Saturday, March 13, 2010

Subsidi Ditarik Balik Kerana Mengundi Pakatan Rakyat - ADUN


Kira-kira 300 penduduk dalam Daerah Serian, di Sarawak dinafikan hak mereka untuk mendapatkan subsidi baja hanya kerana menyokong dan mengundi calon Pakatan Rakyat pada pilihanraya lalu di negeri itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Lintang, Voon Lee Shan berkata, kawasan itu merupakan kubu kuat Barisan Nasional dan penafian subsidi baja itu sesuatu yang amat mendukacitakan kerana sesiapa pun calon yang diundi oleh rakyat merupakan hak mereka dalam konteks negara demokrasi.

“Saya mendapat laporan penafian subsidi baja itu melalui pembantu saya, Tay Wee Wee sebelum Krismas sebelum saya sendiri turun padang melihat dan mendengar sendiri hal tersebut.

Sebaik tiba, penduduk di kawasan terbabit memaklumkan pengagihan subsidi ditentukan oleh Ketua Kampung yang juga penyokong BN dan hak mereka dinafikan hanya kerana mengundi Pembangkang sebelum ini,” katanya ketika dihubungi erapakatan.com.

Sebaik mendengar keluhan rakyat itu, beliau bersama penyokongnya dan beberapa wakil penduduk menemui pegawai daerah tersebut yang akhirnya berjanji menyelesaikan masalah itu dengan segera.

Lee Shan yang juga bekas Ketua Polis Daerah menyatakan kekesalannya berhubung kejadian itu yang disifatkannya sebagai satu lagi siri kezaliman kerajaan BN yang kian takut dengan sokongan rakyat terhadap gagasan Pakatan Rakyat.

Pada pilihanraya negeri tahun 2006, beliau menumbangkan calon SUPP dari BN yang juga bekas Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Chan Seng Khai dengan majoriti 3,407 undi.

Sementara itu, semasa melawat kawasan itu, beliau turut berkesempatan menyampaikan sumbangan kepada seorang warga emas (gambar) yang hidup susah di kawasan tersebut.-EraPakatan

Thursday, March 11, 2010

Fahami Apa Itu GST !!!


Apa itu GST yang semakin hebat diperkatakan sekarang ini di seantero malaysia.Good & Services Tax atau nama singkatannya GST akan dibacakan buat kali kedua dalam penggal pertama parlimen Malaysia pada 15 hb ini oleh Najib tun Razak yang mana ia akan dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Yang Dipertuan Agong.Dan dijadualkan juga pada pagi tersebut sekitar jam 9.00 pagi akan diadakan satu himpunan aman besar-besaran bagi membantah perlaksanaan GST yang sekiranya diluluskan akan dilaksanakan pada 2011 nanti.

Ini merujuk kepada soal peri kemanusiaan dan kepentingan rakyat sememangnya kita hanya melihat PR seolah-olah tidak habis-habis mahu berdemo dan melakukan sesuatu yang kononnya menggugat ketenteraman awam.namun suka aku tekankan bahawa ini sememangnya bukan masalah PR sahaja namun sekiranya difikir dengan akal yang cerdik dan ada ilmu maka ia perlu difikirkan oleh semua peringkat dan bukan sahaja dikalangan pemimpin PR.

GST merujuk kepada penambahan cukai sebanyak 4 % terhadap semua keperluan seharian rakyat termasuklah beberapa benda-benda kecil yang dahulu dirasakan tidak membebankan dan kini akan menjadi beban rakyat.Kemungkinan dari akibat kenaikan itu juga akan memperlihatkan kemiskinan rakyat akan menjadi lebih teruk dan tidak seimbang.Rakyat yang miskin akan terus merempat dan merana dan yang berpendapatan sederhana juga tidak terkecuali akan menjadi miskin dan akhirnya bebanan rakyat itu akan membinasakan rakyat itu sendiri.Apabila ditanya oleh MP pembangkang di dalam parlimen Najib menjawab jika perlaksanaan GST itu dilakukan maka ia akan membawa peningkatan sebanyak 1 billion iaitu dari 12 billion kepada 13 billion sahaja manakala kos bagi mempromosikannya dan melaksanakanya itu akan memakan jumlah sehingga 5 Billion Ringgit.

Percaya atau tidak percaya sekiranya ia dilaksanakan juga maka peningkatan harga barangan runcit juga akan turut terkesan dan kesempitan rakyat akan terus terbeban dan tertindas.Kita akan dapat lihat dengan kesan-kesan tersebut maka tidak akan ada lagi penjualan kuih-muih yang dapat rakyat beli dengan harga yang berpatutan.Dari sekecil-kecil benda dan sebesar-besar benda semuanya akan mengalami peningkatan.Dan dari kajian yang dilakukan tidak mustahil sekiranaya akibat dari perlaksanaan GST itu ia akan membawa peningkatan dari 4% ke 10 % sekiranya ia dilaksanakan.

Oleh itu kami PR bukan sengaja mencari bahan dan sebab untuk bangun menyatakan kebenaran namun ini hak rakyat yang perlu di pertahankan.ini bukan hak rakyat dan penyokong PR sahaja namun ini hak Rakyat tanpa mengira kaum,agama, bangsa dan juga fahaman Politik.oleh itu ayuh semua kita bersama di parlimen 15 hb ini untuk mempertahankan Hak Kita ia bukan sesuatu yang akan mengambil masa yang singkat namun ia akan menjadi perosak sehingga kesannya akan dirasai oleh anak,cucu dan generasi dimasa hadapan.

Oleh SyaReformis

Wednesday, March 10, 2010

Janji & Dongeng Politik Sarawak


Pilihanraya umum Dun Sarawak perlu diadakan selewat-lewatnya tahun 2011. Secara tradisinya tidak ada perlu dibimbangi oleh BN kerana Sarawak adalah seperti Selangor, Perak dan kebanyakan negeri di Semenanjung di mana andai kata batang pisang sekalipun dijadikan calon parti berkenaan kebarangkalian untuk menang tetap besar.

Tapi itu cerita dahulu kala. Kata orang, ‘lain hulu lain parang’. Dulu kebanyakan rakyat Malaysia sanggup bersabar dan menelan cerita-cerita dongeng politik hasil nukilan mereka yang berkuasa dengan harapan bakal menikmati setiap janji yang dilafazkan.

Hari ini mereka mungkin masih lagi boleh bersabar. Tetapi dalam waktu sama mereka sudah menjadi semakin celik. Selepas 12 pilihanraya umum, rakyat akhirnya akur betapa ciri paling menonjol BN ialah menabur pelbagai janji pada waktu kempen pilihanraya dan selepas itu hanya segelintir sahaja janji itu ditunaikan. Itupun ibarat melepaskan batuk ditangga.

Janji menjelang kempen pilihanraya ini sebenarnya adalah janji tak ikhlas. Kerja parti yang menguasai kerajaan bukannya untuk buat janji. Patutnya buat sahaja kerja, kurangkan ucapan-ucapan politik, kurangkan berlagak macam Mr. Know All dan buat sahaja apa yang perlu dilakukan untuk rakyat.

Sekiranya BN melakukan segala-galanya menurut kehendak rakyat dan bukan semata-mata menurut kehendak dan whims and fancies pemimpin dan para pak menteri, tentulah tak ada peluang langsung bagi mana-mana pembangkang, jangan kata untuk jadi Ahli Parlimen atau Adun, nak cari isu pun susah.

Tapi sebagaimana diketahui, realitinya tak semacam itu. Dana kerajaan sejak dari dulu lagi lebih banyak digunakan bagi perbelanjaan pembangunan walaupun, lebih lazim dari tidak, projek pembangunan sesuatu infrastruktur itu lebih memberi manfaat kepada sesetengah golongan kecil dan langsung tidak dapat dinikmati oleh majoriti golongan besar.

Misalnya projek mercu tanda tertentu boleh ditangguhkan sahaja pada masa lain yang lebih sesuai sekiranya mereka tahu maksud skala keutamaan dalam ekonomi dan sekiranya mereka insaf bahawa dana awam adalah untuk digunakan bagi memberikan sebanyak mana manfaat kepada sebanyak mana rakyat dan bukan untuk para kroni, para sang malaon dan kontraktor tertentu yang mendapat projek menerusi runding-terus.

Jika “rakyat didahulukan”, maka mana lebih penting menggunakan berbilion dana awam untuk membangunkan Putrajaya, membeli kapal selam serta hardware ketenteraan yang belum tentu lagi akan digunakan, membina PKFZ dan macam-mana lagi berbanding menyediakan pelbagai infrastruktur asas, mewujudkan peluang ekonomi, menyediakan program pemodenan dan sebagainya bagi, misalnya rakyat Sarawak yang masih jauh tertinggal walaupun sudah berada dalam Malaysia selama hampir 4 dasawarga.

Nak dikatakan Sarawak ini sebuah negeri miskin, tentulah tak masuk akal sama sekali kerana Bumi Kenyalang ini memiliki minyak dan kerajaan negeri pula tidak putus-putus menerima royalti minyak sejak perjanjian bersama Petronas termeterai pada tahun 1970-an. Tak tahulah besok sekiranya BN tidaklah berkuasa tetapi masih menguasai kerajaan Persekutuan. Mungkin royalti minyak Sarawak akan digantikan dengan wang ihsan dengan disertai pelbagai tahi minyak (alasan dan penjelasan) dari mereka yang bertanggungjawab. Dan dalam episod seterusnya, tidak mustahil mereka akan berjanji akan mengembalikan royalti ini sekiranya BN kembali berkuasa.

Apapun, cara main-main janji ini adalah cara UMNO-BN. Sebab itu tatkala berada di Sarawak minggu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menyindir PAKATAN dengan berkata, “janji orang belum dapat kuasa”.

Dalam menyindir-nyindir ini Najib nampaknya terlupa bagaimana pula ‘janji orang yang akan kehilangan kuasa’.

Janji orang yang belum dapat kuasa dengan janji orang yang kehilangan kuasa tak sama. Janji orang yang belum berkuasa lebih ikhlas, lebih boleh dipercayai dan lebih menjanjikan pengotaan kepada apa yang dijanjikan. Sebaliknya janji mereka yang sedang menyaksikan pelbagai petanda dan prospek akan hilangnya kuasa adalah janji orang terdesak – apa sahaja boleh dijanjikan dan apa sahaja boleh diberikan.

Maka itulah sebabnya apabila Najib mengumumkan peruntukan besar-besaran kepada Sarawak dalam kiraan berbilion-bilion ketika melawat negeri itu minggu lalu, ada anak Sarawak yang memberikan reaksi dalam portal berita dalam talian yang antara lain berbunyi: “Para pelawak dalam SUPP, PBB, PRS dan SPDP lagi. Apa jadi dengan PBDS (Parti Bangsa Dayak Sarawak dan SNAP (Sarawak National Party). Sudah hilang? Adalah sesuatu yang ironic betapa kekurangan pembangunan dipamerkan oleh pelancaran projek membekalkan tenaga elektrik bernilai RM5.8 juta (harga kira-kira 20 buah kereta Mercedes) yang tidak sepertinya oleh Najib setelah 50 tahun terlambat (QED)… Tanyalah mana-mana pengundi kawasan bandar di Sarawak dan mereka akan mengatakan kali ini mereka akan mengundi pembangkang, bukan semestinya mereka percaya calonnya tetapi ini akan memberikan mereka peluang mengubah politik di sini. Lagi pun, sekiranya pembangkang gagal, kita boleh mengundi orang lain dalam masa 5 tahun lagi. Apalah 5 tahun apabila kita telah terpedaya selama 50 tahun. (dipetik dan diterjemahkan dari Malaysian Insider) Namun begitu, Najib berjaya menyembunyikan rasa cemasnya terhadap prospek kehilangan kuasa di Sarawak dengan mengatakan betapa BN Sarawak adalah entiti yang tak mungkin dapat dicabar oleh sesiapa.

Tentu sekali cakap-cakap takbur seperti ini pernah didengari umum di zaman Tun Abdullah menjelang Pilihanraya Umum ke-12.

Najib mungkin terlupa hal tersebut sebagaimana beliau terlupa betapa politik adalah seni serba mungkin. Jika tidak masakan beliau hampir tewas kerusi Parlimen Pekan yang disandangnya sejak tahun 1977 dalam Pilihanraya Umum tahun 1999.

Dalam iklim dan realiti politik hari ini, apakah sikap terlalu-yakin seperti itu merupakan sesuatu yang berasas atau sebenarnya fantasi? - DetikDaily

Tuesday, March 9, 2010

Kalau PPSMI Tak Mansuh, Kita Demo Lagi !! - A Samad Said


Sasterawan Negara Datuk A Samad Said menegaskan iltizamnya bahawa hal pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) menjelang 2012 itu hanya penangguhan dan bukan pemansuhan.

“Jadi, kalau tidak dimansuhkan juga, kita tak akan teragak-agak untuk melakukan demonstrasi sekali lagi,” katanya sempena pelancaran buku esei Budayawan Bertindak untuk menyokong perjuangannya selama ini.

Bercakap di Muzium Shah Alambaru ini , A Samad Said berkata, pihaknya merakamkan rasa terima kasih terhadap Pas dan Harakah yang banyak membantu dalam usaha menggerakkan seluruh masyarakat untuk berhimpun dalam kejadian setahun yang lalu.

“Tanpa Pas dan bantuan Harakah untuk menyebarkan maklumat berhubung PPSMI, nescaya perjuangan memansuhkan PPSMI tidak berlaku seperti yang kita lihat pada hari ini,” tambah beliau lagi.

Pengarang novel Salina yang terkenal itu berkata, kehadiran beliau selama ini sebenarnya cuma mengisi kesusasteraan Melayu dan tidak lebih daripada itu.

“Saya bukan ‘organization man’, jadi mengapa seorang sasterawan negara yang tugas sebenarnya mengisi gerbang kesusasteraan, akhirnya telah turun ke jalan raya?” kata beliau membangkitkan soalan.

Ketika membangkitkan kenangan lalu, dalam peristiwa 7 Mac tahun lalu, beliau berkata, pihak polis pernah memujuk Hassan Ahmad bersurai, tapi hal itu ditangani rakannya itu dengan bijaksana sekali.

“Dalam keadaan polis meminta Hassan memujuk demonstran agar menyuraikan perhimpunan itu, beliau dengan warasnya telah memberitahu bahawa tugas pihak polis ialah untuk mengamankan perhimpunan itu.

“Tetapi, ada yang tersirat di situ yang tidak diluahkannya kepada pihak polis, iaitu tugas kamilah pada hari itu yang menggelorakan perhimpunan tersebut,” kata beliau, lalu disambut ketawa hadirin.

Sementara itu, berucap dalam majlis yang sama, Pengerusi GMP, Datuk Hassan Ahmad dengan bergurau berkata, perhimpunan menyerahkan memorandum itu tidak sepatutnya diganggu oleh pihak polis.

“Mula-mula mereka beri permit perhimpunan, kemudian tarik balik, jadi kita tiada pilihan, apa yang kita nak beritahu kepada orang-ramai kalau mereka bertanya?

“Lagi pun, ini sebenarnya demonstrasi, atau perhimpunan demonstrasi, tetapi ia macam suatu perarakan saja, ia seolah-olah macam perarakan untuk menyambut Maulud Nabi, salahkah?” kata beliau, disambut ketawa orang-ramai.

Majlis itu diakhiri dengan penyampaian hadiah daripada Pengerusi GMP Datuk Dr Hassan Ahmad kepada keluarga demonstran; Ismadei Sahnam bersama isterinya, Nur Asyikin Ahmad Saibi, empat anak mereka; Nur Isma Dalilah, Mohd Isma Danish, Nur Isma Dania, dan Mohd Isma Danial.

Keluarga Ismadei Sahnam adalah antara keluarga yang mana setiap anggotanya telah turun semuanya untuk menyatakan bantahan terhadap dasar PPSMI tersebut. - erapakatan

Saturday, March 6, 2010

Khabar Angin Pilihanraya Negeri Perak Berkumandang Lagi


Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan khabar angin kononnya pilihan raya negeri Perak akan diadakan serentak dengan pilihan raya negeri Sarawak.

Katanya, perkara tersebut tidak seharusnya berbangkit lagi kerana isu di Perak telah pun selesai.

"Masih ada lagi tiga tahun sebelum sampai tempoh hayat Dewan Undangan Negeri (Perak) dan Parlimen, jadi yang penting sekarang bila mandat telah disahkan, kesahihan sudah tidak dipersoalkan, kita bekerjalah," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Juara Rakyat peringkat negeri Perak dan kempen Jom Sokong BN di Taman Tasek YDP di Slim River.

Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata keutamaan kerajaan negeri sekarang adalah untuk membangunkan ekonomi dan rakyat kerana itu yang ditunggu oleh mereka.

"...yang penting bukan membentuk kerajaan sahaja, yang penting ialah apa kerajaan hendak buat untuk rakyat. Rakyat sekarang menunggu," ujarnya apabila diminta mengulas mengenai khabar angin berkaitan pilihan raya negeri Perak.

Perak dilanda kemelut tahun lepas apabila timbul pertikaian mengenai kedudukan Menteri Besar yang sah setelah Barisan Nasional (BN) mempunyai majoriti dalam dewan selepas dua anggota daripada PKR dan seorang daripada DAP meninggalkan parti masing-masing untuk menyokong Barisan Nasional, dan seorang lagi daripada PKR yang menyertai parti itu daripada Umno, bertindak kembali kepada Umno.

Pada 9 Feb lepas, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah dan pelantikan beliau oleh Sultan Perak Sultan Azlan Shah bagi menggantikan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin adalah mengikut Perlembagaan.

Muhyiddin sementara itu berkata laporan yang diterima menunjukkan
penerimaan rakyat terhadap kerajaan negeri BN di Perak kini semakin bertambah baik.

Pendekatan 3P iaitu padang, perasaan dan penyelesaian yang diperkenalkan kerajaan negeri Perak telah membawa hasil kerana sememangnya rakyat sentiasa memerlukan perkhidmatan seperti itu, katanya.

Katanya, kemampuan Zambry memimpin negeri walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran getir adalah memuaskan.

"Nampak dia (Zambry) sabar di samping faham apa tanggungjawab dia walaupun dalam keadaan mencabar, dia tetap menjalankan tugas dan saya percaya rakyat Perak tahu menilai...dengan keadaan yang sudah stabil sekarang ini, saya kira dia boleh melakukan banyak lagi kerja untuk membantu rakyat," tambahnya.

Selain Zambry, turut hadir menyertai perhimpunan kira-kira 5,000 penyokong BN itu ialah Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta pemimpin parti komponen BN Perak. - Bernama

nuff

Visited Since 090322

Followers

Komen Terkini

Categories

My Page Rank

Labels

Blog Widget by LinkWithin
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Bluehost