Saturday, May 1, 2010

1Mei-Hari Buruh: Pekerja Mahu Gaji Minima RM900 !!!

Petikan ucapan YB V. Sivakumar semasa merasmikan sambutan Hari Pekerja Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Syarikat-syarikat Pembuat Keluaran Getah Cawangan Perak.

Dalam ucapan perasmiannya, YB V.Sivakumar menyatakan bahawa pekerja merupakan tulang belakang sesebuah negara. Kemajuan dan pembangunan yang dicapai oleh Malaysia sejak kemerdekaan ini adalah hasil titik keringat warga pekerja. Tanpa sumbangan golangan pekerja ini, negara tidak boleh mencapai taraf pembanguan yang sedia ada. Warga pekerja adalah golongan yang merealisasikan matlamat yang ingin dicapai oleh sektor awam dan sektor swasta. Hasil usaha mereka inilah yang menukar bahan mentah dan sumber asli kepada barang siap yang dinikmati oleh semua orang di dalam negara mahupun dieksport ke luar negara. Warga pekerjalah yang memberi perkhidmatan kepada rakyat dalam pelbagai sektor seperti di jabatan-jabatan kerajaan bank, insurans, komunikasi dan sebagainya. Oleh yang demikian, sumbangan mereka tidak boleh dipandang ringan oleh mana-mana pihak. Sambutan Hari Pekerja ini adalah untuk kita mengenang budi dan jasa warga pekerja ini yang memberi makna dalam kehidupan harian kita. Kita boleh melihat sentuhan kaum pekerja dalam semua barang-barang dan perkhidmatan yang kita nikmati dalam kehidupan seharian kita. Oleh itu, Hari Pekerja disambut sebagai tanda terima kasih dan menghargai kaum pekerja yang produktif ini yang membantu dalam pembangunan sosio-ekonomi negara.

Walau bagaimanapun, masih lagi ramai di antara golongan pekerja ini masih lagi berada dalam keadaan tertindas. Dalam mengejar kekayaan dan kebendaan, ramai juga diantara mereka ini tertinggal di belakang. Mereka tidak dalam bersaing dan maju ke hadapan kerana beberapa dasar yang terlalu memberi keutamaan kepada golongan majikan dan menindas kaum pekerja. Perkara ini telah mengakibatkan jurang perbezaan pendapatan diantara kaya dan miskin menjadi semakin ketara. Golongan kaya akan mengunakan kekayaan mereka untuk mengerah titik peluh golongan pekerja untuk menambahkan kekayaan mereka. Manakala, golongan pekerja pula diberi nafkah kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Perkara seperti ini tidak sepatutnya wujud di negara Malaysia yang telah mencapai pembangunan yang pesat dalam tempoh 52 tahun ini. Tetapi, pembangunan ini adalah pembangunan fizikal semata-mata. Pada masa yang sama, kita telah mengabaikan pembangunan insan yang perlu diberi perhatian sewajarnya.

Kita mahu melihat pembaguanan yang seimbang. Golongan yang menabur modal seharusnya menerima keuntungan yang tinggi daripada hasil usaha dan kegigihan tenaga pekerja. Sebahagian daripada keuntungan itu harus dikongsi bersama pekerja untuk menaikan taraf sosial mereka. Adalah tidak wajar untuk kaum majikan untuk mengaut keuntangan besar tetapi membayar gaji atau upah yang rendah kepada pekerja-pekerja yang berkorban untuk firma tersebut.

Gaji minima yang terlalu rendah adalah antara perkara-perkara yang harus diberi perhatian yang serius oleh kerajaan. Operator pengeluaran hanya mendapat gaji permulaan sebanyak RM 450. Apa yang mereka boleh buat dengan gaji yang begitu rendah? Harga barang-barang telah meningkat dengan begitu mendadak dalam tempoh 10 tahun yang lepas. Tetapi gaji minima masih lagi di paras RM450. Peningkatan harga barangan ini telah mengakibatkan gaji sebenar telah berkuranagan. Warga pekerja menjadi semakin miskin tiap-tiap tahun. Kenaikan gaji tidak dapat menandingi kenaikan harga atau pun inflasi. Apa yang kita boleh beli dengan RM450 sepuluh tahun yang lalu, kita tidak dapat beli barangan yang sama sekarang. Ini membuktikan nilai wang telah merosot dan akibatnya golongan pekerja ini menjadi semakin miskin.

Baru-baru ini kerajaan telah menolak permintaan gaji minima RM900 oleh MTUC. Kerajaan seharusnya lebih prihatin kepada golongan pekerja yang menjadi tunggak pembangunan negara. Tetapi, keputusan kerajaan untuk menolak permintaan MTUC itu seolah-olah kerajaan tidak mengenang jasa warga pekerja. Kenapa kerajaan tidak mahu menetapkan gaji minima yang diminta oleh MTUC untuk membantu kaum pekerja ini?

Tambahan pula, pekerja-pekerja asing diberi gaji pokok RM18.50 sehari, manakala pekerja tempatan diberi gaji lebih kurang RM14 sehari. Ini membuktikan anak watan dianak tirikan akibat dasar kerajaan yang jelas mendiskiminasikan pekerja tempatan. Dasar ini tidak adil dan boleh membawa kesan negatif dalam jangka panjang.

Kementerian Sumber Manusia juga bercadang untuk membuat beberapa pindaan dalam undang-undang buruh iaitu Akta Pekerjaan 1955, Akta Perhubungan Perusahaan 1967 dan Akta Kesatuan Sekerja 1959. Pindaan-pindaan ini boleh memudaratkan kaum pekerja. Ia juga akan menggugatkan jaminan pekerjaan untuk beribu-ribu pekerja di seluruh Malaysia. Kerajaan tidak seharusnya memberi kepentingan kepada Ahli-ahli koprat dan syarikat-syarikat multinasional dengan mengadai hak-hak warga pekerja kita. Undang-undang buruh tidak harus diubah dengan sewenang-wenangnya untuk memberi keuntungan kepada pihak-pihak tertentu terutamanya kroni-kroni kerjaaan. Menteri Sumber Manusia Dr S.Subramaniam harus menimbangkan permohonan MTUC untuk memberi gaji minina sebanyak RM900 yang sedikit sebanyak membantu menaikan taraf sosial kaum pekerja di negara kita.

YB V.Sivakumar
ADUN Tronoh

MyKampungku

0 comments:

nuff

Visited Since 090322

Followers

Komen Terkini

Categories

My Page Rank

Labels

Blog Widget by LinkWithin
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Bluehost