Sunday, August 29, 2010

Taib Mahmud Dapat Rumah RM21 Juta Di AS Hadiah Kroni Balak


Tatkala hampir 70 peratus penduduk rumah panjang di Sarawak masih tidak mendapat kemudahan bekalan air bersih, jalan raya dan tenaga elektrik serta dibelit derita kemiskinan yang parah, Ketua Menteri serta keluarganya pula bergelumang dengan kemewahan dan kekayaan yang melimpah ruah.

Terbaru, sebuah laman web yang banyak mendedahkan salahlaku, penyelewengan serta amalan rasuah Tan Sri Abdul Taib Mahmud, sarawakreport.org melaporkan 25 Ogos lalu kediaman berprestij yang dimiliki keluarga beliau di Boylston Avenue, Seattle Amerika Syarikat dikatakan dihadiah oleh syarikat konglomerat dan pembalakan Samling.

Disifatkan sebagai rumah agam 'gred atasan' kediaman tersebut dianggarkan bernilai USD6.8 juta pada 2008 atau bersamaan RM21 juta.

Berkeluasan 9,020 kaki persegi, ia mempunyai 6 bilik tidur dan lima bilik mandi utama, termasuk satu tingkat bawah tanah berkeluasan 2,120 kaki persegi, selain memiliki patio yang luas, gazebo, kolam renang dan gelanggang tennis.

Kediaman itu juga dikatakan memiliki sebuah anjung besar dan terdapat garaj di tingkat bawah tanah untuk simpanan kereta mewah kesayangan keluarga Taib.

Ia dikatakan di kelilingi taman berkeluasan 26,172 kaki persegi atau bersamaan dengan keluasan enam padang bola.

Menurut Sarawak Report, rumah agam tersebut dibeli oleh syarikat pelaburan CSY melalui anak syarikatnya, Inc W A Boylston pada 1991.

Pemilikan hartanah itu didakwa telah dipindahkan kepada keluarga Taib beberapa tahun selepas itu dengan harga US$1 (RM3.1).

Transaksi ini dikatakan dilakukan pada 19 September 1991 yang meletakkan pemilikan harta tersebut ke dalam anak syarikat W A Boylston yang ditubuhkan beberapa hari lebih awal iaitu pada 5 September oleh CSY.

Alamat berdaftarnya ialah di 2260 Douglas Boulevard, Roseville, yang juga merupakan ibu pejabat CSY.

Menurut sarawakreport, CSY dan Boylston kemudian segera memfailkan satu surat bersama kepada jabatan hartanah daerah diraja dan cukai eksais bagi mengisytiharkan W A Boylston ialah subsidiari milik penuh Syarikat pelaburan CSY, dan dengan itu menjadikan transaksi itu dikecualikan dari cukai eksais.

Bagaimanapun , siasatan laman web itu mendapati tiada rekod berikutnya selepas pemindahan pemilikan W A Boylston dari CSY (Samling) kepada Taib.

Menurut peraturan diterbit oleh jabatan hartanah, pemindahan sedemikian lazimnya memerlukan pembayaran beribu dolar cukai eksais. Laporan Sarawak Report menyebut, nama CSY dibentuk dari huruf awal Chee S Yaw, presiden syarikat pelaburan tersebut yang merupakan anak kepada Yaw Teck Seng, 62 pengasas Samling Global.

Samling merupakan sebuah syarikat pembalakan yang turut menjalankan aktiviti di luar negara seperti Guyana, Russia dan China.

Teck Seng sering tersenarai antara 40 individu terkaya di Malaysia oleh majalah Forbes dan keluarganya merupakan antara keluarga yang terkaya di Asia.

Awal minggu ini Samling mendapat liputan meluas media antarabangsa apabila dana pencen kerajaan Norway menarik balik semua pelaburan dalam Samling selepas mengutuk syarikat itu sebagai ’tidak beretika, disebabkan kegiatan pembalakan haram dan pemusnahan alam sekitar yang dilakukan di Sarawak.

Menurut Sarawak Report, bukan sesuatu yang rahsia Samling telah membina empayar perniagaannya menerusi konsesi pembalakan di Sarawak.

Sepanjang tempoh Taib menjadi ketua menteri, syarikat beroperasi di bawah lesen Taib itu telah memusnahkan hampir kesemua hutan dara berharga di Sarawak, yang kebanyakannya diambil tanpa pampasan dari orang-orang asal yang menerima kesan dari aktiviti pembalakan tersebut. Suara Keadilan

Friday, August 13, 2010

Empangan Bakun Tegangkan Putrajaya - Petrajaya


Ramai yang menarik nafas lega apabila diumumkan bahawa projek terbesar dan paling kontroversi di Malaysia - empangan Bakun - selepas pembinaan selama 16 tahun - akhirnya akan siap sepenuhnya Disember ini.

Bagaimanapun, masalah yang membelenggui empangan konkrit kedua terbesar di dunia itu masih jauh daripada selesai.

Sebaliknya, kemelut itu dilihat mencetuskan ketegangan antara kerajaan negeri Sarawak dan kerajaan persekutuan dalam rundingan tarif elektrik yang bakal dikenakan.

Sesetengah pihak pihak bimbang kerajaan negeri akan menggunakan kuasanya ke atas empangan itu bagi menuntut tarif yang lebih rendah.

Tetapi Sarawak Hidro Bhd milik kementerian kewangan - pemilik penuh empangan itu - mengetepikan spekulasi itu.

Jalan buntu

Menurut laporan media, rundingan pembelian tenaga elektrik antara Sarawak Hidro dan syarikat tenaga yang dimiliki kerajaan Sarawak Energy Berhad telah menemui jalan buntu.

Sarawak Energy dikatakan cuba mendapatkan tarif yang lebih murah dalam lingkungan antara enam tujuh sen bagi setiap kWh - jumlah yang lebih rendah berbanding kadar 10 hingga 15 sen per kWh yang dituntut oleh Sarawak Hidro bagi menampung perbelanjaan kos projek empangan itu yang telah berlebihan.

Turut mengintai tarif yang rendah itu adalah dua syarikat melebur logam kerana industri mereka menggunakan tenaga eletrik yang tinggi.

Syarikat berkenaan adalah Sarawak Aluminium Company - syarikat erjasama antara Cahaya Mata Sarawak Berhad (CMS) dengan syarikat Australia Rio Tinto Aluminium - dan Smelter Asia Sdn Bhd iaitu syarikat jerjasama antara GIIG Holdings Sdn Bhd dan Aluminium Corp of China Ltd.

Kedua-dua syarikat itu akan menjadi pembeli utama kuasa elektrik yang dihasilkan oleh empangan itu yang boleh menghasilkan sehingga 2,400MW.

Tarif lebih murah akan memastikan kos lebih rendah untuk syarikat tersebut dan menjamin keuntungan yang lebih.

Yang menariknya, CMS adalah konglomerat milik keluarga Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

'Duri dalam daging'

Manakala GIIG Holdings Sdn Bhd adalah syarikat yang dikuasai oleh jutawan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary yang muncul sebagai usahawan terulung semasa Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri.

Satu lagi isu yang menjadi isu 'duri dalam daging' antara kerajaan negeri dan persekutuan membabitkan pemilikan Empangan Bakun.

Kerajaan negeri Sarawak ingin membeli empangan itu pada harga RM6 billion, tetapi Putrajaya pula menuntut RM8 billion sebelum mahu melepaskan hak itu.

Justeru, apabila Sarawak Hidro secara terbuka meminta kerajaan negeri mengisi air di empangan itu secepat mungkin bagi mengurangkan kos yang terus meningkat, spekulasi timbul yang Petrajaya menggunakan permit itu sebagai cip tawar-menawarnya berhubung harga tarif.

Menurut Sarawak Hidro, empangan itu telah memenuhi beberapa keperluan untuk ia dipenuhi dengan air sejak April tahun ini dan telah mengemukakan cadangannya kepada Kementerian Utiliti Awam Sarawak yang selaras dengan keputusan kerajaan negeri.

Petrajaya belum memberikan sebarang reaksi tetapi masa pula dilaporkan semakin suntuk untuk Putrajaya. - Malaysiakini

nuff

Visited Since 090322

Followers

Komen Terkini

Categories

My Page Rank

Labels

Blog Widget by LinkWithin
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Bluehost