Wednesday, April 14, 2010

Calon BN P94 Hulu Selangor: Khairy Sokong Mugilan


Pengerusi pemuda BN Khairy Jamaluddin berkata beliau tidak mengetahui golongan mana yang masih inginkan timbalan presiden MIC, Datuk G Palanivel sebagai calon di pilihan raya kecil Hulu Selangor.

Beliau bagaimanapun mengakui wujudnya satu golongan dalam MIC di kawasan itu yang mengugut untuk memboikot pilihan raya tersebut sekiranya Palanivel tidak diletakkan sebagai calon.

BN dijadual mengumumkan calonnya pada jam 4 petang esok bagi pertandingan pada 25 April ini, namun hampir separuh daripada ketua-ketua cawangan MIC kawasan itu hari ini secara terbuka menyatakan sokongan kepada Palanivel.

Ada yang membayangkan untuk memulaukan pilihan raya tersebut sekiranya cadangan untuk mencalonkan Palanivel itu ditolak oleh BN.

Menurut Khairy, berdasarkan maklum balas yang diterima, masyarakat di kawasan itu mahukan calon daripada golongan muda MIC dan bukannya Palanivel seperti yang ditekan oleh golongan berkenaan.

Katanya, keputusan daripada pemimpin BN mengenai penentuan calon parti itu perlulah dihormati.

"Ugut-mengugut ini bukanlah satu perkara sihat," kata Khairy ketika ditemui Malaysiakini di lobi parlimen hari ini.

Beliau juga mendakwa tidak mengetahui kononnya ada kumpulan yang masih menyokong Palanivel sebagai calon.

"Saya tidak tahu. Saya tidak tahu. Yang saya boleh jawab,sebagai pengerusi pemuda BN, feedback yang saya terima, inginkan kepada calon muda.

"Kemahuan mereka adalah untuk calon MIC dan perdana menteri telah jawab akan diberikan calon MIC.

"Jadi saya tidak tahu apa masalahnya (lagi). Mungkin ini sebahagian atau keseluruhan daripada parti MIC saya tidak tahu tapi akhirnya kita kena lihat keputusan yang akan dibuat.

"Saya dah turun dah dapat banyak feedback dan nampak gayanya hendak kepada calon tempatan. Orang muda hendak kepada calon muda," katanya.-Malaysiakini

Tuesday, April 13, 2010

Kontrak APCO Bernilai RM77 Juta Setahun ???


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz hari ini mendedahkan di Dewan Rakyat bahawa kontrak yang dimeterai antara kerajaan dengan firma perunding perhubungan Apco Worldwide bernilai hampir RM77 juta.

Dalam jawapan bertulisnya kepada Tian Chua (PKR-Batu), jumlah yang didedahkan Nazri itu adalah dua kali ganda daripada yang dilaporkan sebelum ini.

Tian Chua merujuk laporan akhbar yang memetik Nazri, sebelum ini sebagai berkata jumlah yang dibayar kepada Apco berjumlah RM28 juta.

Bagaimanapun dalam jawapannya berhubung soalannya itu, Nazri berkata jumlah yang dibayar kepada Apco bernilai US$24 juta.

"Tukarkan jumlah itu dalam ringgit dan anda akan mendapat hampir RM77 juta."

Tian Chua berkata jumlah itu adalah untuk bayaran selama setahun.

"Saya tidak tahu sama ada dia tersilap atau membuat perkiraan yang salah berhubung kadar tukaran asing ringgit kepada dolar. Mungkin dia berfikir bahawa ringgit Malaysia masih kukuh dan nilainya hampir sama dengan dolar,” katanya dengan nada sinis.

Tian Chua melahirkan rasa tidak percayanya bahawa jumlah wang yang sebegitu banyak dibayar kepada firma asing sedangkan syarikat tempatan juga mampu melakukan tugas yang sama.

"Adakah perkhidmatan Apco begitu istimewa yang memerlukan bayaran sebegitu tinggi? Kenapa tiada syarikat tempatan diambil. Saya pasti firma tempatan mampu melakukan kerja itu,” katanya lagi. - Malaysiakini

Monday, April 12, 2010

'Saya Kata Sudah Soal, Sudah Soal, Cukuplah Tu..' - Nazri


Kes Altantuya: SPRM siasat Deepak, Nazim - Malaysiakini

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz mengesahkan hari ini bahawa Suruhanjaya Pencengahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyoal ahli perniagaan Deepak Jaikishan dan adik Perdana Menteri, Datuk Nazim Razak.

Siasatan itu adalah berhubung pengakuan bersumpah penyiasat persendirian, P Balasubramaniam berkaitan pembunuhan model warga Mongolia, Altantuyaa Shaariibuu.

Bagaimanapun apabila disoal lanjut, Nazri jelas kurang senang dan tidak mahu melayan soalan wartawan.

“Saya kata kita sudah soal, sudah soal, cukuplah tu.”

Nazri (kiri) sebelum itu bercakap kepada pemberita di lobi parlimen selepas sessi soal jawab.

Pada sessi di parlimen sebelum itu, Nazri menjawab soalan daripada Tian Chua (PKR-Batu) mengenai status siasatan berhubung dakwaan Balasubramaniam.

Menurutnya, SPRM masih tidak boleh meneruskan siasatan kerana belum mendapat pengakuan daripada penyiasat persendirian itu.

"Kita tidak tahu di mana dia berada. Kita tidak boleh meneruskan siasatan tanpa pengakuannya,” kata Nazri.

Menurut beliau lagi, kerajaan tidak dapat mengekstradisi Balasubramaniam bagi menyelesaikan kes pengakuan bersumpahnya kerana lokasi sebenar penyiasat persendirian itu tidak diketahui.

Pada sidang media 3 Julai 2008, Balasubramaniam (kanan) mengedar satu akuan bersumpahnya berkaitan pembunuhan Altantuya, tetapi keesokannya menarik balik akuan bersumpah itu dan mengemukakan satu akuan bersumpah lain.

Dia kemudian menghilangkan diri dipercayai ke luar negara bersama keluarga.

Balasubramaniam pernah mendakwa keluarga perdana menteri memintanya membatalkan akuan bersumpah pertamanya dan bersedia disiasat SPRM dengan syarat ia diadakan di luar negara.

Sunday, April 11, 2010

Perwakilan MCA Silap Pilih Chua Soi Lek Sebagai Presiden - Awang Selamat

Kolumnis kontroversi Mingguan Malaysia, Awang Selamat secara terbuka menegaskan bahawa perwakilan MCA telah melakukan kesilapan dengan memilihkan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek sebagai presiden parti itu.

"Apa yang berlaku seolah-olah MCA ketandusan pemimpin dan tidak berani menyandar harapan kepada pemimpin pelapis," tulis Awang dalam kolum mingguannya.

Awang mendakwa perwakilan parti itu - yang merupakan komponen BN - gagal membawa aspirasi masyarakat Malaysia dalam memilih pemimpin yang terbaik dalam semua aspek terutama akhlak.

"Soi Lek sepatutnya besar dan tidak semestinya bertanding hanya kerana ada sokongan daripada ahli MCA.

"Skandal tersebut adalah sesuatu yang serius. Pemimpin harus bersih atau setidak-tidaknya kelihatan bersih," tambahnya.

Dalam pemilihan MCA baru-baru ini, Chua terpilih sebagai presiden baru MCA dengan menewaskan penyandangnya, Datuk Seri Ong Tee Keat dan seorang lagi pencabar, Tan Sri Ong Ka Ting.

Awang menyifatkan tindakan Chua untuk bertanding jawatan lebih tinggi sampai ke puncak, hanya menampakkan beliau pentingkan diri.

"Awang bukan berniat mencampuri urusan MCA tetapi isu moral tidak boleh diambil ringan.

"Jika pemimpin BN mempersoalkan moral pemimpin utama pembangkang, mengapa pula MCA boleh berkompromi dalam hal tersebut," tambahnya.

Namun begitu, kata Awang, beliau secara peribadi tetap menghargai keberanian Chua kerana membuat pengakuan terlibat dalam skandal seks.

Sehubungan itu, beliau memuji langkah Ketua Wanita MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun yang melepaskan jawatannya dalam parti dan kerajaan atas prinsip tidak dapat menerima Chua sebagai peneraju parti itu berikutan skandal DVD seks.

"Awang angkat topi kepada Mei Fun. Beliau berpegang kepada prinsip," tulis Awang lagi.

Bila lagi Samy mahu berundur?

Dalam tulisannya minggu ini, Awang turut mengulas tentang pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor.

"Awang masih yakin BN boleh menang asalkan mengambil strategi yang betul terutama soal calon.

"Pilihlah calon terbaik. Seboleh-bolehnya pemimpin setempat, muka baru dan mempunyai imej yang baik," tulis awang sambil menambah penentuan calon amat penting apatah lagi MIC berdepan dengan banyak isu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa MIC kekal bertanding dalam pilihan raya kecil tersebut, tetapi tidak menamakan calonnya.

MIC telah mengemukakan nama timbalan presidennya, Datuk G Palanivel untuk sekali lagi bertanding di situ. Dalam pilihan raya umum 2008, Palanivel tewas kepada calon PKR, Datuk Zainal Abidin yang meninggal dunia baru-baru ini kerana barah otak.

Umno bahagian yang sebelum ini mendesak supaya calonnya dipilih bertanding di situ, kemudiannya akur dengan keputusan Najib tetapi menegaskan mereka tidak mahu Palanivel dicalonkan semula.

Awang menulis bahawa pemulihan sokongan masyarakat India belum meyakinkan, yang menurutnya, ada kaitan juga dengan faktor presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu.

"Bila lagi beliau mahu berundur? Walaupun Samy Vellu pernah membayangkan sudah mempunyai pelan peralihan tetapi semuanya masih kabur, seolah-olah beliau mahu terus memimpin MIC sehingga pilihan raya umum depan.

"Pada Awang, isu Samy Vellu lebih menarik daripada pilih raya kecil. Jika beliau mahu membantu kejayaan BN pada pilihan raya itu nanti, maka lebih elok jika beliau mengumumkan pelan peralihan dalam masa terdekat.

"Jika Samy Vellu sayangkan MIC dan BN, beliau perlu berundur. Usahlah berdolak-dalik lagi dengan pelbagai alasan," tulis Awang.-Malaysiakini

Friday, April 2, 2010

16 SEPTEMBER: Anwar Akui Hantar Surat Kepada Agong


Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengaku beliau ada menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 19 Sept 2008 untuk memohon menghadap bagi memaklumkan sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat terhadap pakatan pembangkang bagi membentuk kerajaan.

Pengakuan Anwar itu dibuat ketika beliau mencelah ucapan penggulungan Menjunjung Kasih Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz di Dewan Rakyat, malam semalam.

"Pada 18 September, saya mendapat persetujuan pimpinan tiga parti pembangkang iaitu Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Lim Kit Siang untuk menulis kepada Perdana Menteri (Tun Abdullah Ahmad Badawi) supaya diadakan sidang khas Parlimen bagi membincangkan usul dewan sudah hilang kepercayaan terhadapnya dan kepimpinan beliau.

"Mustahil jika saya berani menulis surat itu jika saya tidak mendapat perakuan Ahli Parlimen lain dan selepas surat itu ditolak, saya menulis pula kepada Speaker tetapi turut ditolak dan kemudian kepada Tuanku Mizan," katanya.

Pendedahan Anwar itu menyebabkan Dewan Rakyat riuh seketika.

Bagaimanapun, beliau tidak pula menyebut nama-nama anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) yang didakwanya telah membuat perakuan untuk menyokong pakatan pembangkang ketika itu.

Mohamed Nazri berkata Anwar sudah pasti akan menghantar surat tersebut terus kepada Seri Paduka Baginda jika beliau berjaya "menarik" antara 20 hingga 30 anggota Parlimen BN tanpa perlu bersusah-payah mengikut saluran pertama dan kedua itu.

"Sepatutnya Anwar membawa tandatangan 20 atau 30 orang yang berjaya ditariknya dari BN kepada Yang di-Pertuan Agong, tetapi dia tidak ada. Pembangkang ada 82 dan BN ada 140, bagaimana nak buat undi tak percaya itu," katanya.

Mohamed Nazri juga berkata dakwaan bahawa ramai anggota Ahli Parlimen BN melompat parti untuk menyertai pakatan pembangkang adalah tidak benar, sebaliknya, anggota Parlimen mereka pula yang keluar parti untuk menjadi calon Bebas.

Katanya, tuduhan bahawa BN memberi imbuhan atau sogokan kepada wakil rakyat pembangkang yang menyertai BN juga tidak berasas dan rakyat boleh menilai sendiri pembohongan itu selepas anggota Parlimen terbabit membuat pendedahan.

Beliau berkata BN tidak perlu mencuri wakil rakyat pembangkang kerana mereka mempunyai kerusi mencukupi di Dewan Rakyat walaupun bukan dua pertiga.

SPRM tahan 25 ahli politik

Mengenai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamed Nazri berkata, bagi tempoh 1 Jan 2009 hingga 28 Feb lepas, seramai 25 ahli politik ditahan dan 15 daripadanya dihadapkan ke mahkamah.

Daripada jumlah tersebut, beliau berkata 13 daripada BN.

"Ini membuktikan SPRM badan profesional dan bukannya alat politik UMNO dan BN. Sumbangan agensi itu perlu diberi pengiktirafan tinggi kerana siasatan dilakukan tanpa dipengaruhi arahan mana-mana pihak," katanya lagi.

Dewan kemudian meluluskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Persidangan dewan bersambung Isnin ini.

--Bernama

nuff

Visited Since 090322

Followers

Komen Terkini

Categories

My Page Rank

Labels

Blog Widget by LinkWithin
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Bluehost