presiden, dengan menggugurkan penyokong setia Liow - Datuk Wee Ka Siong dan ketua Wanita, Datin Paduka Chew Mei Fun.

Mereka adalah antara sembilan penyokong Liow yang digugurkan daripada menganggotai majlis presiden.

Kini hanya tinggal Liow sahaja tanpa seorang pun penyokongnya, yang menganggotai majlis tersebut.

Manakala empat daripada pengganti mereka adalah terdiri daripada penyokong Ong dan Chua.

Dalam reaksinya, Liow berkata beliau kecewa dengan keputusan parti menggugurkan penyokongnya daripada menganggotai majlis presiden.-malaysiakini

Thursday, November 12, 2009

BLOGGERS !! Bersatulah Untuk Kebaikan Rakyat :- Nizar vs Zambry - Najib Altantuya

Rakyat sebenarnya semakin menyampah dan mual dengan tindakan beberapa bloggers yang dahulunya hebat membantu dan berjuang untuk mengembalikan kehendak rakyat kearah kemakmuran dan kebaikan Malaysia yang dimiliki bersama ini.

Akhir-akhir ini, bloggers lebih gemar mensensasikan isu yang dilihat lebih merugikan perjuangan dalam membantu rakyat marhaen yang semakin hari semakin kecewa dan ditekan oleh Kerajaan Najib.

Bloggers banyak melakukan kerja sia-sia dan melaga-lagakan sesama sendiri walaupun sesetengah perkara itu telah diputuskan dan telah diberi kenyataan rasmi oleh pimpinan. Kerja-kerja ini amat merugikan rakyat.

Tumpuan pimpinan kearah membantu rakyat marhaen juga terganggu. Ini kerana dahulunya, pimpinan hanya perlu menjawab 'gossip' di media arus perdana tetapi sekarang, media arus alternatif juga menjadi 'beban' baru kepada pimpinan. Kalua tidak dilayan, dikatakan benar...tetapi bila dilayan, diputar belit cara lain pula.

Hentikanlah, marilah kita bersatu....Buang yang keruh, ambil yang jernih...Jom kita menulis untuk kepentingan dan wawasan rakyat yang dahagakan kebajikan dan pembelaan. Kurangkan 'beban' pimpinan, biarlah mereka menumpukan penuh perhatian terhadap pembangunan rakyat marhaen...

Banyak isu yang masih belum selesai....isu BERSIH, isu ISA, tiada bonus....pejuang kakitangan dituduh tidak bermoral...isu pita Lingam.....arrrrggghhh!

--/detikdaily

Krisis MCA: Undur Sukarela Demi Parti :- Nizar vs Zambry - Najib Altantuya


DUA mesyuarat agung luar biasa (EGM) dalam tempoh dua bulan sudah cukup menggambarkan betapa seriusnya masalah dalaman yang sedang dihadapi oleh MCA. Kemelut yang pada mulanya hanya berkisar kepada perbalahan antara Presiden, Datuk Seri Ong Kee Teat dan bekas timbalannya, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek kini turut mengheret Naib Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai secara tidak sengaja.

EGM pertama yang jelas menolak kepimpinan kedua-dua pemimpin tertinggi MCA itu cuba diredakan dengan pelan damai yang sebenarnya semakin mengeruhkan keadaan.

Tiong Lai yang sempat menjadi Timbalan Presiden MCA selama 19 hari sebelum jawatan itu dikembalikan semula kepada Soi Lek, menolak pelan damai itu kerana ia tidak melibatkan Jawatankuasa Pusat (CC) parti itu. Malah katanya, pelan damai itu juga tidak menghormati suara akar umbi dan keputusan yang dicapai semasa EGM 10 Oktober lalu.

Kemelut berterusan itu membawa kepada pemanggilan satu lagi EGM pada 28 November ini. Malangnya notis panggilan EGM itu juga dipertikaikan kerana didakwa tidak sah kerana melanggar peruntukan perlembagaan parti.

Memang jika diperhatikan konflik yang berlaku di dalam MCA ketika ini tidak ubah seperti pementasan opera China yang penuh drama dan berliku.

Namun ia sebenarnya berbalik kepada pendirian dua pemimpin utama MCA iaitu Tee Keat dan Soi Lek. Kedua-dua pemimpin kanan ini secara jelas tidak lagi mendapat mandat dan kepercayaan perwakilan seperti yang disuarakan pada EGM Oktober lalu.

Tee Keat menerima undi tidak percaya terhadap kepimpinannya manakala Soi Lek pula sekadar diterima menjadi ahli tetapi tidak dikembalikan jawatan nombor dua parti kepadanya.

Tidak dinafikan, secara perlembagaannya, tindakan Tee Keat untuk mempertahankan jawatan Presidennya selepas EGM itu tidak salah. Ini kerana ia tidak mematuhi Artikel 35 perlembagaan MCA yang memperuntukkan suara dua pertiga bagi memecat, memilih atau melantik seseorang.

Tetapi Tee Keat barangkali terlupa, dalam satu wawancara dengan sebuah akhbar berbahasa Inggeris, beliau antara lain menegaskan akan berundur sekiranya mendapat majoriti mudah.

Malangnya, selepas EGM itu, Tee Keat memberi alasan perlu mengekalkan kedudukannya kerana mempunyai banyak urusan yang perlu diselesaikan.

Bagi masyarakat Cina, keengganan Tee Keat mematuhi janji beliau untuk berundur dinilai sebagai tindakan yang tidak berprinsip dan gagal mengotakan janji.

Soi Lek pula yang menggemparkan negara kerana skandal video seks, kehilangan integriti dan kepercayaan sebagai seorang pemimpin di kalangan kebanyakan masyarakat Cina.

Persepsi di kalangan masyarakat Cina itu perlu diberi perhatian serius kerana mereka merupakan suara akar umbi yang bakal menentukan masa depan parti.

MCA perlu sedar keyakinan terhadap parti berusia 60 tahun itu di kalangan masyarakat Cina hari ini sangat kritikal. Selepas pilihan raya umum 2008, sokongan terhadap parti itu merudum kepada hanya 20 peratus berbanding 40 peratus sebelumnya, demikian dinilai oleh kebanyakan pemerhati politik.

Di kalangan generasi muda Cina serta mereka yang dibesarkan dalam persekitaran yang lebih urban, MCA dilihat gagal memenuhi kehendak kelompok masyarakat tersebut.

Dengan krisis dalaman yang tidak menunjukkan tanda-tanda akan berakhir ketika ini, maka mungkin hanya rakan-rakan dan saudara-mara pemimpin MCA sahaja yang menyokong parti itu pada masa depan.

Bagi pemerhati politik tempatan, Malike Brahim, tumpuan utama dalam konflik MCA itu bukannya untuk mencari siapa yang layak atau siapa yang benar sama ada dari sudut demokrasi atau perundangan negara.

Sebaliknya jelas Pensyarah Kanan, Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), semua pemimpin MCA perlu mempunyai kesedaran yang tinggi untuk bertanggungjawab terhadap parti itu.

Justeru, sebarang keputusan membabitkan masa depan parti itu perlu dikembalikan semula kepada akar umbi. Ia termasuk sama ada perlu diadakan semula pemilihan di dalam parti seperti yang akan diputuskan menerusi EGM pada 28 November ini.

Pentingnya konflik MCA ini dirungkaikan dengan segera bagi mengelak ia membawa kerugian yang besar bukan hanya kepada MCA tetapi turut memberi kesan kepada Barisan Nasional (BN).

Konflik yang berlarutan akan membawa kepada perpecahan yang besar di dalam MCA. Apa yang paling dibimbangi, bakal ada ahli MCA yang keluar parti dan menyertai parti lain terutamanya pembangkang.

Jika konflik ini membawa kepada perpecahan juga, penyokong dan pemimpin MCA akan berpecah kepada parti-parti baru. Ini akan merugikan BN dan MCA terutama dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Ini kerana masyarakat Cina mungkin sudah hilang keyakinan terhadap MCA yang dilihat lebih banyak berkonflik dan berebut kuasa berbanding usaha berkhidmat kepada rakyat.

Malike juga menjelaskan, kegagalan MCA berfungsi sebagai sebuah parti juga memungkinkan ROS membatalkan pendaftaran penubuhan parti itu.

Sekiranya ia berlaku, MCA tidak lagi boleh beroperasi sebagai satu pertubuhan atau parti politik.

Dalam masa yang sama, kedudukan wakil rakyat dalam Parlimen atau DUN berstatus tanpa parti kecuali atas tiket BN. Dengan demikian kedudukan ahli-ahli MCA dalam kerajaan atau Kabinet tidak terjamin, itu pun sekiranya mereka kekal sebagai ahli BN.

Perkara ini bukan sesuatu yang mustahil kerana ia pernah berlaku dalam konflik beberapa parti di Sarawak suatu ketika dahulu.

Lebih parah, jika konflik ini berlarutan hingga ke mahkamah, ia bukan sahaja membazirkan masa dan tenaga, tetapi melibatkan prosedur perundangan yang lebih ketat.

''Jika mahkamah telah membuat keputusan seperti mana ke atas UMNO suatu masa dulu, maka padahnya ditanggung sendiri oleh para pemimpin dan ahli MCA," ujar beliau.

Justeru tambah Malike, MCA harus mencari formula penyelesaian terbaik dalam menangani konflik yang sedang berlaku.

Tidak rugi katanya, jika diadakan pemilihan semula parti seperti sebelum ini bagi memberikan hak kepada ahli dan perwakilan parti membuat keputusan.

Paling tidak, pemimpin yang berkonflik perlu secara sukarela berundur sekiranya benar-benar berjuang atas semangat mempertahankan parti.

''Biar ahli dan perwakilan akan menentukan pemimpin yang baru untuk meniupkan nafas baru ke dalam MCA dan menentukan wadah perjuangan MCA dalam BN dan kerajaan," ujar Malike.

--DetikDaily

Monday, November 9, 2009

Krisis MCA: ROS, Undang-Undang Lapuk Dan Kesannya - Aziz Bari :- Nizar vs Zambry - Najib Altantuya

Minggu lalu Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengejutkan semua pihak dan mungkin Datuk Seri Chua Soi Lek sendiri apabila beliau menyatakan bahawa Chua adalah timbalan presiden MCA yang sah. Sebelum ini musuh politiknya yang juga Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat menggunakan mekanisme dalam parti itu untuk memecat Chua dan kemudian melantik salah seorang naib presiden, Datuk Seri Liow Tiong Lai, bagi mengisi tempat yang kosong akibat pemecatan tokoh MCA Johor itu. Dengan keputusan Pendaftar Pertubuhan itu keadaan jadi lebih kelam kabut dan kita menjangka satu siri pergelutan mahkamah akan menyusul.

Dari satu sudut keadaan kelam kabut itu memang sudah semacam menjadi tradisi MCA. Ini kerana konflik Ong dan Chua yang cukup membingungkan ini bukanlah yang pertama. Konflik yang tidak kurang hebat pernah terjadi pada pertengahan 1980an selepas parti itu kehilangan presidennya Tan Koon Swan yang terpaksa menjalani hukuman akibat masalah perniagaannya. Ini membawa kepada pergelutan antara pemangku presiden Datuk Dr Neo Yee Pan dan Datuk Dr Ling Liong Sik yang akhirnya berjaya menjadi presiden parti. Sebelum itu konflik dalaman MCA juga menyebabkan tokoh-tokoh penting terkeluar dari parti, seperti Tun Dr Lim Chong Eu (1959) dan Tun Dr Lim Kheng Yaik (1973).

Saya tidak berhajat hendak membincangkan politik MCA di sini. Saya cuma hendak menceritakan senario yang menyebabkan kuasa Pendaftar Pertubuhan timbul. Mungkin ada yang berpendapat bahawa tindakan Pendaftar Pertubuhan itu dipaksa oleh krisis MCA itu sendiri. Ini memang sukar hendak dinafikan terutamanya jika kita mengikuti pergolakan dalam parti itu sejak beberapa bulan yang lalu.

Apa pun sebelum tindakan mengejut itu Datuk Seri Hishammuddin Hussein dilaporkan berkata bahawa Pendaftar Pertubuhan tidak akan campur. Kenyataan itu logik kerana Pejabat Pendaftar Pertubuhan terletak di bawah Kementerian Dalam Negeri yang Hishammuddin menterinya. Bagaimanapun apabila Pendaftar Pertubuhan menyatakan bahawa Chua adalah timbalan presiden yang sah timbul telahan bahawa ia menandakan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib berfikiran sebaliknya.

Tetapi itu tidak pelik kerana sebagai ketua kabinet Najib boleh membuat arahan lain; termasuk yang bertentangan dengan apa yang dikeluarkan oleh seorang anggota kabinet. Dan Pendaftar Pertubuhan sebagai seorang pegawai perkhidmatan awam sukar untuk menolaknya.

Memang undang-undang tidak memberi kuasa untuk menteri atau Perdana Menteri memberi arahan kepada pegawai kerajaan bagaimana ia hendak menjalankan kuasa-kuasa yang telah diletakkan di tangannya oleh sesebuah akta Parlimen. Tetapi dalam isu-isu seperti kedudukan timbalan presiden MCA ini saya tidak fikir seorang pegawai kerajaan berani berbuat sesuatu tanpa merujuk kepada kerajaan. Ini kerana tindakan itu akan membawa kesan langsung terhadap kedudukan kerajaan yang salah satu anggotanya ialah parti MCA.

Sebab itu saya berpendapat perubahan nada Pendaftar Pertubuhan dalam soal pendaftaran Pakatan Rakyat sebagai sebuah entiti politik sebagaimana Barisan Nasional bukanlah sesuatu yang memeranjatkan. Dan saya tidak fikir para pemimpin Pakatan jahil benar tentang undang-undang dan masalah-masalah dasar berhubung dengan pendaftaran pertubuhan dan seumpamanya. Kita tahu bagaimana pendaftaran parti-parti politik yang diketahui rapat dan disukai oleh parti yang memerintah diluluskan dengan begitu pantas. Sebelum itu SPR sering membangkitkan pelbagai masalah teknikal tentang Pakatan apabila mereka mahukan layanan yang sama sebagaimana yang SPR berikan kepada Barisan.

Undang-undang utama yang menangani persoalan-persoalan berhubung dengan pertubuhan di Malaysia ialah Akta Pertubuhan 1966. Selain daripada Pendaftar Pertubuhan menteri juga turut mempunyai kuasa di bawah undang-undang ini. Peruntukan ini pernah dibangkitkan apabila UMNO diharamkan oleh mahkamah pada 1987. Keputusan ini timbul apabila pihak yang tewas dalam pertandingan jawatan presiden UMNO ketika itu – Team B yang dipimpin oleh Tengku Razaleigh Hamzah – membawa kes itu ke mahkamah. Ramai pemerhati yang berpendapat bahawa keputusan mahkamah itu disukai oleh Tun Dr Mahathir Mohamad kerana keputusan mahkamah itu membolehkan beliau menyisihkan para penentangnya di dalam Team B. Tanggapan ini diperkukuhkan oleh keengganan Mahathir – ketika Menteri Dalam Negeri – mematuhi permintaan Team B supaya beliau menggunakan kuasanya dalam akta berkenaan bagi memulihkan UMNO yang telah pun diharamkan oleh mahkamah. Sebaliknya Mahathir menubuhkan UMNO Baru. Di sisi undang-undang inilah sebenarnya UMNO yang ada sekarang. Ia bukan UMNO yang ditubuhkan pada 1946 oleh Datuk Onn Jaafar itu. Di sisi undang-undang UMNO yang itu telah mati.

Kuasa-kuasa yang ganjil yang bertentangan dengan demokrasi ini pernah ditentang oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika beliau menjadi Presiden Abim pada 1981. Ketika itu kerajaan, melalui menterinya Tan Sri Ghazali Shafie, membuat pelbagai pindaan kepada Akta Pertubuhan. Anwar tahu bahawa pindaan-pindaan itu cuba hendak mengekang kebebasan dan pergerakan pertubuhan-pertubuhan yang hari ini kita kenali dengan nama pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Berdasarkan kepada beberapa paparan yang dihuraikan di atas kita dapat melihat betapa Akta Pertubuhan 1966 ini tidak selari atau boleh menafikan hak berpersatuan yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 10(1). Selain undang-undang ini pelbagai sekatan turut dikenakan di bawah Akta Kesatuan Sekerja 1959. Kesan yang sama juga dibawa oleh Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971. Jika kita teliti benar-benar alasan yang dibenarkan oleh perlembagaan saya tidak pasti apakah semua akta yang dinyatakan di atas tadi sah di sisi perlembagaan. Bagaimanapun tidak ada yang boleh dibuat kerana untuk melakukan penelitian demikian kita perlu ke mahkamah dan ini sudah cukup untuk kita semua membuat keputusan bahawa itu adalah kerja yang sia-sia dan membuang masa!

Saya sering mengatakan bahawa negara yang betul-betul komited dengan demokrasi tidak akan mengizinkan sekatan sebagaimana yang dibenarkan oleh perlembagaan kita itu. Sebab itu Perlembagaan Amerika Syarikat menyatakan dengan jelas bahawa hak bercakap, berkumpul secara aman dan menubuhkan persatuan tidak boleh disekat hatta oleh Kongres (yang merupakan badan perundangan mereka). Ketiga-tiga hak ini terlalu asas sifatnya. Demokrasi yang sebenar tidak akan wujud tanpanya. Atau sekiranya hak-hak ini disekat oleh pihak eksekutif atau badan perundangan.

Saya juga telah menyebut beberapa kali tentang betapa perlunya kita menubuhkan sebuah suruhanjaya untuk mengkaji undang-undang yang ada bagi memastikan bahawa undang-undang yang ada selaras dengan keperluan dan perkembangan semasa. Ini perlu supaya undang-undang yang lapuk, yang bukan sahaja memeningkan kepala tetapi juga menghabiskan wang rakyat, dimansuhkan sahaja. Buat masa ini begitu banyak agensi, jabatan dan pegawai yang kita gajikan untuk melakukan perkara-perkara yang bukan sahaja tidak berguna tetapi menyusahkan kita.


--DetikDaily
*Profesor Dr Abdul Aziz Bari mengajar undang-undang di UIAM, Gombak.

Nizar vs Najib Altantuya: Kecelaruan Politik MCA


HAMPIR sebulan berlalu sejak mesyuarat agung luar biasa (EGM) MCA diadakan pada 10 Oktober lalu tetapi gelora politik MCA belum reda. Malahan semakin rumit. Dalam tempoh sebulan yang lalu, pemecatan, pelantikan dan peletakan jawatan mewarnai politik MCA. Apakah kesudahannya bagi parti komponen Barisan Nasional (BN) ini? Mampukah MCA menjadi sandaran masyarakat Cina untuk meneruskan kesinambungan politik mereka dalam BN.

Bukanlah kali pertama MCA menghadapi krisis kepimpinannya sehingga pernah satu ketika BN mengutuskan Setiausaha Agungnya, Ghafar Baba untuk campur tangan bagi menyelesaikan kemelut parti itu. Tetapi kecelaruan yang berlaku pada hari ini menampakkan tanda-tanda MCA boleh terbelah dua jika tidak ada tindakan sewajarnya diambil.

Masalah yang melanda parti secara keseluruhannya memperlihatkan bagaimana peranan lima pihak. Mereka ialah Jawatankuasa Disiplin, Majlis Presiden, Jawatankuasa Pusat (CC), perwakilan EGM dan Pendaftar Pertubuhan (ROS). Pandangan pihak mana yang harus diiikuti dan didengari? Ini persoalan yang harus dijawab oleh ahli-ahli dan pemimpin MCA bagi mengelakkan kekalutan yang berterusan. Ini kerana tsunami politik Mac 2008 masih dirasai oleh MCA.

Pemilihan barisan kepimpinan baru pada 18 Oktober 2008 yang diharap dapat memulihkan kembali keyakinan rakyat khususnya masyarakat Cina kepada MCA belum menampakkan hasil. Sebaliknya setahun selepas pemilihan, kepimpinan MCA terus bergelora. Di manakah silapnya sehingga tercetus keadaan yang tidak harmoni dalam parti itu? Ada yang menuding jari kepada Presiden MCA, Ong Tee Keat yang gagal menangani isu berkaitan Soi Lek dengan cara berhemah.

Melihat kembali rentetan kemelut dalaman MCA ini, tidak dinafikan ia sedikit sebanyak berkait rapat dengan isu Soi Lek.

Sebenarnya bekas Menteri Kesihatan itu dianggap hilang daripada arus politik MCA apabila beliau melepaskan semua jawatan dalam parti dan kerajaan pada 2 Januari 2008 berikutan penyebaran video skandal seks membabitkannya pada penghujung 2007. Tidak ada hukuman yang dikenakan terhadapnya semasa parti dipimpin Ong Ka Ting. Walaupun diselubungi skandal, beliau kekal sebagai ahli MCA. Tidak ada sebarang tindakan disiplin.

Ini bermakna, sebagai ahli, beliau layak bertanding sebarang jawatan dalam parti.

Dan secara kebetulan, tsunami politik yang melanda menyebabkan Ka Ting dan Chan Kong Choy tidak menawarkan diri untuk mengekalkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden MCA. Peluang ini menarik minat Chua Jui Meng untuk mencuba sekali lagi bagi jawatan Presiden dan Soi Lek yang meletak jawatan Naib Presiden sebelum itu mahu bertanding bagi jawatan No. 2. Tiada siapa membantah hasrat Soi Lek sebaliknya ia mendapat sokongan. Akhirnya walaupun diselubungi skandal, Soi Lek berjaya membuat kejutan apabila memenangi jawatan Timbalan Presiden mengalahkan Setiausaha Agung, Ong Ka Chuan yang ketika itu juga memegang jawatan Kabinet. Di sinilah bermulanya kebangkitan semula Soi Lek.

Tetapi pada masa yang sama, membenarkan Soi Lek yang diselubungi skandal bertanding juga mungkin satu kesilapan kerana membuka ruang untuk beliau terus berada dalam arus perdana politik MCA. Adakah kini nasi sudah menjadi bubur?

Walaupun pemilihan pemimpin tertinggi dikatakan tidak membentuk pasukan tetapi ramai yang melihat dua pasukan berentap iaitu 'dua Chua' mewakili Jui Meng dan Soi Lek sementara 'dua Ong' diwakili Tee Keat dan Ka Chuan.

Malangnya kemenangan hanya berpihak kepada '1 Ong 1 Chua' (Tee Keat dan Soi Lek) yang jelas menampakkan tanda-tanda akan berlaku kekalutan dalam parti.

berkhidmat

Ini terbukti apabila Soi Lek tidak diberi peranan atau ruang secukupnya untuk berkhidmat kepada parti. Beliau seolah-olah 'disingkirkan' secara senyap. Soi Lek yang sepatutnya diberikan peranan lebih besar sesuai dengan kedudukannya sebagai orang No. 2, hanya dilantik menduduki biro pemantauan dasar kerajaan. Maka bermulalah 'api yang membakar di dalam sekam'.

Jelaslah tindakan 'menghukum' Soi Lek menunjukkan Tee Keat tidak serasi dengan orang No.2 . Keadaan semakin parah apabila Soi Lek dipecat pada 27 Ogos lalu iaitu kira-kira 10 bulan selepas beliau diberi kepercayaan oleh 1,115 perwakilan. Pemecatan pula dibuat kerana skandal video itu dikatakan menjejaskan imej MCA.

Siapakah yang bertanggungjawab terhadap pemecatan itu? Adakah Jawatankuasa Disiplin atau Majlis Presiden?

Dalam hal ini, Majlis Presiden menerima cadangan Jawatankuasa Disiplin yang mencadangkan supaya Soi Lek dipecat berikutan penyebaran video skandal seks.

Keputusan itu memang sukar diterima oleh Soi Lek setelah memenangi jawatan No.2. Lebih pelik, pemecatan berlaku sesudah 21 bulan beliau menghukum dirinya sendiri dengan meletakkan semua jawatan atas 'kesalahan' yang sama.

''Pada 2 Januari 2008, sewaktu meletakkan semua jawatan dalam parti, saya masih seorang ahi MCA. Namun hari ini (27 Ogos) saya tidak lagi mempunyai parti. Jadi kedudukan saya hari ni lebih teruk berbanding sewaktu saya meletak jawatan,'' kata Soi Lek dalam laman blognya selepas dipecat daripada parti.

Kenapa pemecatan hanya berlaku selepas 21 bulan Soi Lek 'berundur' secara sukarela?

Apakah ada agenda peribadi di kalangan pemimpin sehingga mencetuskan pergolakan baru pada 27 Ogos lalu?

Bagaimanapun CC menolak cadangan Majlis Presiden memecat Soi Lek sebaliknya mencadangkan keahlian beliau digantung empat tahun.

Akhirnya tercetus idea mengadakan EGM dengan pada mulanya lima resolusi dicadangkan iaitu:

Usul tidak percaya terhadap Presiden parti; Membatalkan keputusan Majlis Presiden dan CC untuk menggantung Soi Lek; Menuntut Soi Lek dikembalikan jawatan Timbalan Presiden;

Menolak pelantikan sebarang jawatan oleh CC termasuk jawatan Timbalan Presiden sebelum EGM dan; Menolak aduan serta tindakan terhadap mereka yang memanggil EGM diadakan.

Kesediaan Tee Keat mengadakan EGM ketika itu tentunya berdasarkan beberapa isu yang dianggap boleh memihak kepadanya. Ini termasuk moral Soi Lek, isu Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) dan ketuanan Melayu (UMNO).

Beliau percaya 2,380 perwakilan MCA (yang hadir 2,304) akan menyebelahinya. Namun dalam dunia politik tidak semudah itu. Dalam politik ada 'tangan ghaib', ada musuh dalam selimut, ada udang di sebalik batu, ada musang berbulu ayam dan macam-macam lagi.

Harus diingat juga, dalam MCA, puak atau team tidak pernah selesai. Mungkin Tee Keat lupa bahawa dulu pernah wujud team Ling Liong Sik, Lim Ah Lek dan juga Lee Kim Sai. Apakah selepas itu tidak wujud puak Kong Choy, Ka Ting dan Ka Chuan? Begitu juga kumpulan Soi Lek. Akhirnya Tee Keat 'kalah' 14 undi bagi usul pertama. EGM meluluskan usul undi tidak percaya terhadap Tee Keat; Membatalkan keputusan Majlis Presiden untuk memecat Soi Lek dan; Tidak setuju mengembalikan jawatan Timbalan Presiden kepada Soi Lek.

Keputusan EGM secara tidak langsung jelas menunjukkan bahawa Tee Keat dan Soi Lek ditolak. Bermakna tidak ada pemimpin utama dalam MCA. Tee Keat pastinya lebih kecewa dan mahu melepaskan jawatannya. Beliau terpaksa bercuti beberapa hari.

dipersetujui

Bagaimanapun pada 15 Oktober, sekembalinya daripada bercuti, Tee Keat mengumumkan beliau kekal sebagai Presiden dengan alasan masih mempunyai banyak urusan yang belum selesai. Liow Tiong Lai pula dilantik sebagai Timbalan Presiden yang baru. Beliau juga mahu EGM kedua diadakan. Hasrat itu tidak dipersetujui. Tee Keat kemudian mendakwa ada orang kepercayaannya cuba mengkhianati beliau yang menikamnya dari belakang.

Tanpa menyebut nama-nama itu, ramai melihat pemimpin kanan seperti Tiong Lai, Ketua Pemuda, Wee Ka Siong dan Ketua Wanita Chew Mei Fun mempunyai peranan masing-masing. Keadaan ini memaksa Tee Keat untuk kembali berbaik-baik dengan Soi Lek. Akhirnya pada 22 Oktober, wujud pelan damai antara Tee Keat dan Soi Lek. Mereka mahu bekerjasama sebagai satu pasukan bagi menyatu serta memperkukuhkan MCA. Namun gelora berterusan apabila ada pihak enggan menerima pelan damai tersebut.

Pada masa yang sama Tee Keat berusaha unduk mencari jalan penyelesaian terhadap barisan kepimpinan itu dengan mengekalkan Tiong Lai sebagai Timbalan Presiden dan memberi jawatan baru yang juga penting kepada Soi Lek. Namun usaha itu lebih rumit apabila pada 3 November, ROS mengisytiharkan Soi Lek kekal sebagai orang No.2 dalam parti.

Tee Keat menerima keputusan ROS dan sekali lagi beliau dilihat berdamai dengan timbalannya. Bagi membuktikan keikhlasannya untuk berdamai dengan semua puak dalam parti, Tee Keat menggugurkan empat ahli CC dan digantikan dengan tiga orang iaitu bekas Naib Presiden, Donald Lim Siang Chai; Chua Tee Yong (ahli Parlimen Labis yang juga anak Soi Lek) dan Ketua MCA Ipoh Barat, Tan Chin Meng yang juga bekas Ketua Pemuda MCA Perak. Turut digugurkan ialah Lee Wei Kiat sebagai Ketua Biro Penerangan dan Komunikasi yang digantikan dengan Heng Seai Kie dan Datuk Leong Tang Chong diganti oleh bekas Naib Ketua Pemuda MCA, Lim Hong Sang sebagai ketua biro undang-undang.

Tidak cukup setakat itu. Masalah MCA terus parah apabila lima anggota Jawatankuasa Disiplin diketuai veterannya, Ng Cheng Kiat yang mencadangkan pemecatan Soi Lek pula meletak jawatan.

Tindakan itu jelas memperlihatkan kekecewaan jawatankuasa itu terhadap EGM yang mengenepikan pemecatan. Apakah Jawatankuasa disiplin tidak mempunyai wibawa dalam mendisiplinkan ahli-ahlinya?

Melihat rentetan kemelut MCA ini, amat jelas bahawa banyak pihak perlu berkorban dan berkompromi bagi memastikan MCA terus stabil.

Masalah ini boleh selesai jika mereka yang bertelagah sedar bahawa tugas pemimpin adalah untuk kepentingan rakyat bukannya agenda peribadi.

Mungkin dalam hal ini, Tee Keat dan Soi Lek perlu berundur sama seperti yang pernah dilakukan oleh Liong Sik dan Ah Lek. Jika tidak Tee Keat dan Soi Lek akan menjadi liabiliti kepada parti. Pada masa yang sama CC yang dipilih tahun lalu juga boleh dibubarkan menjelang Perhimpunan Agung MCA 5 Disember ini bagi membolehkan pemilihan baru yang lebih telus.

Sebagai langkah sokongan, BN selaku badan induk juga perlu campur tangan. Tempoh bertenang sudah berlalu. Masa semakin suntuk bagi melakukan persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 yang dijangka dua tahun lagi. Pemimpin BN khususnya Najib Tun Razak perlu campur tangan. Damaikan semua puak dengan 'habuan' masing-masing. Jika semuanya 'mendapat habuan', maka MCA pasti kembali mantap. Jika tidak tunggulah akibatnya.

--DetikDaily

Wednesday, November 4, 2009

PKFZ : SPRM Diminta Siasat Chan Kong Choy Dan OC Phang :- Nizar vs Zambry & Najib Altantuya

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengesyorkan supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis menyiasat bekas Menteri Pengangkutan Datuk Seri Chan Kong Choy dan bekas pengurus besar Lembaga Pelabuhan Klang Datuk Paduka O.C. Phang membabitkan pecah amanah berhubung projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Kedua-dua mereka harus disiasat berhubung tiga surat sokongan yang dikeluarkan Chan dan tiga surat akujanji oleh Phang, mengikut laporan PAC berhubung PKFZ yang diedarkan di Dewan Rakyat hari ini.

"Jawatankuasa dimaklumkan oleh Peguam Negara bahawa tiga surat sokongan yang dikeluarkan oleh Datuk Seri Chan Kong Choy, (bekas) Menteri Pengangkutan dan ketiga-tiga surat akujanji yang dikeluarkan oleh Pengurus Besar LPK (Lembaga Pelabuhan Kelang) secara tersirat atau bersifat jaminan daripada kerajaan yang meletakkan tanggungan ke atas kerajaan untuk memastikan ada peruntukan yang membolehkan LPK memenuhi obligasinya di bawah Perjanjian Pembangunan.

"Oleh itu, siasatan rapi perlu dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia/Polis Diraja Malaysia terhadap perkara ini kerana ia dikeluarkan tanpa kelulusan daripada Kementerian Kewangan sepertimana yang dikehendaki di bawah Seksyen 14(1) Akta Tatacara Kewangan 1957," kata laporan itu yang dipetik Bernama.

Selain itu, tindakan Chan dan Phang juga boleh disabitkan dengan kesalahan jenayah pecah amanah di bawah Seksyen 409 yang dibaca bersama Seksyen 409B Kanun Keseksaan.

Seksyen 409 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman minimum dua tahun maksimum 20 tahun, dan dengan sebat, dan boleh juga dikenakan hukuman denda jika sabit kesalahan.

Laporan PAC yang diketuai Datuk Seri Azmi Khalid juga berpendapat surat akujanji yang dikeluarkan oleh Phang adalah bertentangan dengan keputusan kerajaan kerana semasa meluluskan projek PKFZ, kerajaan telah memutuskan supaya ia dibiayai sendiri oleh LPK.

Sehubungan itu, Phang dan Kementerian Pengangkutan didapati gagal memaklumkan kabinet dengan awal mengenai ketidakupayaan LPK untuk membiayai sendiri projek itu walaupun perkara tersebut telah dibangkitkan dalam laporan-laporan Ketua Audit Negara Mengenai Penyata Kewangan LPK bagi tahun 2003, 2004, 2005, 2006 dan 2007.

Selain itu, mereka juga didapati gagal berunding dengan Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi bagi mendapatkan peruntukan bagi membiayai projek itu.

Pengurus besar LPK itu juga didapati telah melakukan "gambaran yang salah" apabila mengeluarkan surat akujanji kepada pemegang amanah PDS iaitu OSK Securities Berhad yang menyatakan bahawa LPK akan meminta kerajaan untuk meremit dana daripada peruntukan bajet ke "akaun rizab khas" atau "kod khas akaun" yang diuruskan oleh LPK memandangkan LPK tidak mendapat kelulusan daripada Kementerian Pengangkutan atau Kementerian Kewangan berhubung perkara itu.-/harakahdaily

Tuesday, November 3, 2009

Krisis MCA: Soi Lek Dapat Balik Jawatan Tim. Presiden, Tiong Lai Pulak Macamana? :- Nizar vs Zambry & Najib Altantuya

Datuk Seri Dr Chua Soi Lek mendapat semula jawatannya sebagai timbalan presiden MCA selepas digugurkan susulan dipecat daripada parti kira-kira dua bulan lalu.

Pengumuman mengejut itu dibuat oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) hari ini ketika jawatankuasa pusat parti itu sedang mengadakan mesyuarat di ibu pejabatnya di Jalan Ampang, Kuala Lumpur tengah hari ini.

Surat ROS itu dihantar terus kepada kepemimpinan MCA.

Kedudukan ini mengembalikan senario sebelum krisis parti itu - akibat pemecatan Dr Chua dan keputusan mesyuarat agung luar biasa MCA awal bulan ini - dan sekali gus memeningkan kepada Datuk Seri Liow Tiong Lai yang dilantik menggantikan Dr Chua.

Naib presiden itu, yang dilantik kepada jawatan nombor dua tersebut, dianggap melawat Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat selepas kumpulannya mendesak pemilihan baru parti diadakan.

Ketika tiba jam 1.10 tengah hari di Wisma MCA, tempat mesyuarat itu diadakan kira-kira 10 minit kemudian, Dr Chua kelihatan tenang dan kemudian melangkah terus ke bilik mesyuarat.

Dalam perkembangan berkaitan, MCA juga memecat empat anggota jawatankuasa pusatnya yang dilantik - satu lagi tindakan ke arah mengukuhkan parti selepas dilanda krisis sejak Ogos lalu.-/malaysiakini

Thursday, October 22, 2009

Krisis MCA: Ong Dan Chua Berdamai Demi Kebaikan Parti? :- Nizar vs Najib Altantuya

Boleh percaya ke cerita politik seperti ni.Bagi Aku ianya cuma untuk menyelamatkan kerjaya politik masing2 je.Tee Keat pernah berjanji untuk letak jawatan jika beliau kalah dalam EGM, tapi selepas kalah .. tengoklah apa jadi.Demi untuk menyelamatkan kerjaya politiknya dia sanggip untuk berdamai dengan musuh politik yang cuba untuk dimusnahkannya.Inilah politik.............

Ong, Chua berdamai demi kebaikan parti.- malaysiakini

Selepas setahun bertelagah, Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat dan bekas timbalannya, Datuk Seri Chua Soi Lek akhirnya bersetuju untuk berdamai dan mengenepikan pergeseran antara mereka.

Kedua-duanya, yang

sebelum ini sering melontar tuduhan antara satu sama lain - mengumumkan 'genjatan senjata' itu dalam satu sidang akhbar bersama di ibupejabat MCA di ibunegara hari ini. Turut hadir ialah Timbalan Presiden MCA yang baru dilantik, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Bagaimanapun, terdapat kemungkinan krisis kepimpinan MCA itu belum selesai sepenuhnya kerana Pendaftar Pertubuhan (ROS) boleh mengubahnya.

Terdapat spekulasi bahawa ROS boleh membatalkan penggantungan Chua dan melantiknya semula ke jawatan timbalan presiden, sekaligus merumitkan kedudukan Liow yang baru dilantik memegang jawatan tersebut dan seorang lagi naib presiden, Datuk Kong Chor Ha.

Liow dan Kong dikatakan dua pemimpin yang masing-masing bakal mengisi dua jawatan tertinggi - Liow sebagai presiden dan Kong sebagai timbalannya - selepas Ong dan Chua.

Berita penuh di malaysiakini

Sunday, October 18, 2009

Nizar lwn Zambry Haram: Madah Berhelah Dalam Krisis MCA?


Aangkaan presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat akan meletakkan jawatan setelah menerima undi tidak percaya oleh perwakilan nampaknya jauh meleset.Ong Tee Keat tetap berdalih untuk memegang jawatan itu dan dalam mesyuarat jawatankuasa pusat parti itu semalam Ong Tee Keat mengumumkan akan mengadakan satu lagi mesyuarat agong luar biasa (EGM).

Beliau semalam telah mengarahkan setiusaha Agungnya, Datuk Wong Foon Meng untuk mengadakan EGM mengikut peruntukan Perkara 30.1 perlembagaan MCA.

EGM kali ini untuk menentukan sama ada perlu atau tidak pemilihan parti diadakan sekali lagi bagi menyelesaikan permasalahan parti itu.

TV Selangor turun padang mendapatkan respon daripada beberapa orang ahli politik Pakatan Rakyat berbangsa Cina untuk mengetahui pandangan mereka terhadap isu ini.

“Walau bagaimanapun, kita nampak selepas EGM ini presiden MCA masih enggan berundur dengan pelbagai alasan. Saya berpendapat ianya akan mengundang lebih banyak percakaran dalam parti sesama kumpulan beliau dan ini telah dijangka. Dan masyarakat Cina menganggap apa yang berlaku dalam MCA ini sudah parah”, ujar ADUN Sekinchan, Ng Suee Lim.

Malah Suee Lim berpendapat, keengganan Ong Tee Keat meletakkan jawatan seperti yang telah dijanjikan sebelum ini,menggambarkan sikap pemimpin itu yang tidak berpegang pada janji.

Sebelum ini Ong Tee Keat dengan lantang menyatakan pendiriannya yang akan meletakkan jawatan sekiranya hanya menang minoriti pada EGM 10 Oktober lalu.

Namun apa yang berlaku sebaliknya dan tindakan beliau meletakkan Datuk Seri Liow Tiong Lai sebagai Timbalan Presiden hanyalah sebagai helah politiknya.

“Ong Tee Keat selama ini kita nampak sebagai seorang berprinsip. Cakap serupa bikin. Pendekar kononnya. Tetapi setelah memegang jawatan presiden MCA perwatakan beliau banyak berubah. Itu satu pertukarakan yang terlalu nyata dan saya nampak Liow Tiong Lai hanya sebagai perkakas yang diletakkan di situ sahaja”, tambah beliau.

Menurut Suee Lim lagi, apa yang berlaku dalam MCA jelas berlunaskan kepada perebutan kuasa dan kepentingan diri sendiri.

“Sekarang kita nampak perjuangan dan pergelutan sesama pemimpin mereka berlandaskan dua faktor. Faktor pertama kuasa, kuasa bukan untuk memperjuangkan kepentingan rakyat dan yang kedua, untuk mendapat jawatan. Ini semua bertentangan, jauh sekali bercanggah dengan perjuangan MCA untuk membela masyarakat Malaysia khususnya kaum Cina”.

Sementara itu, bagi ADUN Damansara Utama, Cheah Wing Yin, MCA pada masa ini telah memasuki zon merbahaya sehingga terpaksa menggunakan segala bentuk perundangan dalam parti itu dan mangsa keadaan ini tentunya para perwakilan dan ahli-ahli MCA sendiri.

“Nampaknya ini sudah memasuki ke peringkat yang sangat kompleks dan ia sudah tertakluk kepada perundangan parti itu. Dan ini akan membuat keadaan itu bertambah rumit dan menyebabkan bukan sahaja parti itu bertambah bingung bahkan ahli-ahli parti itu juga tidak tahu bagaimana cara mahu memilih”.

Sementara itu bagi exco kerajaan negeri Selangor, Ronnie Liu, apa yang berlaku dalam MCA hanyalah perebutan kuasa semata-mata.

“Nampaknya krisis dalam MCA ini akan berlarutan. Sebelum itu ada dua puak iaitu puak Chua Soi Lek dan puak Ong Tee Keat tetapi sejak keputusan EGM itu, puak Ong Tee Keat juga telah berpecah. Nampaknya orang kanan dia seperti Liow tiong Lai mahu naik dan menggantikan tempat dia. Tetapi nampaknya Ong Tee Keat pula belum rela untuk turun walaupun dia janji kalau dia gagal dia gagal dalam undi keyakinan itu, dia akan letak jawatan”.

--Detikdaily

Friday, October 16, 2009

Usaha Memulihkan UMNO Kurang Diyakini !! :- Nizar vs Najib Altantuya

Oleh Mohd Sayuti Omar

BILA diminta pandangan umum - rakan-rakan Facebook mengenai nawaitu Umno hendak memperbaiki parti berkenaan dengan meminda perlembagaanya hari ini, ramai kawan-kawan FB saya memberi pandangan yang hampir sama.

Soalan yang saya lontarkan berbunyi; Sejauh mana keyakinan anda pindaan perlembagaan Umno yang dibuat hari ini dapat menaikkan martabat parti berkenaan? Apakah pindaan itu mampu menghapuskan politik wang dan akhirnya mengukuhkan Umno? Ataupun pindaan itu tak ubah seperti seribu janji yang pernah ditabur sebelum ini untuk memperkukuhkan parti tersebut yang mana akhirnya kosong belaka.

Jawaban dan ulasan yang diberikan hampir sama saja nadanya. Rata-rata tidak yakin atau kurang percaya dengan langkah itu boleh merubahkan Umno. Ada setengah beranggapan isu itu hanya gimik saja tanpa membawa kesan yang diharapkan.

Ada seorang dua bersikap lebih tasamuh untuk melihat perubahan itu dalam tempoh setahun dua. Mereka mahu diberikan masa untuk melihat perubahan yang diharapkan itu.

Pandangan rakan FB adalah pandangan bebas dan agak jujur. Kebanyakan mereka bukan menjadi pengikut parti yang totok ataupun berfikir hanya satu juring saja. Pandangan mereka boleh digunapakai sebagai pandangan yang sihat dari generasi muda.

Sekiranya pandangan ini boleh dianggap mewakili generasi muda dan cerdik pandai, ini bermakna usaha Umno meminda perlembagaan itu tidak membawa banyak perubahan. Politik wang tetap juga akan berlaku di dalam parti itu yang sudah berakar umbi. Kegagalan ini akan membawa natijh kehancuran kepada Umno.

Selain itu ada juga yang bersetuju dan memberi cadangan kalau Umno ingin menghapuskan rasuah politik dalam parti itu dan juga dalam kerajaan bukan dengan cara meminda perlembagaan yang memberi kuasa luas kepada pemilihan tetapi mesti harus ada penekanan pembangunan keagamaan dalam setiap hari ahli Umno dan rakyat.

Maksudnya ahli Umno harus ditunjungi dengan keimanan yang tinggi, di mana mendidik mereka mengenali dan yakin kepada soal dosa dan pahala. Mereka yang sedia melaku dan menerima rasuah ialah kerana tidak percaya kepada soal dosa dan pahala. Kalau mereka yakin pasti mereka tidak akan melakukannya.

Rasuah tidak dapat dicegah dengan undang-undang melainkan dengan iman yang tebal. Semoga pendapat rakan FB saya ini tidak akan diketepikan oleh pihak Umno khususnya dan juga golongan politik di negara ini.

Persoalan rasuah politik bukan saja berlaku dalam Umno dewasa ini. Tetapi ia juga turut mula bercambah dan membibit dalam parti-parti lain yang dulunya dilihat kontras dengan perbutan syaitan yang menjijikkan itu. Cuma parti lain itu bernasib baik kerana rasuahnya masih lagi tersembunyi dan dilindung dengan kitab-kitab tertentu. Hakikinya rasuah sudah berleluasa dalam benua politik Malaysia.

Pindaan perlembagaan oleh Umno kerana hendak menghapuskan rasuah ini diharap bukan saja dilihat penting oleh ahli Umno tetapi biarlah ia juga dijadikan renungan oleh semua golongan politik di negara ini.

--Detikdaily

nuff

Visited Since 090322

Followers

Komen Terkini

Categories

My Page Rank

Labels

Blog Widget by LinkWithin
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Bluehost