Saturday, March 6, 2010

Najib Tidak Hadir Untuk Merasmikan AGM MCA?

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak akan menghadiri perhimpunan agung tahunan (AGM) MCA Ahad ini.

Setiausaha akhbarnya, Tengku Sharifuddin Tengku Ahmad memberitahu Malaysiakini malam ini bahawa perdana menteri tidak akan merasmikan AGM parti itu yang akan berlangsung di ibupejabat MCA di ibunegara Ahad ini.

Mengikut tradisinya, perdana menteri dijemput merasmikan perhimpunan agung tahunan parti-parti komponen BN.

Keputusan untuk meneruskan AGM itu Ahad ini dibantah oleh sayap Pemuda dan Wanita MCA serta naib presidennya, Datuk Seri Liow Tiang Lai.

Tengahari tadi, jawatankuasa pusat sementara - dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Presidennya, Datuk Seri Ong Tee Keat - mahu AGM itu diteruskan seperti yang dirancang, walaupun dibantah keras oleh ketua Pemudanya, Datuk Wee Ka Siong dan Ketua Wanitanya, Datin Paduka Chew Mei Fun.

Kedua-duanya kemudiannya bertindak meninggalkan mesyuarat tersebut.

Pagi tadi, Kedua-dua sayap tersebut telah mengadakan mesyuarat exco tergempar untuk membatalkan AGM masing-masing yang dijadualkan diadakan esok.

Jawatankuasa pusat sementara itu - tanpa 21 anggotanya yang meletak jawatan semalam - memutuskan untuk meneruskan AGM Ahad ini dan mengarahkan Pemuda dan Wanitanya turut berbuat demikian.

Dipercayai Chua dan Liow mahu AGM itu ditangguhkan dan diadakan ketika pemilihan baru kepimpinan parti itu pada 28 Mac depan. - Malaysiakini

Friday, March 5, 2010

PAS Cabar Mufti Perak Masuk Politik, Jangan Perlekeh Pakatan Rakyat


PAS mencabar Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria meletakkan jawatannya untuk bergiat aktif dalam politik termasuk bertanding pilihan raya daripada mengeluarkan kenyataan-kenyataan memperlekehkan kerjasama Pakatan Rakyat.

“Saya mencabar Tan Sri Harussani meletakkan jawatan sebagai mufti dan beliau secara langsung terlibat dalam politik,” kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar ketika dihubungi The Malaysian Insider.Sambil menyifatkan Harussani sepatutnya memahami persekitaran kerjasama sebelum 8 Mac 2008, Mahfuz berkata, PAS tidak wajar memutuskan hubungan yang telah dijalin bersama komponen Pakatan Rakyat

“Saya tidak tahu apa yang berlaku itu (perbincangan selepas pilihan raya umum).

“Tetapi yang penting, bolehkah kita yang ada Pakatan Rakyat, menyertai pilihan raya secara bersama dengan mereka, jatuh bangun dan susah payah menghadapi pilihan raya... tidak boleh mengkhianati semangat setiakawan yang telah dibentuk,” kata Mahfuz.

Mahfuz memberitahu Harussani sebagai mufti seharusnya faham dalam Islam juga tidak digalakkan memungkiri janji kerjasama yang telah dijalin dengan DAP dan PKR.

Malah Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berharap Harussani tidak menghalalkan unsur-unsur rasuah yang didakwa diamalkan oleh kalangan pemimpin BN-Umno.

Sehubungan itu, Mahfuz juga menambah bahawa kelihatan masih ada usaha di kalangan Umno dan BN termasuk menggunakan mufti untuk melakukan usaha ‘menarik’ wakil-wakil rakyat.

Kata beliau, ia menunjukkan Umno-BN terus berada dalam suasana cemas untuk mendapatkan kuasa dengan menarik sokongan wakil rakyat Pakatan Rakyat.

BN mengambil alih kerajaan negeri Perak pada Februari 2009 ekoran tindakan tiga Adun Pakatan Rakyat keluar parti dan sekali gus menjadi wakil rakyat Bebas mesra BN.

Mahfuz mengulas kenyataan Harussani mendakwa PAS bersikap angkuh dengan menolak syor agar dibentuk kerajaan campuran di negeri itu pada 2008.

Beliau menceritakan keangkuhan PAS Perak yang menolak mentah-mentah cadangan penubuhan kerajaan perpaduan di negeri itu walaupun secara dasarnya ia diperkenan oleh Sultan Perak, Raja Azlan Shah dan juga dipersetujui oleh kepimpinan tertinggi parti itu.

Kata beliau apabila dikemukakan cadangan penubuhan kerajaan campuran antara PAS dan BN, Pesuruhjaya PAS Perak, Ahmad Awang terus berkata pihaknya tidak akan bersekongkol dengan orang Umno yang zalim dan lebih baik berkawan dengan kafir yang dirujuk kepada DAP.

Mengimbas kembali perkara itu, Harussani berkata, cadangan itu bermula selepas pilihan raya umum apabila DAP dan BN masing-masing mendapat 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bermaksud PAS akan menjadi penentu kepada kerajaan yang akan dibentuk.

Katanya, beliau dilantik sebagai orang tengah dan persoalan yang timbul ialah daripada 28 wakil rakyat BN hanya seorang Cina.

“Kenapa PAS tidak boleh bergabung untuk membentuk kerajaan yang sudah pasti akan memperoleh majoriti 100 peratus Melayu memerintah.

“Saya telah berjumpa dengan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kelantan dan berbincang hampir dua jam, pada awalnya beliau tidak bersetuju tetapi akhirnya dia kata idea itu bagus tetapi tidak dapat memberi keputusan kerana ia bergantung kepada Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Saya maklumkan bahawa tidak berapa rapat dengan Hadi, jadi jika cadangan itu baik saya minta beliau (Nik Aziz) maklumkan kepada Hadi. Semasa dalam perjalanan balik iaitu berada di Cameron Highlands, Hadi telah hubungi saya dan bersetuju dengan cadangan itu.

?”Tetapi Hadi kata dia tidak boleh buat keputusan kerana ia bergantung pada negeri iaitu Pesuruhjaya PAS Negeri (Ahmad). Saya juga telah hubungi Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din dan dia juga bersetuju,” katanya.

Jelas Harussani, semasa sampai di Ipoh beliau yang optimis dengan cadangan itu yang turut disokong kepimpinan tertinggi PAS telah menghubungi Ahmad, tetapi malangnya jawapan yang diterima amat mendukacitakan.

Beliau mendakwa, PAS Perak sebenarnya telah diperalatkan oleh DAP bagi memenuhi kepentingan tuntutan politik mereka.

“Contohnya semasa orang Melayu berbaring di atas jalan raya bagi menghalang laluan kereta Sultan Perak pada masa itu, langsung tiada orang DAP turut serta dan apabila saya tanya, mereka (orang Cina) berkata itu kerja Melayu, kami banyak lagi kerja lain nak dibuat,” katanya.

Bagaimanapun kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat dengan menteri besar dari PAS hanya bertahan 10 bulan.

Ia digulingkan apabila tiga Adun Pakatan Rakyat keluar PKR dan DAP, sekali gus menjadi wakil rakyat Bebas.M/I

Thursday, March 4, 2010

Chua Soi Lek Letak Jawatan, Pemilihan Baru MCA Dalam Tempoh Sebulan


Datuk Seri Dr Chua Soi Lek hari ini mengumumkan peletakan jawatannya sebagai timbalan presiden MCA.

Pengumuman itu dibuat di Wisma MCA di Kuala Lumpur, hari ini.

Selain dirinya, Chua (kiri) juga mengumumkan peletakan jawatan tujuh ahli jawatan kuasa pusat.

Mereka termasuk Datuk Seri Kong Cho Ha, Datuk Seri Tan Chai Ho, Loh Seng Kok, Datuk Chong Itt Chew, Datuk Gan Tian Loo, Tee Siew Keong dan Por Choo Chor.

Dengan peletakan jawatan itu, presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat kini tidak mempunyai banyak pilihan selain mengadakan pemilihan baru kepemimpinan parti.

Chua juga menuntut pemilihan baru diadakan dalam tempoh sebulan untuk menyelesaikan krisis parti itu.

Sebelum ini, 13 anggota jawatankuasa pusat yang diketuai oleh Naib Presiden, Datuk Seri Liow Tiong Lai turut berbuat demikian.

Ini bermakna 21 orang iaitu dua pertiga daripada anggota CC yang dipilih, telah meletak jawatan bagi membolehkan pemilihan baru diadakan.

'Presiden tak tahu'

Sementara itu ketika ditanya sama ada beliau telah memberitahu presiden parti mengenai tindakannya itu, Chua berkata beliau tidak berbuat demikian.

Beliau juga meminta supaya mesyuarat agung tahunan MCA hujung minggu ini ditangguhkan.

"Peletakan jawatan ini adalah untuk memenuhi janji saya pada EGM (mesyuarat agung luar biasa) tahun lepas di mana saya telah mengutarakan pandangan bahawa kita mungkin perlu pemilihan baru agar kemelut parti dapat ditangani.

Chua berkata beliau dan kumpulan yang telah meletak jawatan itu tidak akan menghadiri mesyuarat CC esok atau mesyuarat sayap Pemuda dan Wanita dan juga sambutan ulang tahun parti itu esok.

"Kami tidak akan hadir kerana kami telah meletak jawatan. Saya minta semua ahli CC yang terpilih seharusnya mereka sedar dan insaf tentang tanggungjawab dan hak mereka.

"Saya kata tidak ada satu pemimpin yang lebih penting daripada parti, sebab itu saya tolak tawaran sebagai pengerusi akhbar The Star," katanya.

Ketika ditanya sama beliau akan bertanding semula jawatan timbalan presiden atau jawatan lain pada pemilihan akan datang, Chua berkata beliau akan membuat keputusan selepas parti menetapkan tarikh penamaan calon dan pemilihan parti.

Kumpulan 13 juga letak jawatan

"Yang penting ialah parti bukannya soal pemimpin atau kepentingan diri melebihi parti," kata beliau.

Chua berkata sejak Januari hingga semalam, beliau telah menerima surat peletakan jawatan daripada tujuh anggota CC yang dipilih.

Dalam pada itu, Liow yang juga mengadakan sidang media berasingan di Wisma MCA berkata beliau telah menyerahkan surat perletakan jawatan 13 anggota jawatankuasa pusat MCA, termasuk dirinya kepada setiausaha agung parti itu, Datuk Wong Foon Meng.

Surat perletakan jawatan berkenaan bertarikh 3 Mac.

Mereka ialah Lee Wei Kiat, Dr Hou Kok Chung, Datuk Yu Chok Tow, Wong Nai Chee, Datuk Wee Jeck Seng, Datuk Dr Yeow Chai Thiam, Datuk Hoh Khai Mun, Datuk Liew Yuen Keong, Datuk Wong Mook Leong, Datuk Edward Khoo Keok Hai dan Datuk Alex Wong Siong Hwee.

Liow bagaimanapun menafikan kumpulannya berkomplot dengan Chua untuk memaksa pemilihan baru pucuk pimpinan MCA diadakan.

Mengikut Fasal 41 perlembagaan MCA, pemilihan perlu diadakan dalam tempoh sebulan jika 21 anggota CC meletak jawatan.-Malaysiakini

Wednesday, March 3, 2010

Yit Fong 25m, Zahrain 45m, Fairuz 15k, Salahudin 50k, Zulkifli Pulak Agak2 Berapa m....???


Hebatnya mereka ini. Itulah harga diri mereka ini. Tidaklah diketahui samada maklumat di atas betul atau tidak , tetapi memandangkan sumber maklumat ini adalah dari pihak atasan dan dalaman , adalah benar agaknya angka – angka di atas tadi.

Dan antara yang masih bertahan hingga kini ialah YB Zulkifli Nordin.

Kalau Hee Yit Fong berharga 25 Juta , Zahrain kerana kontrak 45 Juta tak tau lah berapa pulusnya , Fairus katanya mintak bayar ansuran kereta mewah 15,000 sebulan , Sallehudin pulak kerana gaji CEO Kumpulan Perangsang ditawarkan 50,000 tapi tak dapat , maka tentu Najib dah bayar lebih dari tu kot dan terbaru Tan Tee Beng dapat 2 Juta.

Kira – kiranya belanja sakan Najib !!!

Agak – agaknya berapa yang sedang dirundingkan oleh YB Zulkifli Nordin dengan Najib ?. YB Zulkifli Nordin ni hebat sikit , berbanding dengan yang lain – lain seperti zahrain , Hee , Sallehudin , Tan Tee Beng , sudah tentu runding harga terbaik sedang diperhalusi.

Ni kira – kira tender tertutup atau runding terus lah. - TKO

Tuesday, March 2, 2010

Wakil Rakyat Bebas & Majoriti 2/3 Dewan Rakyat


Jika 10 Ahli Parlimen Pakatan Rakyat keluar dari parti masing-masing sekarang, Barisan Nasional secara automatik akan kembali menguasai dua pertiga majoriti Dewan Rakyat.

Sebenarnya majoriti mudah dengan lebihan satu kerusi pun sudah cukup untuk mana-mana parti menguasai kerajaan.Namun, penguasaan dua pertiga membolehkan parti pemerintah meminda Perlembagaan Persekutuan seperti melakukan persempadanan semula kawasan pilihan raya dan mengubah kuasa-kuasa kerajaan negeri.

Sekiranya lompatan itu berlaku, Barisan yang hilang majoriti dua pertiga dalam pilihan raya umum 2008 akan kembali berkuasa untuk meminda Perlembagaan dengan sewenang-wenangnya.

Oleh kerana Malaysia tidak mempunyai undang-undang anti-lompat, mana-mana wakil rakyat boleh meninggalkan partinya atau menyertai parti lain tanpa menjejaskan kedudukannya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri atau Ahli Parlimen.

Walau pun lompatan mereka sah di segi undang-undang, ia menjadi cemuhan di segi moral kerana dianggap mengkhianati mandat dan amanah pengundi.

Biasanya yang melompat itu dari pembangkang kepada parti pemerintah. Yang menjadi satu fenomena baru adalah melompat parti tanpa menyertai parti lain; sebaliknya mengisytiharkan diri sebagai wakil rakyat bebas.

Ini mungkin dilakukan untuk mengurangkan kemarahan pengundi yang telah memilih parti dan bukannya calon sewaktu pilihan raya. Ia juga bertujuan memberi persepsi bahawa wakil rakyat bebas tidak perlu mengikut telunjuk mana-mana parti.

Ini bermula dengan Datuk Ibrahim Ali yang menang di bawah lambang Pas di Kelantan mengisytiharkan dirinya sebagai Ahli Parlimen bebas sebaik sahaja selesai pilihan raya umum 2008. Beliau amat mesra sekali dengan Umno.

Pada September 2008, apabila Parti Maju Sabah (SAPP) mengumumkan keluar dari Barisan, dua Ahli Parlimennya mengumumkan diri mereka sebagai wakil rakyat bebas. SAPP marah dengan Barisan dalam soal hak Sabah tetapi tidak pula mesra dengan Pakatan.

Pada Februari 2009, tiga Adun Pakatan Rakyat di Perak — dua dari PKR dan satu dari DAP — mengumumkan keluar parti untuk menjadi calon bebas. Keputusan mereka menyebabkan tumbangnya kerajaan negeri Pakatan Rakyat di negeri itu. Mereka juga adalah pencipta istilah “wakil rakyat bebas mesra Barisan Nasional”.

Baru-baru ini, dua Ahli Parlimen PKR Datuk Seri Zahrain Hashim dan Tan Tee Beng keluar parti dan turut mengisytiharkan diri wakil rakyat bebas. Mereka tidak menyatakan secara terbuka kemesraan terhadap Barisan tetapi kebencian meluap dilafazkan secara terbuka terhadap pucuk pimpinan PKR dan DAP.

Bekas Setiausaha Agung PKR Datuk Salehuddin Hashim yang turut meninggalkan parti telah menyatakan ada sekurang-kurangnya 10 lagi wakil rakyat PKR yang dijangka keluar parti. Beliau turut memperlekehkan kepimpinan parti yang ditinggalkannya itu.

Mengapa wakil-wakil rakyat ini memilih untuk menjadi “bebas” dan tidak terus menyertai parti lain terutamanya parti-parti komponen Barisan Nasional khususnya Umno?

Jawapan yang sinis akan menyatakan mereka hanya menunggu masa yang sesuai apabila marah para pengundi sudah reda. Tetapi yang tersirat kadang-kala berbeza dari yang tersurat.

Jika benar ada lebih 10 Ahli Parlimen Pakatan keluar parti, ia merupakan tamparan hebat dan serangan saraf yang paling teruk terpaksa dihadapi oleh Pakatan Rakyat.

Gabungan pembangkang itu bukan sahaja akan kehilangan kuasa untuk menghalang majoriti dua pertiga Barisan di Parlimen tetapi juga terpaksa menelan hakikat pahit kekalahan di luar medan pilihan raya.

Bagi Barisan pula, ia akan menjadi kemenangan paling besar setelah kebanyakan parti komponennya, selain Umno, ditolak oleh rakyat dalam pilihan raya umum lalu.

Jadi, kesannya kepada kedua-dua pihak amat serius sekali.

Dengan itu, harga individu wakil rakyat bebas ini akan melambung secara mendadak jika mereka mengisytiharkan diri sebagai “mesra Barisan” atau setidak-tidaknya memberi gambaran buruk terhadap Pakatan yang mereka tinggalkan itu.

Habuan yang bakal mereka terima mungkin jauh lebih besar daripada jika sekadar terus menyertai masuk mana-mana parti dalam Barisan dalam masa yang terdekat ini.

Itulah nilai sebenar menjadi seorang wakil rakyat bebas yang mesra dengan Barisan.

Kedudukannya berbeza pula dengan dua Ahli Parlimen SAPP kerana mereka telah mengambil jalan yang bertentangan dengan meninggalkan Barisan. Tetapi sebagaimana yang diketahui umum, kebanyakan orang politik yang pernah duduk bersama parti pemerintah, mereka jarang berpaut di dahan yang rapuh.

Di segi kesan jangka panjang, jika fenomena mesra dengan parti pemerintah ini berterusan, istilah “wakil rakyat bebas” mungkin dicatatkan sebagai sesuatu yang buruk dan keji dalam arena politik Malaysia.

Berbeza dengan amalan demokrasi moden, “bebas” dalam konteks politik tempatan amat berbeza dengan “independent” yang biasanya dimaksudkan dengan individu atau kumpulan ahli politik yang bosan dengan parti-parti yang ada dan mahu mewujudkan pilihan ketiga kepada rakyat.

Di kebanyakan negara Barat, lebih 40 peratus pengundi tidak membuang undi kerana tidak puas hati dengan pilihan yang ada. Jadi banyak individu atau kumpulan politik mempamerkan diri mereka sebagai “bebas” dengan harapan untuk meraih undi dari kumpulan yang kecewa dengan amalan politik semasa. Ini dilakukan dengan cara mengemukakan idea dan manifesto yang berbeza dari parti-parti tradisional.

Sebaliknya, di Malaysia, calon atau wakil rakyat bebas jarang mendapat perhatian. Biasanya mereka digelar sebagai “kacau daun” sewaktu pilihan raya sahaja kecuali beberapa individu yang dihormati sebagai orang yang benar-benar mewakili kepentingan rakyat.

Dalam catatan sejarah politik tanah air, antara mereka yang terkenal dengan kegigihan sebagai seorang wakil yang benar-benar berkhidmat untuk rakyat adalah Abdul Jabar Mohamad Yusof atau lebih terkenal dengan panggilan Cikgu Jabar. Beliau menjadi wakil rakyat bebas bagi DUN Batu Laut (sekarang DUN Tanjung Sepat) Selangor selama tiga penggal berturut-turut setelah menang dalam pilihan raya umum 1974, 1978 dan 1982.

Tetapi dalam keadaan sekarang, istilah “wakil rakyat bebas” seolah-olah sedang menuju ke arah “doublespeak” atau pemesongan makna; sama nilainya seperti luahan kata-kata indah yang biasa didengar dari mulut ahli-ahli politik.

Ia juga akan menjejaskan proses kematangan demokrasi Malaysia. Setakat ini, belum ada tanda-tanda “bebas” itu bererti kuasa atau pilihan ketiga. Malah usaha untuk mewujudkan sistem dua parti juga akan malap jika ada lagi lompatan dari mereka yang mahu bergelar “wakil rakyat bebas” — kerana akhir-akhir ini arah lompatan itu sehala sahaja.M/I

nuff

Visited Since 090322

Followers

Komen Terkini

Categories

My Page Rank

Labels

Blog Widget by LinkWithin
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Bluehost